Wednesday, March 16, 2011

Kem Motivasi Kecemerlangan Top ‘A’ Star Student Fasa 1



14 Mac 2011 – Program Kem Motivasi Kecemerlangan Top ‘A’ Star Student (TASS) bagi calon-colon SPM dan PMR tahun 2011 telah berjaya diadakan. Program bermula pada petang hari Jumaat (10 Mac 2011) dan berakhir pada petang hari Ahad (12 Mac 2011). Anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Benut telah mendapat kerjasama dan sokongan daripada para pelajar yang terlibat.

Matlamat program ini untuk memberikan persediaan para pelajar untuk lebih bersedia lebih awal untuk menghadapi peperiksaan sebenar dan seterusnya memastikan kejayaan cemerlang berterusan.

Program selama dua hari satu malam mengikut kumpulan pelajar SPM dan PMR telah dikelolakan sepenuhnya oleh Wowcoaching Consultant, Johor Bahru yang diketuai oleh Tuan Haji Abd. Halek Bin A Rahman (Pak Anjang). Pelbagai aktiviti telah diberikan kepada para peserta yang banyak memberikan input kesedaran dan semangat untuk terus cemerlang terutama dalam peperiksaan dan kehidupan seharian.

Fokus program ini kepada para pelajar tingkatan Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan Ibnu Khaldun. Namun, bagi pelajar kelas lain yang berminat turut dialu-alukan. Program ini terdiri dari tiga Fasa.  Seramai 71 orang terdiri daripada pelajar Tingkatan 5 manakala seramai 103 orang terdiri daripada pelajar Tingkatan 3 telah menyertai program ini.

Semoga program yang dianjurkan dapat meningkatkan lagi pencapaian akademik pelajar terutama SPM dan PMR tahun 2011. Insyaallah.


























Sunday, March 6, 2011

Jamuan Persaraan Tuan Pengetua di Grand BlueWave Hotel, Johor Bahru



5 Mac 2011 – Majlis Semarak Kasih Semarak Budi khas untuk Persaraan Pengetua ke-10, iaitu Encik Hasnan Bin Jaffar telah berjaya diadakan pada hari ini semasa makan tengah hari di Grand BlueWave Hotel, Johor Bahru. Majlis yang dikelolakan oleh Kelab SEGUGUS sesi 2011-2012 di bawah pimpinan Encik Abdul Rahman Bin Zainal yang walaupun cukup sederhana tetapi penuh bermakna kepada yang diraikan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Hajah Rohani Binti Abd Manaf (Pemangku Pengetua, SMK Benut), Puan Hajah Andi Audrayanah Binti Mohd Noh (Pengetua, SMK Sri Tanjung), PIBG dan tetamu jemputan yang diundang bagi bersama-sama memeriahkan majlis tersebut.

Sebelum itu, Encik Hasnan Bin Jaffar serta isteri telah diminta menyempurnakan majlis pemotongan pulut kuning sebagai tanda sambutan ulang tahun beliau yang ke-58 dan yang dibuat khas daripada Kelab SEGUGUS.

Pelbagai persembahan turut diadakan daripada warga SMK Benut seperti persembahan tarian zapin, nyanyian diringi pemain gitar dan persembahan muzik menggunakan piano daripada pelajar yang diundang khas.

Penyampaian hadiah daripada individu guru turut disampaikan pada majlis ini. Sesi penggambaran sebagai kenang-kenangan dan bersalaman dengan yang diraikan turut diadakan.

Kami Kelab SEGUGUS mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Selamat Bersara dan Berbahgia kepada Encik Hasnan Bin Jaffar serta keluarga. 





























Friday, March 4, 2011

Pelancaran Sambutan Minggu Anti Dadah Peringkat Sekolah Tahun 2011



3 Mac 2011 – Pelancaran Sambutan Minggu Anti Dadah Peringkat Sekolah telah dilancarkan oleh Puan Hajah Rohani Binti Abd. Manaf (Pemangku Pengetua, SMK Benut) pada perhimpunan khas pada pagi ini di Dataran Perhimpunan, SMK Benut.

Sebelum itu, beliau telah membacakan perutusan khas daripada Tuan Haji Markom Bin Giran (Pengarah Pelajaran Johor).

Sambutan ini dikelolakan oleh Unit HEM di bawah Jawatankuasa Anti Dadah. Encik Mohd Abdul Rauf Bin Tumiran (Penyelaras Sambutan Minggu Anti Dadah) memaklumkan kepada para pelajar pelbagai aktiviti yang akan diadakan seperti tayangan video kesedaran anti dadah, kuiz anti dadah dan program 5 minit anti dadah. Tema sambutan, iaitu 1Malaysia Membanteras Dadah.

Semoga program yang diadakan dapat memberikan pengetahuan kepada para pelajar dan seterusnya menyedarkan kepada pelajar kesan penggunaan dadah dalam diri sendiri.