Wednesday, January 25, 2017

PROGRAM SAYANG KAMU BIL 1/2017

25 Januari 2017: Program "Sayang Kamu" bil 1/2017 di bawah anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling telah berjaya dilaksanakan di Bilik Mesyuarat As-Syafie. Program ini disertai oleh murid seramai 30 orang yang terpilih. Pada siri pertama ini pihak sekolah telah menjemput Tn. Hj. Afandi bin Tahir (Pegawai Penggerak YPKDT Dun Pulai Sebatang) untuk menyampaikan imput berkaitan remaja islam.

Antara objektif program:
1. Menjana kecemerlangan diri pelajar melalui sahsiah terpuji
2. Mendidik pelajar menginsafi dan menyayangi diri sendiri
3. Memantapkan peranan sebagai seorang anak dan pelajar
4. Memberi kesedaran tentang bahaya zina dan pergaulan bebas

Semoga program ini akan memberi impak yang positif dan seterusnya dapat melahirkan insan yang bersahsiah terpuji.








Sunday, January 22, 2017

PELANCARAN PROGRAM NILAM 2017

TARIKH : 22 Januari 2017 (AHAD)
MASA : 7.30 pagi hingga 8.00 pagi
TEMPAT : Dewan Baiduri, SMK Benut

Majlis Pelancaran Program NILAM 2017  telah diadakan dengan jayanya pada 22 Januari 2017 dengan kerjasama daripada semua ahli jawatankuasa yang dilantik. Majlis ini telah berjalan dengan baik sebagaimana yang telah dirancangkan.

Objektif program ini dijalankan adalah untuk :
1)      Menjadikan murid  banyak  membaca( semua bidang , bahan berkualiti     dan bukan sahaja pembacaan yang berorientasikan peperiksaan)
2)      Menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca dikalangan warga  sekolah.
3)      Menggerakkan  program  dan aktiviti galakan membaca
4)      Meningkatkan minat membaca yang  berterusan
5)      Memperkasakan pelaksanaan  Program  NILAM dengan penglibatan  yang lebih jitu oleh kalangan masyarakat
6)       Memberi pendedahan kepada murid tentang dunia pembacaan
7)      Mewujudkan daya usaha untuk persaingan  yang sihat dan membina kekuatan minda
8)      Melahirkan tokoh murid  yang  berketerampilan dalam bidang pembacaan
9)      Menampilkan murid  yang  mengamalkan ciri-ciri pembaca  yang  berkualiti

Taklimat Pelancaran Program NILAM 2017  telah disampaikan oleh Tn. Pengetua, En Mastura Aladdin bin Masro. Dalam taklimat tersebut beliau menerangkan maksud NILAM iaitu singkatan daripada perkataan Nadi Ilmu Amalan Membaca  yang merupakan penggabungan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.

Tn pengetua seterusnya melancarkan Program NILAM 2017. Dalam ucapan perasmian beliau menasihatkan dan memberi peringatan kepada para pelajar supaya membiasakan diri dengan amalan membaca tidak kira di mana sahaja berada. Disamping itu, beliau menggalakkan para pelajar agar mengikuti dan mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh Pusat Sumber Sekolah. Seterusnya majlis diteruskan dengan gimik Majlis Pelancaran NILAM yang dilaksanakan menggunakan gegantung. Murid-murid diingatkan agar menjadikan budaya membaca sebagai amalan seharian.












Thursday, January 19, 2017

Tahniah Atas Perlantikan Pengetua Kolej Tingkatan 6 SMK Sri Bandar

19 Januari 2017: Tahniah diucapkan kepada tuan pengetua, En. Mastura Aladdin bin Masro atas perlantikan beliau sebagai pengetua di Kolej Tingkatan 6 SMK Sri bandar Pontian. Untuk makluman, En. Mastura Aladdin telah berkhidmat di SMKB sebagai pengetua semenjak 11 Julai 2011. Semoga beliau akan terus cemerlang di temapat baru. 

Jawatan pengetua di SMKB akan diambil alih Pn. Hjh Rohani Binti Ab. Manaf daripada SMK Ayer Baloi yang juga pernah menjawat sebagai GPK Pentadbiran SMKB sebelum ini. Selamat kembali ke SMKB, semoga SMKB akan terus cemerlang di bawah kepimpinan beliau.

Sunday, January 15, 2017

Majlis Penyerahan Surat Penurunan Kuasa Merotan

15 Januari 2017: Penyampaian surat penurunan kuasa merotan kepada jawatankuasa disiplin dan pengawas telah disampaikan dalam suatu majlis perhimpunan rasmi mingguan di dewan Baiduri SMKB oleh tuan pengetua.

Semoga pendekatan ini akan memberikan kesan yang baik kepada semua murid SMKB dengan pembentukan sahsiah yang terpuji. SMKB We Are The Best.







 











Sumbangan Alumni Untuk PIBG SMKB

15 Januari 2017: Penyampaian replika cek daripada Alumni 1982 oleh tuan pengetua kepada wakil PIBG En. Ariffin Bajuri (GPK HEM) telah disampaikan secara ringkas dalam perhimpunan rasmi mingguan di Dewan Baiduri SMKB.

Cek sumbangan sebanyak RM3000 ini sebenarnya hasil daripada Majlis Perjumpaan Alumni 1982 yang telah berlangsung di Grand Hall, Creator Hotel, Kulai sempena ulang tahun penubuhan SMKB yang ke-52 pada 14 Januari 2017 yang lalu.

Terima kasih atas sumbangan pihak alumni. Semoga SMKB akan terus maju dan cemerlang dengan sokongan yang diberikan oleh pihak alumni SMKB.

KEJOHANAN MERENTAS DESA SMK BENUT 2017

TARIKH : 14 Januari 2017 (Sabtu)
MASA : 7.20 pagi hingga 11.30 pagi
TEMPAT : Dataran Baiduri, SMK Benut

Kejohanan Merentas Desa merupakan salah satu aktiviti tahunan SMK Benut yang sering mendapat sambutan dan sokongan yang menggalakkan dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa. Aktiviti ini dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SMKB. Pungutan mata dalam acara ini merupakan penyumbang besar kepada mata semua rumah sukan yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Tahunan setiap tahun. Pada tahun ini seperti biasa, acara merentas desa ini melibatkan murid-murid tingkatan 1 hingga 6 mewakili 4 buah rumah sukan iaitu Panglima, Laksamana, Bendahara dan Temenggung.

Matlamat utama aktiviti ini diadakan bertujuan untuk:
1)      Membina minda berkonsepkan budaya sihat kepada murid-murid di SMK Benut, Pontian.
2)      Mengeratkan hubungan silaturahim, setia kawan di antara warga pendidik dengan murid dan sesama murid.
3)      Berkonsepkan semangat setia kawan dan semangat ingin maju di samping berlumba-lumba untuk menang.
4)      Larian ini sebagai seiring dengan satu mesej kecemerlangan dalam pendidikan di sekolah.


     Aktiviti bermula seawal jam 7.20 pagi. Guru-guru rumah sukan saling membantu menyusun murid-murid mengikut rumah sukan masing-masing. Pada jam 7.30 pagi, murid-murid membuat aktiviti memanaskan badan dengan dibantu oleh Pn Faridah bt Tahir. Selepas itu, En. Khalil memberikan taklimat kejohanan dan keselamatan kepada semua peserta yang mengambil bahagian. Tepat jam 8.15 pagi, acara merentas desa bagi kategori lelaki dimulakan.  Semua murid lelaki dilepaskan mengikut kategori diikuti kemudiannya dengan acara merentas desa kategori perempuan. Pada jam 10.30 pagi, majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dijalankan. Hadiah disampaikan kepada 10 pemenang terawal bagi setiap kategori. Juara keseluruhan telah disandang oleh rumah Panglima dengan pungutan mata 594, diikuti rumah Temenggung, 519, Laksamana, 408 dan Bendahara, 383. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan juga terima kasih atas segala usaha dari warga SMKB dalam menjayakan aktiviti merentas desa tahun ini.