Thursday, November 3, 2011

Majlis Graduasi Prauniversiti SMK Benut kali Pertama


3 November 2011 -  Majlis Graduasi Prauniversiti SMK Benut kali Pertama telah berjaya diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut pada hari ini bermula jam 8.30 pagi.
Majlis Graduasi Prauniversiti Senior merupakan acara yang julung kali diadakan bagi SMK Benut. Majlis ini diadakan adalah sebagai pengiktirafan kepada pelajar yang berjaya menamatkan sesi persekolahan. Pelajar yang bergraduasi akan menerima sijil mengikut kelas. Seramai 96 orang pelajar telah diberikan sijil penghargaan.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Saleh Salem Bin Abd. Majid (wakil rasmi Pegawai Pelajaran Pontian). Turut hadir pada majlis ini, Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut), Tuan Haji Abdul Razak Bin Nasiran (Penolong Kanan Tingkatan Enam), Encik Hasnan Bin Jaffar (Mantan Pengetua, SMK Benut), guru-guru Tingkatan Enam, guru-guru SMK Benut serta ibu bapa dan penjaga pelajar Prauniversiti.

Penyampaian sijil penghargaan turut disampaikan oleh Tuan Perasmi kepada para graduasi sebagai tanda semangat untuk terus cemerlang dalam peperiksaan sebenar nanti yang akan bermula pada 21 November 2011. Seramai 8 orang pelajar telah dianugerahkan pencapaian terbaik purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.25 keatas. Seterusnya, Lee Jiat Ling (PU1) telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Harapan Terbaik Kurikulum manakala Mohd Zaki Bin Ismail (PU5) telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pelajar Kokurikulum.

Warga Pendidik Prauniversiti mengucapkan selamat menduduki peperiksaan STPM 2011 dan mendoakan kecemerlangan milik anda. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini dan berjalan dengan lancar. 































Kursus Pengurusan Jenazah kepada pelajar Tingkatan Tiga



3 November 2011 – Kursus Pengurusan Jenazah kepada pelajar Tingkatan Tiga telah berjaya diadakan pada hari ini di Surau , SMK Benut. Kursus ini merupakan antara aktiviti yang dirancang dalam program Selepas PMR.

Pengisian aktiviti Program Penghayatan Pendidikan Islam yang dikelolakan oleh guru mata pelajaran Pendidikan Islam telah mengundang pegawai dari Pejabat Kadi Daerah Pontian untuk menjayakan program ini. Encik Abu Sajid Bin Sahid dan Puan Hanipah Binti Ismail telah sudi menerima jemputan tersebut.

Para pelajar ini telah diberikan penerangan teknik dan cara yang betul dalam pengurusan jenazah, iaitu cara memandikan, cara mengapankan, cara menyembahyangkan dan pelaksanaan  mengembumikan jenazah.

Semoga kursus ini dapat memberikan pengetahuan asas kepada para pelajar dan dapat dipraktikkan sekiranya situasi sebenar berlaku.











Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 2012


3 November 2011 – Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan dari Jabatan Agama Islam Daerah Pontian telah berjaya diadakan di Sanggar Kokurikulum, SMK Benut pada hari ini. 

Seramai 24 orang pelajar (12 orang lelaki dan 12 orang perempuan) telah terpilih dalam majlis ini. Pelajar yang terlibat ini terdiri daripada tingkatan 1 sehingga tingkatan 4 yang dipilih khas oleh Jawatankuasa Kebajikan Pelajar yang diketuai oleh Puan Hajah Noryani Binti Nandar (Kaunselor Pelajar, SMK Benut).

Bantuan yang diterima terdiri dari 2 helai kain, 2 helai baju kurung, 2 pasang stokin dan sepasang kasut. Puan Hajah Azizah Binti Haji Omar (PK Hal Ehwal Murid) telah sudi menyampaikan sumbangan ini.
Pihak sekolah merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Jabatan Agama Islam atas sumbangan tersebut.











Majlis Perpisahan Puan Hajah Rohani Binti Ab Manaf



2 November 2011
– Majlis Perpisahan Puan Hajah Rohani Binti Ab Manaf (Mantan Penolong Kanan Pentadbiran) telah berjaya diadakan pada hari ini. Majlis perpisahan ini dikelolakan oleh Kelab Bilik Guru (KEBIRU) bermula jam 2.30 petang di bilik Jamuan, SMK Benut.

Puan Hajah Rohani Binti Ab Manaf telah berpindah ke SMK Taman Tun Aminah dengan jawatan baharu, iaitu Pengetua dan mula berkhidmat di sana pada 15 Ogos 2011.

Warga SMK Benut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada yang diraikan semoga dapat meneruskan perkhidmatan cemerlang di tempat yang baharu.