Wednesday, August 15, 2012

Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Sambutan Bulan Kemerdekaan Kali ke-55 Tahun 2012



13 Ogos 2012 – Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Sambutan Bulan Kemerdekaan Kali ke-55 Tahun 2012 peringkat sekolah telah berjaya dilancarkan secara rasmi oleh Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) bertempat di Dataran Baiduri, SMK Benut semasa perhimpunan mingguan khas pada hari ini bermula jam 7.20 pagi sehingga 8.10 pagi.

Majlis yang diadakan walaupun secara sederhana namun memberikan impak yang besar kepada semua warga SMK Benut pada hari ini. Majlis dimulakan dengan ucapan Tuan Pengetua. Beliau dalam ucapannya mengingatkan kepada semua warga SMK Benut supaya sentiasa berfikiran rasional dan bertindak mengikut hala tuju yang sebenar sebagai seorang insan. Seterusnya, meningkatkan diri, sahsiah  dan disiplin untuk memastikan kejayaan yang lebih cemerlang.

Majlis seterusnya memotong reben dan menaikkan dua buah bendera Jalur Gemilang sepanjang 15 meter di bangunan Tingkatan Enam. Jalur Gemilang ini diusahakan oleh para pelajar Junior Tingkatan Enam. Majlis disempurnakan oleh Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua) dan Puan Hajah Azizah Binti Omar (PK HEM). Majlis seterusnya, mendeklamasikan sajak dan bicara berirama kemerdekaan oleh para pelajar Tingkatan 2 Rancangan Khas. Akhir sekali, nyanyian beramai-ramai lagu Jalur Gemilang dan Lagu Negaraku.

Pelbagai aktiviti dirancangkan sepanjang bulan kemerdekaan ini yang dianjurkan oleh Panitia Sejarah untuk diambil peluang kepada semua warga SMK Benut. Antaranya, membuat ucapan di portal rasmi SMK Benut, membuat buku skrap Merdeka, mencipta sejarah patriotik, membuat bendera Malaysia daripada bahan terbuang, mendeklamasikan sajak patriotik, melukis poster berdasarkan tema hari kebangsaan ke-55 dan menulis esei kemerdekaan. Semoga aktiviti ini dapat sambutan yang menggalakkan oleh semua pelajar SMK Benut.

Warga SMK Benut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke-55, Janji ditepati.

















No comments: