Monday, March 7, 2016

PLC Matematik: Pembelajaran Matematik Kaedah "kumon"

7 Mac 2016: Satu pertemuan Panitia Matematik telah dijalankan bagi membincangkan kaedah "kumon" dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. PLC ini adalah inisiatif Ketua Panitia dan disampaikan sendiri olehnya. 

Kaedah ini amat sesuai digunakan bagi mengukuhkan ingatan terhadap kemahiran-kemahiran yang diberi sewaktu pdp terutamanya kelas pencapaian sederhana dan lemah.

Kaedah ini diperkenalkan oleh seorang guru matematik Jepun, Toru Kumon sejak 1954. Keunikan kaedah tersebut terletak kepada kaedah pembelajaran kendiri mengikut keupayaan pelajar.

Pelajar belajar mengikut kebolehan individu melalui kurikulum yang tersusun. Ia mempunyai empat asas pembelajaran iaitu program individu, pembangunan tabiat belajar harian, pembelajaran kendiri dan pengulangan.

Program individu merujuk kepada kaedah pembelajaran Kumon yang dirangka berdasarkan keupayaan seseorang. Seterusnya, kaedah ini juga akan menggalakkan pelajar belajar secara sendiri dan juga belajar menjawab soalan secara sendiri. 

Dalam pengenalan konsep baru, pelajar, melalui kertas-kertas latihan yang diberi akan ditunjukkan cara yang paling mudah untuk difahami.

Kaedah pembelajaran Kumon juga memberi penekanan kepada pengulangan. Malah, sudah menjadi kebiasaan, pelajar mengulangi latihan-latihan yang telahpun disiapkan supaya mereka benar-benar mahir.

Secara keseluruhannya kaedah pembelajaran mengikut kaedah Kumon ini lebih tertumpu kepada penyelesaian latihan-latihan yang diberikan pada setiap kelas. Pelajar bukan sahaja membuat latihan-latihan yang diberikan, tetapi juga membetulkan kesalahan yang mereka buat. Dengan cara ini, pelajar dapat belajar daripada kesilapan yang mereka lakukan.

No comments: