Saturday, January 22, 2011

Kejohanan Merentas Desa SMK Benut 2011


22 Januari 2011 – Kejohanan Merentas Desa SMK Benut Kali ke-36  telah berjaya diadakan pada hari ini dengan penuh kegembiraan dan semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh para pelajar yang menjayakan program ini.

Pelajar telah dibahagikan kepada 4 rumah sukan, iaitu Temenggong, Bendahara, Panglima dan Laksamana. Sebanyak 4 kategori yang dipertandingkan, iaitu Lelaki 13, Lelaki bawah 15, Lelaki bawah 18, Perempuan 13, Perempuan bawah 15 dan Perempuan bawah 18.

Sejauh 7 kilometer setiap peserta perlu menghabiskan larian dalam acara tersebut. Antara laluan yang dilalui, iaitu Jalan Jaafar, Kg.
Sepah Beruang, Kg Parit Sayang, Kg. Parit Lapis Sayang, dan Kg. Baru.

Semua peserta telah dilepaskan oleh Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut) bermula jam 8.30 pagi. Sebelum itu, semua pelajar telah menyediakan persiapan diri dalam acara memanaskan badan yang dipimpin oleh Encik Mohd Khairil Azham.

Keputusan rasmi Kejohanan Merentas Desa seperti berikut :



                       
JOHAN (TEMENGGONG)

NAIB JOHAN (BENDAHARA)

KETIGA (PANGLIMA)

KEEMPAT (LAKSAMANA)

Warga SMK Benut mengucapkan syabas dan tahniah kepada para peserta yang berjaya. Hadiah telah diberikan kepada peserta seramai 15 orang setiap kategori. Bagi yang tidak berjaya, cuba lagi dalam acara kesukanan yang akan datang. Majulah Sukan Untuk SMK Benut.
























Tuesday, January 18, 2011

Kelas Tahanan Selepas Waktu Persekolahan 2011


18 Januari 2011
– Surat makluman kepada ibu bapa atau penjaga para pelajar SMK Benut berkaitan Penguatkuasaan Kelas Tahanan Selepas Waktu Persekolahan telah diedarkan kepada para pelajar pada hari ini semasa perhimpunan pagi di tapak perhimpunan SMK Benut.

Puan Afidah Binti Salleh (Guru Kanan Bahasa) mewakili pihak pentadbir menerangkan secara jelas tujuan surat edaran tersebut dan perlu diserahkan kepada ibu bapa atau penjaga untuk makluman dan tindakan lanjut.

Para pelajar akan dikenakan tindakan Kelas Tahanan selepas waktu persekolahan, sekiranya melakukan kesalahan disiplin seperti berikut :
  1. Tidak menyiapkan nota yang dibekalkan oleh guru-guru.
  2.  Tidak membuat latihan yang telah diarahkan oleh guru-guru.
  3.  Menghantar kertas jawapan kosong semasa ujian dan peperiksaan dijalankan.
  4.  Tidak bersungguh-sungguh untuk menjawab soalan semasa ujian dan peperiksaan.
  5.  Meniru semasa ujian dan peperiksaan.
  6.  Tidur semasa guru-guru sedang mengajar.
  7.  Lewat masuk ke kelas untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran.
Kelas Tahanan ini akan bermula dari jam 1.50 petang sehingga 6.00 petang. Pelajar yang beragama Islam akan diarahkan bersolat di surau sekolah.

Para ibu bapa atau penjaga boleh menghubungi pihak sekolah sekiranya anak mereka didapati lewat sampai
ke rumah untuk mendapatkan penjelasan lanjut (jika anak mereka yang terlibat dalam Kelas Tahanan ini). Jika sebaliknya, bukan di bawah tanggunjawab pihak sekolah.

Tindakan ini sebenarnya telah dijalankan pada tahun 2010 yang lalu. Tindakan ini diteruskan pada tahun ini. Tujuan diadakan Kelas Tahanan ini adalah untuk peningkatan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar supaya mematuhi peraturan dan disiplin sekolah.

Semoga program yang dilaksanakan dapat mengelakkan dan memantapkan disiplin pelajar.







Monday, January 17, 2011

Pelancaran PINTAS 2011


17 Januari 2011
– Majlis Pelancaran Program Operasi Tangani Masalah Anti Sosial (PINTAS), iaitu Ponteng Sekolah, Ponteng Kelas dan Datang Lewat telah berjaya dirasmikan pelancarannya di Dataran Perhimpunan, SMK Benut oleh Encik Abdul Hamid Bin Selamat (Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Pontian merangkap Pegawai Unit Pembangunan dan Kemanusiaan) pada perhimpunan rasmi sekolah pada hari ini.

Program ini bermatlamat supaya dapat membendung masalah yang berkaitan dengan ponteng sekolah, ponteng kelas dan datang lewat ke sekolah. Di samping ke arah membentuk budaya cemerlang dan menjana prestasi murid yang gemilang dalam bidang sahsiah, akademik dan kokurikulum. Program ini bertemakan ‘Masa Berkualiti Pemangkin Kegemilangan’.

Encik Hasnan bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut) dalam kata alu-aluannya mengharapkan para pelajar harus sedar betapa pentingnya kehadiran ke sekolah dan betapa ruginya jika tidak hadir ke sekolah kerana banyak pembelajaran yang akan ketinggalan dan seterusnya menyebabkan kegagalan dalam akademik. Maka, perlulah berubah sikap dari sekarang dan tanamkan impian untuk terus cemerlang.

Encik Abdul Hamid Bin Selamat dalam ucapannya turut mengingatkan kepada para pelajar supaya mengelakkan diri daripada melakukan pelbagai kesalahan disiplin sekolah dan meningkatkan prestasi pencapaian kecemerlangan akademik. Seterusnya mengharapkan kejayaan SMK Benut berterusan cemerlang pada tahun ini.

Pada majlis tersebut, Encik Abdul Hamid Bin Selamat telah sudi menyampaikan buku operasi ponteng kepada wakil pelajar serta pas keluar kepada wakil guru SMK Benut.

Pelajar yang terpilih untuk program ini seterusnya diberikan taklimat dan motivasi diri oleh Encik Ismail Bin Ali (Guru Unit Disiplin, SMK Benut) di Dewan Baiduri, SMK Benut. Pelbagai nasihat dan bimbingan diberikan bagi meningkatkan jati diri pelajar yang terlibat.

Warga SMK Benut mengharapkan pelancaran program ini mendapat kerjasama daripada semua pelajar dan sifar ponteng sekolah, ponteng kelas dan datang lewat dapat dijayakan.


















Wednesday, January 12, 2011

Tahniah NURIDAYU BINTI AHMAD LATFI


Semasa cuti persekolahan yang lalu, telah diadakan Pertandingan International Children’s Painting Competition on the Environment. Pertandingan ini telah dianjurkan oleh United Nations Environment Programme, Foundation for Global Peace an Environment, Bayer Corporation dan Nikon Corporation. 

Sebanyak 95 buah Negara dari seluruh dunia telah menyertai pertandingan ini yang telah melibatkan seramai 594,000 penyertaan pelajar. Dari jumlah melebihi ½ juta itu adalah termasuk peserta dari SMK Benut. SMK Benut telah menghantar 3 penyertaan.

Dari 3 penyertaan tersebut, pelajar sekolah kita NURIDAYU BINTI AHMAD LATFI dari tingkatan 3 Ibnu Sina telah berjaya menjadi pemenang hadiah KELIMA PERINGKAT DUNIA (Global Fifth Prize Winner).

Untuk makluman, hanya pemenang pertama, kedua dan ketiga sahaja yang dijemput ke Jepun, manakala tempat ke-4, ke-5 dan seterusnya, hadiah dihantar ke Negara peserta.

Warga SMK Benut mengucapkan tahniah dan syabas kepada NURIDAYU BIN AHMAD LATFI, semoga kejayaan anda menjadi pendorong rakan-rakan SMK Benut untuk terus cemerlang. Tahniah dan syabas turut diucapkan kepada guru pembimbing Encik Roslan Bin Idris yang banyak memberi dorongan dan bimbingan.







Tahniah NORAZREEN BINTI RAZALI


Warga SMK Benut mengucapkan syabas dan tahniah kepada  NORAZREEN BINTI RAZALI (Tingkatan 4) yang berjaya mendapat tempat SAGUHATI PERINGKAT KEBANGSAAN dalam pertandingan Seni Kartun. 

Pertandingan yang dianjurkan oleh Balai Seni Lukis Negara, sebuah institusi tertinggi di Negara kita. Karya peserta yang bertanding ini telah diadili oleh juri professional antaranya, iaitu Prof. Dr. Muliyadi bin Mahmod, Kartunis Gayour dan Slaium (Editor majalah Gempak dan Utopia). 

Untuk makluman, karya-karya pemenang termasuk karya Norazreen sedang dipamerkan di Balai Seni Lukis Negara sehingga 30 Januari 2011.

Tahniah dan syabas turut diucapkan kepada guru pembimbing Encik Roslan Bin Idris yang banyak memberi dorongan dan bimbingan.