SESIAPA yang bergembira dengan datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka. (Riwayat Ibnu Majah)
Begitulah satu daripada beribu hadis yang menyebutkan tentang kelebihan bulan Ramadan yang akan ditempuh oleh seluruh umat Islam dunia tidak lama lagi.
Wawancara wartawan ZUARIDA MOHYIN dengan pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir menjelaskan tentang fenomena biasa menjelang bulan mulia ini dan bagaimana untuk memperoleh puasa yang mabrur.
Apakah sikap yang sepatutnya bagi seorang Muslim dalam menyambut Ramadan?
MOHAMMAD NIDZAM: Dalam menyambut Ramadan, saya dapati ada beberapa sikap atau watak individu Muslim. Antaranya ada yang rasa terbeban dengan bulan Ramadan. Ini kerana puasa pada siang hari dengan kadar masa yang agak panjang. Godaan perut makin banyak sekarang ini. Malam hari pula terpaksa pergi ke masjid atau surau untuk solat Isyak berjemaah dan sunat tarawih.
Sepatutnya sikap berasa terbeban dengan kedatangan Ramadan tidak boleh berpanjangan. Sebagai Muslim, puncak ibadat adalah ketaatan terhadap perintah Allah. Apa jua perintah Ilahi, kita dengar dan kita taati. Seorang Muslim perlu gembira dengan kedatangan Ramadan kerana pintu-pintu syurga dibuka manakala pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pula dirantai. Ini peluang yang baik untuk mendapat ganjaran pahala dengan mudah.
Antara hasil puasa Ramadan ialah takwa. Namun masih ramai yang berpuasa tetapi masih melakukan maksiat seperti tidak solat dan bermain nombor ekor. Apakah status puasa golongan ini?
MOHAMMAD NIDZAM: Memang hasil puasa adalah takwa. Hal ini sabit dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 di mana Allah berfirman mafhum-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu semoga kamu menjadi golongan bertakwa.
Jadi, puasa penghujungnya ialah takwa. Tetapi tidak semestinya orang yang berpuasa akan beroleh nilai takwa. Ia perlu melalui proses pendidikan sepanjang bulan Ramadan. Kalau puasa, tetapi banyak larangan puasa dilanggar, puasanya tidak berkualiti.
Macam solat juga. Al-Quran menyatakan bahawa solat mencegah daripada perbuatan keji dan munkar. Tapi bukan sebarang solat. Ia adalah solat yang berkualiti dan khusyuk. Macam juga haji. Oleh itu, kalau kita betul-betul ingin menjadi Muslim yang bertakwa, ambillah dan gunakanlah peluang bulan Ramadan bersungguh-sungguh, insya-Allah kita akan betul-betul bertakwa.
Puasa golongan yang masih tidak solat atau main nombor ekor, puasanya dikira sah kerana ia bukanlah perkara yang membatalkan solat. Namun puasa tersebut bukanlah puasa yang berkualiti. Sabda Nabi SAW dalam riwayat al-Bukhari yang bermaksud: Puasa itu adalah perisai, maka janganlah orang yang berpuasa bercakap dengan perkara keji dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil.
Kita selalu disogokkan dengan pelbagai ganjaran hasil daripada melakukan ibadat puasa Ramadan. Pun begitu, ada kenyataan yang mengatakan bahawa tidak semua orang yang berpuasa itu mendapat hasilnya. Tolong ustaz jelaskan perkara ini dan bagaimana untuk memperoleh puasa yang mabrur?
MOHAMMAD NIDZAM: Memang banyak kelebihan ibadat puasa. Antaranya ia adalah rukun Islam. Selain itu, ada satu hadis qudsi daripada Nabi SAW riwayat al-Bukhari maksudnya: …dia (orang yang berpuasa) meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwatnya kerana Daku. Puasa adalah bagi-Ku dan Aku yang akan memberi ganjaran dengannya…
Macam kita belajar di sekolah atau di universiti. Adakah kita pasti bahawa semua pelajar akan mendapat ‘A’. Sudah tentu tidak. Ia bergantung juga kepada sekadar mana usaha pelajar tersebut. Samalah dengan orang yang berpuasa. Oleh itu, ada beberapa tip untuk mendapat puasa yang mabrur (puasa yang berkualiti dan diterima oleh Allah):
- Berpuasa penuh.
- Menjaga akhlak perut, akhlak mata dan sebagainya. Contoh akhlak perut adalah menjaga agar tidak makan daripada hasil yang haram. Begitu juga semasa berbuka puasa, makanlah secara sederhana dan lagi bagus, mengikut tertib sunah Nabi SAW dengan makan buah tamar dahulu.
- Akhlak pergaulan mesti dijaga.
- Memperbanyakkan amalan membaca al-Quran dan berzikir.
- Mengambil peluang untuk solat sunat tarawih. Seterusnya peluang sunah bersahur juga digunakan untuk melakukan solat sunat tahajud dan sebagainya.
- Berusaha memperbanyakkan ibadat di penghujung Ramadan untuk mendapat Lailatul Qadar.
Acap kali bila tibanya bulan Ramadan, kemunculan hadis-hadis daif berkaitan kelebihan bulan ini begitu ketara. Contohnya, Berpuasalah nescaya kamu sihat, Tidur orang yang berpuasa adalah ibadat dan banyak lagi. Bagaimanakah seharusnya kita berhadapan dengan perkara ini?
MOHAMMAD NIDZAM: Proses mengenali hadis daif memerlukan ilmu. Ada hadis daif yang boleh dijadikan panduan. Contohnya berpuasalah nescaya kamu sihat. Kajian ulama hadis mendapati bahawa hadis ini daif.
Walau bagaimanapun, isi kandungannya adalah baik dan benar. Begitu juga riwayat bahawa tidur orang yang berpuasa adalah ibadat. Memang benar. Kalau berpuasa tetapi mengumpat sana mengumpat sini, maka tidur adalah ibadat yang lebih utama.
Cuma ada hadis daif yang sangat daif dan langsung tidak mempunyai asal dalam agama. Contohnya ganjaran pahala yang melampau dan keterlaluan.
Contohnya hadis solat tarawih setiap malam dan fadilatnya. Hadis ini bukan lagi daif tetapi adalah hadis palsu. Ia mesti diperangi kerana hadis palsu mengandungi pendustaan terhadap diri Nabi SAW. Kita tidak nafikan kelebihan solat tarawih tetapi ia mestilah sahih, hasan atau daif yang diterima mengikut syarat yang dikaji oleh para ulama hadis.
Dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa Abu Darda’ berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu menjadi orang berilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mempelajari ilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mendengar ilmu. Jangan kamu jadi golongan keempat (yang tidak termasuk dalam golongan itu). Hendaklah kamu tinggalkan perbuatan golongan keempat itu. Bagaimanakah saranan di atas boleh diadaptasikan pada bulan Ramadan ini?
MOHAMMAD NIDZAM: Saya harap riwayat ini sahih. Walau bagaimanapun, maksud hadis ini adalah sahih. Ia menggambarkan bahawa proses tuntutan ilmu perlu dilakukan sama ada sebagai guru, pelajar atau sekadar pendengar.
Bagi mengadaptasikannya dalam bulan Ramadan, ada beberapa perkara yang wajar dilakukan.
Antaranya program tadarus al-Quran. Tadarus al-Quran bukanlah sekadar menghabiskan bacaan sahaja tetapi bagaimana kita cuba memahami ayat-ayat Allah. Maka adalah elok jika ada beberapa ayat dikaji dan difahami setiap hari selain cuba menghabiskan satu juzuk al-Quran setiap hari.
Program kuliah dan ceramah agama juga sewajarnya tidak dihentikan sama sekali. Manusia memerlukan pengisian ilmu dan nasihat. Namun ia hendaklah dilakukan dengan baik dan teliti.
Janganlah kerana ceramah agama, kita mengganggu kekhusyukan orang yang sedang solat. Oleh itu, masa perlulah sesuai. Kuliah subuh boleh diteruskan seperti biasa.
Kuliah tarawih juga boleh dilakukan tetapi ia perlu dirancang dengan baik. Jika tidak, ia satu program yang tidak sesuai. Contohnya ada masjid atau surau mengadakan ceramah antara solat tarawih. Solat tarawih pula lapan rakaat. Apabila siap empat rakaat, ada ceramah agama. Setiap malam pula begitu rupa. Satu slot ceramah masanya 45 minit hingga satu jam. Ini bagi saya satu pengisian program yang tidak wajar kerana ia mengambil masa yang agak panjang.
Selain itu, ibadat utama iaitu solat tarawih masih belum sempurna. Kalau sudah sempurna lapan rakaat, para jemaah ada pilihan untuk terus mendengar ceramah atau terus balik.
Selain itu, umat Islam juga mempunyai masa pada siang hari kerana tiada waktu makan. Oleh itu, ambillah peluang ini untuk kita membaca bahan-bahan bacaan yang bermanfaat.
Yang penting, jadikan bulan Ramadan satu jambatan mencapai ketakwaan dan keredaan Allah.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment