Wednesday, June 29, 2011

Sambutan Hari Koperasi SMK Benut 2011


27 Jun 2011 – Majlis perasmian Sambutan Hari Koperasi Sekolah Tahun 2011 (HKS) telah berjaya dirasmikan oleh Puan Hajah Rohani Binti Ab. Manaf (Pemangku  Pengetua, SMK Benut) semasa perhimpunan pagi ini.

Sebelum itu, bacaan perutusan telah dibacakan oleh wakil pelajar yang juga merupakan ahli koperasi SMK Benut Berhad. Antara perutusan yang dibaca, iaitu ucapan Yang Dipertua Angkasa, ucapan YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan dan ucapan YB Menteri Pelajaran Malaysia.

Objektif Sambutan Hari Koperasi Sekolah Tahun 2011 adalah bertujuan untuk memberitahu kepada warga sekolah dan masyarakat setempat akan kewujudan koperasi sekolah dan peranan yang dimainkan untuk mendidik para pelajar supaya mempunyai jati diri yang murni selaras dengan prinsip, nilai dan amalan koperasi.

Simbolik pelancaran HKS 2011 ialah melepaskan 10 ekor burung oleh Pemangku Pengetua dan menanam pokok bunga. Seterusnya penyampaian hadiah kepada pelajar yang berjaya memenangi pertandingan, iaitu menanam pokok, mencipta logo, pertandingan silang kata dan kuiz. Cenderahati turut diberikan kepada para guru serta pelajar.

Selain itu, ceramah cara hidup sihat melalui tontonan video  turut diberikan kepada para pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4 yang diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut. Program senaman aerobik beramai-ramai akan dilaksanakan pada 29 Jun 2011 di Dataran Perhimpunan, SMK Benut. Majlis HKS ini diakhiri dengan nyanyian lagu Semangat Koperasi oleh warga SMK Benut.
Warga SMK Benut merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis ini. Semoga majlis ini mendapat manfaat kepada semua.

“Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu”



Friday, June 24, 2011

Hari Terbuka Fasa 2


24 Jun 2011 – Majlis Hari Terbuka Fasa 2 telah berjaya diadakan pada hari ini bermula jam 9.00 pagi dah berakhir pada jam 12.10 tengah hari. Sebelum itu, pelajar mengikuti  pembelajaran dan pengajaran dalam kelas seperti biasa.

Kehadiran ibu bapa dan penjaga untuk bertemu guru mata pelajaran amat baik dengan sokongan kehadiran yang hadir ketika majlis ini dimulakan. Perjumpaan bagi pelajar Tingkatan 1, 2, dan 4 diadakan di kelas masing-masing manakala perjumpaan pelajar  tingkatan 3 di Sanggar Kokurikulum dan seterusnya perjumpaan bagi pelajar tingkatan lima dan Pra U Atas di Dewan Baiduri.

Perjumpaan Majlis Hari Terbuka Fasa 2 ini lebih bertumpu perbincangan bagi analisis pencapaian pelajar dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun 2011 yang telah dijalankan sebelum cuti persekolahan yang lalu serta membincangakan permasalahan disiplin.

Warga SMK Benut merakamkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini dan komitmen serta kerjasama yang diberikan oleh ibu bapa dan penjaga perlu diteruskan bagi memastikan SMK Benut terus mencapai tahap kecemerlangan dalam prestasi akademik terutama PMR, SPM dan STPM bagi tahun 2011.

















Thursday, June 23, 2011

SMK Benut diiktiraf 4 Bintang Kemahiran SSQS


24 JUN 2011 – SMK Benut telah diiktiraf EMPAT BINTANG dalam Program Smart School Qualification Standard (SSQS) tahun 2010 daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pelajaran Johor (JPNJ) dalam Pelan Pembestarian Pendidikan Tahun 2010. Terdapat empat domain yang diukur dalam penilaian ini, iaitu penggunaan, modal insan, aplikasi dan infrastruktur. Sejumlah 8,955 buah sekolah yang dinilai pada tahun 2010 dan SMK Benut telah diiktiraf empat bintang. 

SMK Benut telah terpilih antara lima buah sekolah dalam daerah Pontian untuk peringkat seterusnya, iaitu sasaran LIMA BINTANG SSQS. Justeru, Ujian Pengesanan Kemahiran SSQS yang mempunyai penilaian sebanyak 5 stesen atau tugasan telah dilaksanakan oleh Pusat Kegiatan Guru (PKG) daerah Pontian kepada semua warga pendidik SMK Benut selama dua hari, iaitu 23 Jun hingga 24 Jun 2011 bertempat di Makmal ICT dan Makmal Komputer Perpustakaan Zaaba.

Kerjasama para pegawai PKG Daerah Pontian yang melaksanakan serta membimbing penilaian tersebut diucapkan ribuan terima kasih. Semoga SMK Benut mencapai tahap LIMA BINTANG hasil kerjasama semua pihak.