Wednesday, November 25, 2009

Salam Aidiladha 1430H



Warga SMK Benut mengucapkan,


Salam dihulur tanda kemaafan,
Saling memaafi lumrah insan,
Salam lebaran untuk semua,
Moga Aidiladha kita bermakna..



Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua warga SMK Benut & umat Islam di serata dunia. Semoga ceria selalu.



Friday, November 20, 2009

Selamat Bercuti Warga SMK Benut



20 November 2009 - “SELAMAT BERCUTI” diucapkan kepada semua Staf dan pelajar SMK Benut yang bermula cuti persekolahan pada hari ini. Diucapkan juga sentiasa gembira, menjaga kesihatan selalu dan memastikan tugas-tugas yang diamanahkan diselesaikan sebelum bermulanya persekolahan bermula pada Isnin, 4 Januari 2010.

Kami Warga SMK Benut juga mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang akan melangsungkan majlis perkhawinan pada cuti persekolahan ini, iaitu Cik Siti Aminah Binti Awang Teh dengan pasangannya Encik Sepawi Bin Husin (Ahad, 29 November 2009), Cik Suhailina Binti Mohd Ikhwan dengan pasangannya Encik Ahmad Edzuan Bin Shafie (Sabtu, 5 Disember 2009), dan Cik Siti Rohani binti Hj Hassan Basari dengan pasangannya Ahmad Ashraf Bin Hj Abdul Aziz (Ahad, 13 Disember 2009).

Kami mengucapkan ‘Selamat Pengantin Baru, kekal dan bahagia selamanya dan didoakan semoga majlis istimewa tersebut berjalan dengan meriah dan sempurna seperti yang dirancang.








Tahniah SMK Benut


20 November 2009 – Warga SMK Benut mengucapkan tahniah kepada Panitia Pendidikan Seni Visual SMK Benut dan para pelajar yang terlibat kerana berjaya memenangi tempat KELIMA dalam Pertandingan Mural antara Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan 2008/2009 dengan menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala dan sijil penghargaan.

Pertandingan ini merupakan satu projek Tanggungjawab Sosial Korporat PLUS Expressways Berhad dengan Kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebanyak 50 buah sekolah menengah di seluruh Semenanjung Malaysia telah terpilih untuk menyertai pertandingan ini di mana pemilihan sekolah-sekolah tersebut adalah berdasarkan esei tentang isu keselamatan yang dihantar oleh setiap sekolah sebelum itu.

SMK Benut telah terpilih antara 50 sekolah tersebut, dan telah menerima cat serta kelengkapan menghasilkan mural berjumlah RM2,000 dan diberi tempoh selama 3 bulan untuk menyiapkan mural bertemakan “Selamat Di Jalan”.

Warga SMK Benut sekali lagi merakamkan sekalung penghargaan dan syabas.










Wednesday, November 18, 2009

Bermulanya SPM




18 November 2009 – Seramai 179 orang pelajar Tingkatan Lima hari ini mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan satu pusat peperiksaan di Dewan Baiduri dan Dewan Kecil.

Warga SMK Benut mendoakan kesihatan, mudah untuk menjawab soalan dan mencapai kejayaan yang cemerlang bagi diri sendiri, ibu bapa, guru-guru dan seterusnya sekolah SMK Benut. Insyaallah.








Tuesday, November 17, 2009

Tahniah dan Selamat Menunaikan Ibadat Haji



17 November 2009 – Warga SMK Benut mengucapkan tahniah kepada Puan Halijah Binti Ismaila dan suami, Puan Asiah Binti Juli dan suami serta Puan Hajah Andi Audryanah dan suami yang terpilih untuk mengerjakan ibadat haji pada tahun ini.

Kami mendoakan kesejahteraan dan dimudahkan segala urusan sepanjang menunaikan ibadat haji dan selamat kembali semula bertugas dengan sihat dan mendapat haji mambrur. Insyaallah.




Taklimat Pengurusan Sistem Fail



17 November 2009 – Taklimat Pengurusan Fail Panitia dan Fail Sistem Pengurusan Standard Kualiti (SPSK) telah berjaya diadakan di Bilik Mesyuarat Pentadbir, SMK Benut pada hari ini bermula jam 1.10 petang.

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Encik Nordin Bin Ali (Ketua Pembantu Tadbir N22, SMK Benut).

Pihak Pentadbir mengharapkan selepas ini, pengurusan Sistem Fail lebih baik dan mengikut garis panduan yang telah diberikan.





Motivasi Penerima Biasiswa SMK Benut Siri Kedua



17 November 2009 – Unit Biasiswa SMK Benut sekali lagi telah menganjurkan ceramah motivasi kali ke-2 kepada para pemegang Biasiswa Tahun 2009. Seramai 100 orang pelajar pemegang biasiswa BKP, BDO dan Telekom telah mengikuti ceramah tersebut.

Penceramah undangan ialah Encik Shamsairee bin Haji Shamsudin dari SK Ayer Baloi. Ceramah bermula pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang. Antara intipati ceramah beliau ialah cara pelajar hebat dalam pelajaran, iaitu dengan membetulkan :

  1. Niat
  2. Sentiasa bersyukur
  3. Menerima diri seadanya
  4. Kelebihan belajar dan ilmu
  5. Memaafkan orang lain
  6. Mengetahui kelebihan dan kekurangan diri
  7. Makan makanan yang halal
  8. Berfikir secara positif
  9. Peka
  10. Sabar
  11. Menjauhkan perkara yang sia-sia
  12. Menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia
  13. Doa untuk ibu bapa, guru, rakan dan diri
  14. Membaca Al-Quran
  15. Bertawakal


Semoga para pelajar penerima biasiswa mendapat keyakinan dan menghargai kebolehan diri dalam membentuk sahsiah yang mulia bagi menghadapi peperiksaan PMR, SPM, STPM seterusnya kehidupan di dunia dan akhirat.


Laporan disediakan oleh :

Puan Suhaila Binti Aripin (Penyelaras Biasiswa SMK Benut)





Majlis Persaraan, Perpindahan dan Jamuan Akhir Tahun Kelab SEGUGUS 2009



16 November 2009 – Majlis Persaraan, Perpindahan Perkhidmatan dan Jamuan Akhir Tahun anjuran Kelab SEGUGUS telah berjaya diadakan di Kukup Golf Resort, Pontian, Johor pada hari ini bermula jam 3.00 petang.

Majlis Persaraan diadakan khas kepada Encik Kamsani Bin Saiman dan Puan Hjh Salmah Binti Omar manakala majlis perpindahan perkhidmatan kepada Puan Lebi Bin Md Taher (bertukar di SMK Parit Betak, Pontian) dan Puan Hafizunnisak Binti Supok (SK Sungai Linau, Simpang Renggam).

Pelbagai acara telah diadakan oleh Jawatankuasa SEGUGUS seperti majlis pemotongan kek hari jadi kepada yang bersara, ucapan khas daripada yang diraikan, cabutan bertuah, hadiah khas dari Koperasi SMK Benut kepada guru-guru yang mendirikan rumah tangga, menerima cahaya mata dan mendapat musibah.

Selain itu, anugerah khas daripada pihak pentadbir SMK Benut kepada guru-guru turut diadakan. Tahniah diucapkan kepada Encik Mazlan bin Ismail yang mendapat cabutan bertuah khas daripada pihak Kukup Golf Resort untuk penginapan sehari.


Jawatankuasa SEGUGUS merakamkan penghargaan, kerjasama dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini dengan sempurna.