Monday, April 2, 2012

Pelancaran Wakaf Buku 2012



2 APRIL 2012 – Pelancaran Wakaf Buku telah berjaya diadakan pada hari ini di Dewan Baiduri, SMK Benut semasa perhimpunan rasmi mingguan ke-13.

Puan Hajah Azniza Binti Zakaria (Guru Perpustakaan dan Media, SMK Benut) telah memaklumkan Program Wakaf Buku bertujuan menerima sumbangan pelbagai jenis buku yang tidak lagi digunakan untuk diserahkan ke Perpustakaan Zaaba, SMK Benut. Sumbangan buku ini terbuka kepada kalangan guru, pelajar, ibu bapa dan bekas pelajar SMK Benut. Sasaran seterusnya untuk menambahkan koleksi jumlah buku di perpustakaan sehingga mencapai 24,000 buah. Sijil penghargaan akan diberikan kepada mereka yang memberikan sumbangan yang terbanyak melebih 10 buah buku. 

Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) dan Encik Selamat Bin Haji Mon (Penolong Kanan Pentadbiran) telah memulakan sumbangan beberapa buah buku sebagai simbolik pelancaran Wakaf Buku pada hari ini. 

Diharap bermulanya sumbangan ini akan diikuti oleh guru dan seterusnya para pelajar. 





Lawatan Sambil Belajar Karnival Jom Masuk U


24 MAC 2012 – Lawatan sambil belajar ke Pameran Karnival Pengajian Tinggi (Jom Masuk U) anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia bertempat di Persada Johor Bahru telah berjaya diadakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMK Benut. 

Seramai 70 orang murid yang terdiri dari Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 6 Atas telah turut serta dalam lawatan ini. Puan Asiah Binti Aziz (Kauselor Cemerlang, SMK Benut) telah diamanahkan oleh pihak sekolah untuk menguruskan lawatan tersebut.

Semoga lawatan sambil belajar ini dapat memberikan input dan dapat menyuntik semangat kepada para peserta untuk terus belajar dan menanamkan impian untuk ke pusat pengajian tinggi pada suatu masa nanti.











Monday, March 26, 2012

Amanat Khas Tuan Pengetua Kepada Para Atlet SMK Benut



26 MAC 2012 – Amanat Khas Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) kepada para atlet SMK Benut yang akan menyertai pertandingan Olahraga MSSD Pontian bermula pada petang ini 26 Mac 2012 dan berakhir pada 29 Mac 2012. Pertandingan ini diadakan bertempat di padang SMK Dato’ Ali Haji Ahmad, Pontian.

Beliau mengharapkan para atlet mempunyai semangat berjuang dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam acara yang dipertandingkan. Beliau turut memaklumkan akan menimbangkan pemberian imbuhan dan penghargaan kepada atlet yang berjaya dengan cemerlang dalam pertandingan ini mengikut kemampuan kewangan sekolah. Akhir sekali, para atlet pandai menjaga diri dan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan dalam setiap pertandingan.

Warga SMK Benut mendoakan kejayaan yang cemerlang kepada para atlet SMK Benut.








Taniah PSV SMK Benut 2012



26 MAC 2012 – Tahniah dan syabas kepada seramai 3 orang pelajar SMK Benut yang mendapat tempat NAIB JOHAN dalam Pertandingan Seni dan Rekacipta Bahan Kitar Semula. Pertandingan ini diadakan bertempat di Galeri Seni Yayasan Warisan Johor, Johor pada hari Sabtu, 24 Mac 2012 yang lalu.

Pertandingan ini diwakili oleh LUA WEI YUAN (5 IBNU RUSYD), SYUHADAH BINTI ABDULLAH (5 IBNU SINA) dan NUR AMIRA SHAFIQAH BINTI MD ZAHRIN (5 IBNU SINA). Pertandingan ini dibuat secara langsung selama 4 jam secara berkumpulan. Sebanyak 19 buah sekolah di negeri Johor menyertai pertandingan ini.

Kemenangan ini amat bermakna kerana pertandingan ini merupakan kemenangan PERTAMA Pendidikan Seni Visual pada tahun 2012. Seterusnya, turut mengalahkan Sekolah Seni Johor dan persiapan serta latihan yang begitu singkat. Tahniah dan terima kasih kepada Encik Roslan Bin Idris selaku guru pembimbing dan juga guru pengiring yang terus memastikan kejayaan setiap pertandingan yang disertai.

Tahniah diucapkan sekali lagi.








Sijil Penghargaan Pencapaian Terbaik STPM 2011



26 MAC 2012 – Majlis khas penyampaian Sijil Penghargaan Pencapaian Cemerlang STPM 2011 yang lulus 100 % daripada Pejabat Pelajaran Daerah Pontian telah diadakan pada hari ini semasa perhimpunan Mingguan Kali ke-12 di Dataran Baiduri, SMK Benut.

Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) telah menerima sijil penghargaan tersebut dengan diiringi oleh Tuan Haji Ab Razak Bin Nasiran (Penolong Kanan Tingkatan Enam).
Tahniah dan syabas kepada semua pelajar Prauniversiti sesi 2010/2011 yang berjaya dengan cemerlang dalam STPM 2011.