Monday, January 17, 2011

Pelancaran PINTAS 2011


17 Januari 2011
– Majlis Pelancaran Program Operasi Tangani Masalah Anti Sosial (PINTAS), iaitu Ponteng Sekolah, Ponteng Kelas dan Datang Lewat telah berjaya dirasmikan pelancarannya di Dataran Perhimpunan, SMK Benut oleh Encik Abdul Hamid Bin Selamat (Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Pontian merangkap Pegawai Unit Pembangunan dan Kemanusiaan) pada perhimpunan rasmi sekolah pada hari ini.

Program ini bermatlamat supaya dapat membendung masalah yang berkaitan dengan ponteng sekolah, ponteng kelas dan datang lewat ke sekolah. Di samping ke arah membentuk budaya cemerlang dan menjana prestasi murid yang gemilang dalam bidang sahsiah, akademik dan kokurikulum. Program ini bertemakan ‘Masa Berkualiti Pemangkin Kegemilangan’.

Encik Hasnan bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut) dalam kata alu-aluannya mengharapkan para pelajar harus sedar betapa pentingnya kehadiran ke sekolah dan betapa ruginya jika tidak hadir ke sekolah kerana banyak pembelajaran yang akan ketinggalan dan seterusnya menyebabkan kegagalan dalam akademik. Maka, perlulah berubah sikap dari sekarang dan tanamkan impian untuk terus cemerlang.

Encik Abdul Hamid Bin Selamat dalam ucapannya turut mengingatkan kepada para pelajar supaya mengelakkan diri daripada melakukan pelbagai kesalahan disiplin sekolah dan meningkatkan prestasi pencapaian kecemerlangan akademik. Seterusnya mengharapkan kejayaan SMK Benut berterusan cemerlang pada tahun ini.

Pada majlis tersebut, Encik Abdul Hamid Bin Selamat telah sudi menyampaikan buku operasi ponteng kepada wakil pelajar serta pas keluar kepada wakil guru SMK Benut.

Pelajar yang terpilih untuk program ini seterusnya diberikan taklimat dan motivasi diri oleh Encik Ismail Bin Ali (Guru Unit Disiplin, SMK Benut) di Dewan Baiduri, SMK Benut. Pelbagai nasihat dan bimbingan diberikan bagi meningkatkan jati diri pelajar yang terlibat.

Warga SMK Benut mengharapkan pelancaran program ini mendapat kerjasama daripada semua pelajar dan sifar ponteng sekolah, ponteng kelas dan datang lewat dapat dijayakan.


















No comments: