Thursday, November 3, 2011

Majlis Perjumpaan Ibu Bapa Bintang KU (SPM 2011)



31 Oktober 2011
– Majlis Perjumpaan Ibu Bapa Bintang KU (SPM 2011) telah berjaya diadakan pada hari ini di Dewan Baiduri, SMK Benut. Seramai 13 orang pelajar (Bintang Hati KU), 20 orang pelajar (Bintang Pujaan KU) dan 61 orang pelajar (Bintang Kerlipan KU) terlibat dalam perjumpaan khas ini. Pihak pentadbir SMK Benut turut mengundang ibu bapa dan penjaga pelajar tersebut untuk bersama-sama dengan pelajar yang telah terpilih dalam perjumpaan ini.

Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) telah sudi menyampaikan kata alu-aluan dalam perjumpaan ini. Beliau mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga yang telah hadir dan memberikan kesungguhan dan sokongan padu dalam program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah. Seterusnya, beliau mengharapkan para pelajar yang terpilih dalam kumpulan Bintang KU ini terus fokus kepada pelajaran walaupun pada saat-saat terakhir dan memastikan pelaksanaan aktiviti yang diberikan dapat dilaksanakan dengan kerjasama dan kesungguhan bagi mencapai tahap kecemerlangan dalam SPM 2011.

Pihak sekolah turut mengundang Encik Abd. Aziz Bin Ismail (Penolong Kanan HEM, SMK Dato’ Ibrahim Majid) untuk menyampaikan ceramah motivasi Ibu bapa dan pelajar pada perjumpaan ini.  

Encik Selamat Bin Hj Mon (Penolong Kanan Pentadbiran) turut menyampaikan taklimat aktiviti Intensif Mengulangkaji Secara Aktif (IMSAK) kepada para pelajar yang terlibat. Seterusnya, beliau turut sudi menyempurnakan majlis penyerahan slip peperiksaan percubaan SPM dan jadual IMSAK.

Warga SMK Benut mengharapkan segala aktiviti yang dirancang dapat kerjasama semua pelajar yang terlibat untuk memastikan kecemerlangan berterusan dicapai terutama dalam peperiksaan SPM pada tahun ini. 

















No comments: