
Assalammualaikum wbr dan salam sejahtera,
Syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan keizinan Nya kita dapat bersama lagi di bawah bumbung SMK Benut. Semoga tahun 2007 membawa kegemilangan yang lebih bermakna kepada kita semua.
Merealisasikan Kegemilangan dipilih sebagai tema SMK Benut bagi tahun 2007. Hal ini merupakan aspirasi warga SMK Benut untuk merealisasikan visi sekolah iaitu SMK Benut Gemilang Tahun 2009. Walaupun ada dua tahun lagi tetapi usaha untuk merealisasikannya mesti dilakukan segera.
Sehubungan itu, marilah kita bekerja bersama-sama untuk merealisasikan tema ini. Kita akan bersama-sama ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Sesungguhnya inilah kekuatan kita – ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.
Selain itu, kita hendaklah ikhlas bekerja dan sentiasa berfikiran positif. Anggaplah segala rintangan yang dihadapi adalah cabaran dan setiap cabaran, kita yakin kita mampu mengatasinya. Sebaliknya perasaan putus asa dan kecewa hendaklah dihindarkan dari menjadi penghuni hati kita. Jika ini dapat dilakukan, percayalah tema sekolah kita pada tahun ini pasti menjadi kenyataan.
Dalam merealisasikan kegemilangan, fokus utama kita ialah kegemilangan akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar. Kita mahu melahirkan anak didik yang bukan sahaja gemilang akademik tetapi juga gemilang kokurikulum dan berpersonaliti serta berakhlak mulia. Mudah-mudahan SMK Benut melahirkan modal insan yang terbaik khususnya di daerah Pontian.
Akhir sekali, dalam minda kita sentiasa bayangkan SMK Benut ‘Gemilang’ dalam segala bidang.
Terima kasih.
0 comments:
Post a Comment