Friday, September 30, 2011

Majlis Restu Ilmu Calon-Calon PMR 2011


30 September 2011 – Majlis Restu Ilmu Calon-calon PMR 2011 telah berjaya dilaksanakan pada hari ini di Dewan Baiduri, SMK Benut bermula jam 8.00 pagi. Majlis ini anjuran Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Akademik SMK Benut.

Program ini diadakan agar murid-murid jelas dalam mindanya bahawa guru-guru redha mencurahkan segala ilmu yang baik demi kejayaan cemerlang mereka. PMR yang bakal menjelang ada kalanya memberi tekanan kepada murid-murid. Semoga dengan adanya Majlis Restu Ilmu ini dapat meningkatkan semangat juang dan berkeyakinan diri untuk menghadapi PMR pada tahun ini.

Program ini telah dirasmikan oleh Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) . Beliau telah menyampaikan amanat kepada para calon PMR supaya menjaga kesihatan diri, semangat berjuang serta menerima keberkatan ilmu yang ikhlas dan dipraktikkan semasa menjawab peperiksaan. Beliau turut memperkenalkan program IMSAK bagi menggantikan program Mengilap Mutiara sebelum ini. Beliau meminta para pelajar mematuhi dan mengikut jadual IMSAK yang diedarkan.

Majlis seterusnya diikuti dengan majlis salawat dan bersalaman antara guru dan murid. Seterusnya, program IMSAK, taklimat peperiksaan dan gerakan payung dan akhir sekali taklimat disiplin telah disampaikan kepada semua calon PMR.

Warga SMK Benut mengucapkan selamat menduduki peperiksaan dan pastikan kejayaan cemerlang milik anda.

















Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat 2011



29 September 2011 – Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat telah berjaya diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut pada hari ini bermula jam 7.00 petang. Majlis ini dikelolakan oleh Panitia Pendidikan Agama Islam dengan kerjasama pihak sekolah.

Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah kemudian diikuti bacaan yassin. Seterusnya solat Isyak berjemaah dan diikuti solat hajat berjemaah yang dipimpin oleh Tuan Haji Mohd Amin Bin Abdul Fatah (Imam Masjid Tampok, Benut, Pontian, Johor).

Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) turut menyampaikan ucapan ringkas namun penuh harapan khasnya kepada ibu bapa dan penjaga serta para pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM pada tahun ini. Beliau meminta kerjasama daripada ibu bapa dan penjaga untuk bersama-sama memastikan kesihatan dan latihan ulang kaji secara intensif kepada anak mereka di rumah. Beliau turut memberikan pandangan, iaitu jika ibu bapa menghadapi masalah berkaitan anak mereka hendaklah terus merujuk kepada pihak sekolah.
Beliau turut mengingatkan kepada para pelajar supaya teruskan mengulang kaji pelajaran di samping menjaga kesihatan diri dan mematuhi jadual ulang kaji pelajaran menggunakan program IMSAK (intensif mengulang kaji secara aktif) yang bermula pada minggu peperiksaan bagi memastikan kecemerlangan akademik berterusan.

Akhir sekali, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Pengelola Program dan ibu bapa serta pelajar yang hadir dalam menjayakan majlis bacaan yassin dan solat hajat pada hari ini. Semoga sokongan seperti ini diteruskan.

Warga SMK Benut merakamkan terima kasih kepada semua pihak dan selamat menduduki peperiksaan 
kepada para pelajar PMR, SPM dan STPM. Semoga kecemerlangan milik anda. Insyaallah.






`







Selamat Datang Timbalan Perdana Menteri Malaysia


29 September 2011 – Warga SMK Benut begitu gembira menerima kehadiran  YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA pada hari ini di SMK Benut.

Walaupun kehadiran beliau begitu singkat namun kami warga SMK Benut begitu bangga dengan kehadirannya. Tujuan sebenar kehadiran beliau untuk menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Bahagian Parlimen Pontian yang diadakan bertempat di Dataran Benut, Pontian.

Kehadiran beliau dengan menaiki helikopter telah mendarat di padang SMK Benut pada jam 11.00 pagi. Turut diiringi dengan 2 buah helikopter lagi. Beliau telah sudi menandatangani buku kehadiran pelawat SMK Benut dan seterusnya turut sudi menerima cenderamata daripada pihak sekolah berupa gambar lukisan Batik Alaf Baru.

Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah YB Datuk Haji Ahmad Bin Mazlan (Ahli Parlimen Pontian), YB Datuk Ir Hasni Bin Haji Mohamad (ADUN Benut), Yang Berbahagia Ab Rahim Bin Lamin (Pegawai Pelajaran Daerah Pontian), pegawai-pegawai PPD Pontian, Yang dihormati Encik Selamat Bin Haji Mon (Guru Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Benut bagi mewakili Tuan Pengetua), dan seterusnya warga SMK Benut.

Warga SMK Benut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat bagi memastikan segala perjalanan majlis berjalan dengan cemerlang.























Wednesday, September 28, 2011

Selamat Datang dan Selamat Bertugas - GPK1



27 September 2011 – Warga SMK Benut mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada Encik Selamat Bin Haji Mon yang memulakan tugas sebagai Guru Penolong Kanan Pentadbiran yang menggantikan Puan Hajah Rohani Binti Ab. Manaf yang telah menerima kenaikan pangkat sebagai Pengetua di SMK Taman Tun Aminah, Johor Bahru.

Beliau telah diperkenalkan oleh Puan Hajah Azizah Binti Omar (GPK HEM, SMK Benut) pada perhimpunan pagi hari ini di Dataran Perhimpunan SMK Benut kepada warga SMK Benut.

Beliau telah diberikan kesempatan untuk berucap pada perhimpunan ini. Beliau mengharapkan kerjasama semua warga SMK Benut dan meneruskan kecemerlangan. Di samping itu, beliau mengharapkan para pelajar fokus kepada pelajaran dengan membawa buku-buku teks yang dipinjam melalui SPBT mengikut jadual waktu pembelajaran dan pengajaran. Selain itu, budaya memberikan salam dan bersalam perlu dipraktikkan dan dijadikan budaya sekolah.

Warga SMK Benut sekali lagi mengucapkan selamat berkhidmat dan bertugas di SMK Benut.