Friday, March 4, 2011

Majlis Penyerahan Tugas kepada Pemangku Pengetua SMK Benut


2 Mac 2011 – Majlis penyerahan tugas Pemangku Pengetua telah diadakan di bilik Pengetua, SMK Benut walaupun secara ringkas tetapi penuh bersejarah. Puan Hajah Rohani Binti Abd Manaf (GPK 1) telah menerima penyerahan tugas selaku Pemangku Pengetua, SMK Benut. Beliau akan mulai bertugas sebagai Pemangku Pengetua, SMK Benut mulai 3 Mac 2011.

Pada majlis tersebut, turut hadir Encik Mohd Esa bin Dasim (Guru Penolong Kanan HEM), Tuan Haji Rohman Bin Sangkerah (Guru Penolong Kanan Kokurikulum), Tuan Haji Razak Bin Nasiran (Guru Penolong Kanan Pra Universiti), Guru-Guru Kanan Mata Pelajaran serta  staf sokongan SMK Benut.
Tuan Pengetua kemudiannya, melakukan ‘punch card’ tanda tamatnya perkhidmatan di SMK Benut dengan disaksikan oleh kakitangan SMK Benut.

Kami warga SMK Benut berjanji akan bekerjasama dan membantu Puan Hajah Rohani Binti Abd Manaf (Pemangku Pengetua, SMK Benut) dalam meneruskan pentadbiran dan pengurusan SMK Benut serta memastikan segala perancangan dan program yang telah diatur sepanjang tahun 2011 terus dilaksanakan serta memastikan kecemerlangan SMK Benut terus cemerlang. Insyaallah.











Semaian Budi Semarak Kasih kepada Encik Hasnan Bin Jaffar



2 Mac 2011 – Majlis Semaian Budi Semarak Kasih khas kepada Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut) telah berjaya diadakan sebagai tanda mengenang dan menghargai jasa sebagai Pengetua yang telah berkhidmat lebih kurang 37 tahun dalam bidang pendidikan. Selain itu, memberikan peluang kepada Tuan Pengetua untuk menyampaikan pesanan, amanat dan harapan kepada semua guru dan pelajar.

Majlis ini juga diadakan bagi memberi kesempatan kepada guru, staf, pekerja dan para pelajar meraikan cenderahati atau sebarang bentuk penghargaan kepada Tuan Pengetua yang amat dikasihi dan dihormati. Selain itu, majlis ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta saling bermaafan antara guru dan pelajar tanda perpisahan.

Majlis yang diatur dengan pelbagai perisian yang penuh bersejarah kepada Tuan Pengetua telah diadakan sepenuhnya di Dewan Baiduri, SMK Benut bermula jam 10.30 pagi. Turut hadir bagi meraikan majlis ini, Encik Abd Rahim Bin Lamin (Pegawai Pelajaran Daerah Pontian), Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar, pegawai-pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah Pontian, Yang Dipertua PIBG, Ahli Jawatankuasa PIBG, guru-guru dan kakitangan yang pernah berkhidmat di SMK Benut. Antara persembahan yang diadakan seperti deklamasi puisi, tarian kipas, permainan yoyo, dikir barat dan persembahan khas daripada guru-guru SMK Benut.

Sebelum itu, acara memotong kek telah diadakan sebagai simbolik khas yang diberikan kepada Tuan Pengetua sebagai tanda peringatan sambutan ulang tahun yang ke-58 tahun daripada warga SMK Benut. Kami mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan Tuan Pengetua.

Amanat, pesanan, dan harapan Pengetua kepada warga SMK Benut begitu bermakna kepada warga SMK Benut. Dalam ucapan yang diberikan hampir satu jam kepada warga SMK Benut memberikan inspirasi dan kepercayaan kepada warga SMK Benut untuk meneruskan kecemerlangan dan memastikan SMK Benut tetap terbaik dalam daerah Pontian.

Sebagai tanda ingatan dan penghargaan daripada warga SMK Benut kepada Tuan Pengetua tidak terbalas, hanya hadiah yang dapat diberikan. Hadiah istimewa daripada para pelajar, panitia-panitia, Persatuan Uniform, Sukan dan Permainan, Kelab Hobi telah diberikan khas untuk Tuan Pengetua.

Kemuncak majlis tersebut, Tuan Pengetua bersama Isteri telah diberikan penghormatan dengan menaiki kereta khas dan diarak dari hadapan Dewan Baiduri, SMK Benut sehingga ke pintu pagar utama. Perasaan penuh kesayuan tergambar di wajah warga SMK Benut semasa Tuan Pengetua diberikan penghormatan untuk meninggalkan sekolah.

Kami warga SMK Benut merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Pengetua yang banyak memberikan bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar. Kami mendoakan Tuan Pengetua sihat sejahtera dan gembira dalam meneruskan kehidupan selepas bersara. Terima kasih cikgu. Jasa dan pengorbanan tidak kami lupakan.



















Amanat, Pesanan dan Harapan Pengetua SMK Benut



1 Mac 2011 – Amanat, Pesanan dan Harapan daripada Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut) kepada para pelajar tingkatan 3, 5 dan Pra Universiti telah diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut dengan penuh bermakna sebagai penyuntik semangat kecemerlangan kepada para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan memastikan kecemerlangan akademik, sahsiah dan disiplin bertambah baik dan seterusnya memastikan SMK Benut terus cemerlang.








Sebelum itu, Tuan Pengetua turut sudi hadir untuk majlis makan malam (28 Februari 2011) bersama para pelajar Asrama (Asli), SMK Benut. Beliau turut memberikan nasihat dan harapan kepada para pelajar supaya teruskan kejayaan cemerlang dan memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pencapaian akademik. Jadikan asrama sebagai tempat untuk meningkatkan pelajaran kerana pelbagai kemudahan dan prasarana yang disediakan dapat membantu mendisiplinkan pelajar dan seterusnya memberikan peluang yang selesa untuk pelajar belajar. Tuan Pengetua juga telah sudi bersama-sama meraikan majlis ulang tahun pelajar asrama yang menyambut hari ulang tahun pada bulan Januari hingga Februari.











Tuan Pengetua turut menyampaikan amanat, pesanan, dan harapan kepada para pelajar SMK Benut pada perhimpunan khas yang diadakan pada hari Rabu, 2 Mac 2011 di Dataran Perhimpunan, SMK Benut. 








Kami warga SMK Benut berjanji akan menunaikan serta memastikan kecemerlangan SMK Benut terus cemerlang. Insyaallah.