Tuesday, March 6, 2012

Pelancaran Bulan Penghayatan Bahasa 2012



6 Mac 2012 – Pelancaran Bulan Penghayatan Bahasa 2012 (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Bahasa Cina) telah berjaya diadakan di Dataran Baiduri, SMK Benut pada waktu perhimpunan khas hari ini bermula jam 7.30 pagi hingga 7.45 pagi.

Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) telah sudi menyempurnakan majlis pelancaran ini. Sebelum itu, seramai 8 orang murid dengan menunggang basikal jenama fixie pelbagai warna membawa banting sebagai simbolik untuk diterima oleh Tuan Pengetua bagi menandakan pelancaran Bulan Penghayatan Bahasa 2012. Seterusnya, persembahan deklamasikan sajak 3 bahasa, iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Bahasa Cina.

Melalui tema ‘Bahasa Teras Kecemerlangan’ dan seterusnya dengan objektif menanamkan rasa cinta akan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina dalam kalangan semua murid dan pelajar SMK Benut. Selain itu, untuk mencungkil bakat para murid dalam semua bidang kemahiran berbahasa dan menjadikan mereka berani serta berkeyakinan apabila tampil di hadapan khalayak ramai. Seterusnya, dapat mendedahkan dan melaksanakan Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menjadi dasar Kementerian Pelajaran di peringkat sekolah. Akhir sekali, dapat menjelaskan kepada semua murid dan pelajar bahawa jika ‘Bahasa Cemerlang’ maka PMR, SPM, dan STPM juga akan akan cemerlang.

Pelbagai aktiviti yang dirancang sempena Bulan Penghayatan Bahasa ini. Antara aktiviti pertandingan anjuran Panitia Bahasa, iaitu pertandingan Sahibba, Menulis Esei, Pidato dan Syarahan, Mendeklamasikan Sajak, Kuiz Bahasa dan Komsas, Berbalas Pantun, Teater Komsas, Forum Remaja, Teka Silang Kata, Cerita Klasik, dan Buku Skrap.

Seterusnya pertandingan anjuran Panitia Bahasa Inggeris, iaitu ‘Scrabble’, ‘Storytelling or Public Speaking Com’, ‘Bookmark’, ‘Treasure Hunt’, ‘Scrap Book’, ‘Win, Lose or Draw’, dan ‘Wonderword’. Akhir sekali, anjuran Panitia Bahasa Cina pula, iaitu Kaligrafi Cina, Kuiz Tatabahasa dan Kesusasteraan Cina, Mendeklamasikan Sajak, dan perbahasan.

Jawatankuasa Bulan Penghayatan Bahasa 2012 mengharapkan kerjasama dan penglibatan semua murid dan pelajar dalam menjayakan program ini. Seterusnya, terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pelancaran Bulan Penghayatan Bahasa 2012.














No comments: