Sunday, January 2, 2011

Perutusan Tuan Pengetua SMK Benut Tahun 2011


Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera.

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinanNya kita dapat meneruskan tugas dan melaksanakan amanah serta tanggungjawab sebagai pendidik di samping meningkatkan kecemerlangan SMK Benut bagi tahun 2011. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua warga SMK Benut yang telah berusaha keras pada tahun 2010 dengan mencapai pelbagai kejayaan yang boleh dibanggakan. Kejayaan sekolah menggondol Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Pontian yang julung kali diadakan adalah hasil kejayaan dalam semua bidang pengurussan di sekolah sama ada dalam bidang kuriklulum, kokurikulum, aspek pengurusan fizikal dan kecerian, pengurusan disiplin serta aspek- aspek yang lain.

Tahun 2010 menampilkan kejayaan –kejayaan di peringkat tinggi bagi SMK Benut. Kejayaan seorang pelajar sekolah ini dalam Pertandingan ‘The International High School Art Festival’ anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kerajaan Jepun serta menyertai Pameran The International High School Arts Festival Keno Royal Museum Tokyo, menunjukkan bahawa tenaga pengajar dan pelajar-pelajar sekolah ini sudah boleh bersaing di peringkat antarabangsa. Dalam bidang sukan dan permainan khasnya permainan Petanque ramai pelajar sekolah ini mewakili negeri Johor dalam SUKMA. Acara silat dan beberapa orang pelajar mewakili negeri dalam Perkhemahan Kadet Bomba peringkat Kebangsaan.

Dalam bidang akademik, kejayaan dalam peperiksaan awam tahun 2009 menunjukkan peningkatan yang membanggakan dalam PMR, SPM dan STPM. Kejayaan dalam peperiksaan PMR yang mencapai 68.5% melepasi sasaran yang ditetapkan oleh Jabatan Pelajaran, iaitu 65%. Dalam peperiksaan SPM sekolah ini telah mencapai 92% kelulusan keseluruhannya. Sementara STPM melebihi 98% walaupun sasarannya ialah 100%. Persoalannya adalah kita dapat mengekalkan kejayaan-kejayaan tersebut walaupun tidak berjaya meningkatkannya?.
Tahun 2011 dan tahun-tahun seterusnya pastinya dunia pendidikan lebih mencabar, persaingan di antara sekolah bertambah sengit. Kualiti aras tinggi menjadi penentu keunggulan sesebuah sekolah. Dengan pelaksanaan Sistem Pengurusan Sekolah Kualiti (SPSK), Standard Kualiti, Pengurusan Sekolah Menengah (SKPM), Sekolah Berprestasi Tinggi, Pengantarabangsaan Sekolah, Pencerapan Sekolah oleh Kementerian Pelajaran memastikan semua sekolah berusaha melonjakkan prestasi  sekolah masing-masing dalam semua bidang. Dalam sistem Pencerapan sekolah tahun 2010, SMK Benut berada di kedudukan ke-698 daripada lebih 2000 Sekolah Menengah di Malaysia. Standard Minima Tugas Akademik Guru (SMTAG) dan Standard Minima Latihan Akademik Murid (SMLAM) yang diperkenalkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Pontian akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2011.

Untuk membolehkan SMK Benut berkedudukan seiring sebagai sekolah yang cemerlang, kita mesti mencapai 90% dalam SKPM dan mesti berada di kedudukan 500 sekolah terbaik di Malaysia. Dalam peperiksaan awam pencapaian 70% kelulusan keseluruhan mesti dicapai di peringkat PMR dengan GPS tidak melebihi 2.50. Dalam peperiksaan SPM kelulusan keseluruhannya 95% mesti menjadi sasaran kita dengan GPS tidak lebih 5.30 dan STPM mesti mencapai 100% dengan nilai gred purata 2.50. Kejayaan dalam bidang akademik ini boleh dicapai sekiranya semua guru memahami dan mematuhi SMTAG dan SMLAM dengan sepenuhnya di samping merancang dan melaksanakan program-program tambahan peningkatan akademik sekolah.

Dalam bidang kokurikulum sasaran kita bukan setakat menjuarai di peringkat daerah tetapi lebih banyak pencapaian di peringkat negeri, kebangsaan dan ada beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa.

Dalam bidang pengurusan pelajar, kita masih perlu mengurangkan kadar ponteng sekolah yang masih tinggi bagi sesetengah tingkatan. Perlu diingat kadar ponteng sekolah di Malaysia difahamkan hanya 0.3%.  Di sekolah ini, lebih 10 orang pelajar terpaksa dibuang sekolah pada tahun 2010 kerana kesalahan ponteng. Adalah diharapkan pada tahun 2011 kes salah laku berat tidak berlaku di sekolah ini. Dengan harapan segala peraturan sekolah dapat dipatuhi  oleh pelajar, penekanan terhadap semua guru adalah guru disiplin adalah dituntut. Satu lagi tugas yang mencabar pada tahun 2011 ialah usaha menempatkan sekurang-kurangya 100 pelajar tinggal di asrama di samping usaha mencapai Standart Penilaian Pengurusan Asrama yang mencapai 90% agar setanding dengan pengurusan asrama sekolah cemerlang.

Semua cabaran yang telah dinyatakan tidak mustahil untuk dicapai dengan syarat semua warga SMK Benut bersama-sama menggembeling tenaga sebagai satu pasukan untuk mencapai matlamat yang sama, mempunyai komitmen 100% dan intergriti yang tinggi terhadap tugas dan tanggunggjawab, memahami dan menghayati visi dan misi sekolah, bantu-membantu antara satu sama lain di samping mematuhi Prinsip Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia. Buku panduan tugasan ini adalah diharapakan dapat memjadi pedoman dalam beberapa aspek pengurusan, mendapatkan maklumat berkaitan pengurusan dan pearturan sekolah. Diharapkan juga tugasan kepada para guru yang disusun menepati kebolehan dan kepakaran setiap guru dan kakitangan sekolah agar tugas yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan berkesan, seterusnya mendapat hasil yang cemerlang dan membina sekolah yang unggul.

Sekian terima kasih.

HASNAN BIN JAFFAR
PENGETUA
SMK BENUT

No comments: