Monday, February 20, 2012

Taklimat Khas PBS 2012



20 Februari 2012 – Taklimat Khas Pelaksanaan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) telah berjaya disampaikana oleh Encik Mohd Esa Bin Dasim (Jawatankuasa PBS) dan Encik Selamat Bin Haji Mon (PK Pentadbiran, SMK Benut) kepada para pelajar SMK Benut di Dataran Baiduri semasa perjumpaan Perhimpunan Khas Mingguan pada hari ini.

PBS ini diyakini dapat melahirkan modal insan yang holistik serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. PBS ini wajib dibuat dan dilaksanakan oleh semua murid dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Tiga. Namun, Tingkatan Satu lebih berfokus utama kerana pada tahun ini apabila bermulanya perubahan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Dalam PBS terdapat empat komponen, iaitu Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Pentaksiran Pusat dan Pentaksiran Sekolah bersifat akademik manakala Pentaksiran Psikometrik dan PAJSK pula bersifat bukan akademik. Bagi Pentaksiran Pusat, ia dilaksanakan oleh sekolah menggunakan instrumen dan garis panduan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan. Pentaksiran ini melibatkan kerja kursus dan projek lisan. Pentaksiran Sekolah pula melibatkan mata pelajaran teras dan elektif. Ia dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak sekolah.

Manakala Pentaksiran Psikometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah dan atau pusat untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.

PAJSK adalah pentaksiran yang dijalankan untuk mendapatkan maklumat tentang kapasiti dan potensi jasmani, sukan dan kokurikulum yang dikawal secara harmoni oleh kapasiti dan proses mental seseorang individu murid supaya pertumbuhannya dapat dipantai dan diperbaiki.

Para murid akan mendapat maklumat lebih khusus melalui guru mata pelajaran semasa pelaksanaan PBS ini dilakukan. Semoga mendapat kerjasama daripada semua murid dalam menjayakan PBS ini di peringkat sekolah.

 Encik Mohd Esa Bin Dasim


Encik Selamat Bin Haji Mon



No comments: