Friday, September 16, 2011

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54



15 September – Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 peringkat sekolah telah berjaya diadakan pada hari ini di Dataran Perhimpunan SMK Benut dengan dirasmikan oleh Tuan Haji Abd. Razak Bin Nasiran (Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam) bermula jam 7.30 pagi.

Program ini merupakan anjuran Panitia Sejarah dengan kerjasama Persatuan Sejarah SMK Benut. Antara matlamat program ini ialah untuk meningkatkan semangat patriotisme, setia negara dan cinta akan negara dalam kalangan pelajar. Seterusnya, objektif program ini pula ialah untuk melahirkan pelajar yang mempunyai semangat nasionalisme dan jati diri yang tinggi. Selain itu, mewujudkan ingatan bersama tentang sejarah sebagai satu rangka rujukan kesedaran kebangsaan dalam kalangan guru dan pelajar serta menghayati erti sebenar kemerdekaan.

Pelbagai aturcara telah disusun dan telah dijayakan sepanjang program ini dilaksanakan. Antaranya ucapan perutusan daripada Y.Bhg. Tan Sri Dato; Haji Alimuddin Haji Mohd Dom (Ketua Pengarah, Kementerian Pelajaran Malaysia) yang dibacakan oleh Tuan Haji Abd. Razak Bin Nasiran. Seterusnya, deklamasi sajak oleh ahli Persatuan Sejarah, Bicara Tokoh yang telah disampaikan oleh Puan Hajah Halidah Binti Haji Baba (mantan Pengetua SMK Benut 1995-2006), persembahan koir (nyanyian lagu tema), dan majlis penyampaian hadiah.

Warga SMK Benut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-54 dengan tema tahun ini, iaitu Transformasi Berjaya Rakyat Sejahtera kepada semua warga SMK Benut.














Thursday, September 15, 2011

Pesta Tanglung 2011


10 September 2011 – Pesta Tanglung 2011 telah berjaya diadakan pada hari ini dengan kerjasama Persatuan Bahasa Cina, Persatuan Pendidikan Moral dan Program Kecemerlangan Pelajar Cina SMK Benut.
Pesta Tanglung ini diadakan dengan objektif mempereratkan lagi hubungan mesra antara pelajar Melayu dan pelajar Cina melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan. Selain itu, memupuk semangat perpaduan dalam memberi peluang kepada pelajar Melayu untuk memahami kebudayaan dan perayaan kaum Cina dengan lebih mendalam lagi.

Pesta ini telah dirasmikan oleh Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) bertempat di dataran perhimpunan rasmi SMK Benut bermula jam 9.00 malam dan berakhir jam 11.00 malam. Turut hadir dalam majlis ini Pengerusi MCA, Benut. Turut hadir pada majlis ini guru-guru SMK Benut dan ibu bapa pelajar.

Pelbagai aktiviti dan program telah diadakan dengan pelbagai persembahan menarik berlatarkan budaya masyarakat Cina lama dan turut berkembang dengan muzik terkini. Antara persembahan yang menarik telah ditunjukkan seperti tarian oleh kelab tarian wanita MCA, tarian kelab tarian Benut, persembahan yoyo cina oleh pelajar SRJK ( C ) Yu Ming, persembahan Taekwando, persembahan tarian singa oleh Persatuan Nan Wei, tarian zapin dan pertandingan kaligrafi Cina, kuiz dan sukaneka. Kemuncak acara perlepasan belon ke udara dengan kata-kata harapan dan doa.

Warga SMK Benut mengucapkan selamat menyambut pesta tanglung kepada pelajar Cina SMK Benut. Terima kasih atas penganjuran yang cemerlang.




















Friday, August 26, 2011

Majlis Khatam Al-Quran 2011



26 Ogos – Majlis Khatam Al-Quran peringkat sekolah telah berjaya diadakan pada hari ini di Dewan Baiduri, SMK Benut bermula jam 7.20 pagi. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran telah dibaca oleh kumpulan pelajar Prauniversiti Senior dengan bimbingan Tuan Haji Mohd Fauzi Bin Mohd Amin.

Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) turut menyampaikan ucapan dalam majlis ini. Beliau telah memberikan beberapa pesanan dan ingatan kepada para pelajar terutama pelajar yang akan menghadapi peperiksaan awam (PMR, SPM dan STPM) supaya beraya dengan suasana sederhana dan jangan lupakan untuk mengulang kaji pelajaran. Di samping itu, beliau turut berpesan kepada para pelajar jangan terlalu gembira berhari raya dan jangan lupa keselamatan diri perlu diutamakan. Beliau turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia kali ke-54 kepada warga SMK Benut.