Wednesday, October 24, 2007

Tip Menghadapi Peperiksaan

TIP HADAPI PEPERIKSAAN : PERSIAPAN MENTAL

Persediaan yang rapi harus dilakukan oleh pelajar di ambang peperiksaan. Setelah hampir beberapa tahun anda menantinya kini hanya beberapa hari lagi untuk menemuinya. Kekuatan mental harus ada pada diri anda demi untuk menghadapi peperiksaan secara lebih berkeyakinan.

PERKARA YANG PERLU DIELAKKAN
  1. Jangan memikirkan perkara-perkara lain yang boleh mengganggu fikiran dan ketenangan diri.
  2. Jangan membuat anggapan yang peperiksaan itu susah.
  3. Jangan terlalu memikirkan tentang masalah yang mungkin ditemui sewaktu berhadapan dengan kertas soalan peperiksaan.
  4. Jangan memikirkan tentang kegagalan yang mungkin menimpa anda selepas peperiksaan.
  5. Jangan takut pada peperiksaan.
  6. Jangan membuat perbandingan kebolehan diri anda dengan rakan yang lain.

PERKARA YANG HARUS DILAKUKAN


  1. Tumpukan sepenuhnya fikiran anda terhadap pelajaran.
  2. Anggapkan peperiksaan itu hanyalah menguji sesuatu yang telah anda baca dan ketahui.
  3. Anggapkan segala soalan yang terdapat di dalam kertas soalan itu adalah soalan-soalan yang pernah anda jawab dalam peperiksaan-peperiksaan yang lepas.
  4. Bayangkan kejayaan yang akan anda alami serta keseronokan yang anda kecapi bersama ayah dan ibu ketika menerima keputusan peperiksaan.
  5. Anggapkan peperiksaan itu sebagai tiket untuk melangkah mercu kejayaan.
  6. Anggapkan diri anda sama seperti orang lain. Orang lain boleh kenapa diri anda tidak boleh!
Semoga Kejayaan dan Kecemerlangan Milik Anda….
Kami Warga SMK Benut Mendoakan Kejayaan Anda. Insyaallah.

Sunday, September 30, 2007

Nuzul Al-Quran


Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw.

Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.

Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Hal ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadan.

Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu: "…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…" (TTQ 8 : 41) Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.

Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). " Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…" (TTQ 8 : 41).

Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.

Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di "Baitul Izzah" di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.

Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-'Alaq.

Dan peristiwa ini terjadi ketika nabi saw sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.

Friday, September 21, 2007

Kad Raya Edisi SMK Benut


Ingin menghantar ucapan sempena hari raya Aidilfitri 2008 kepada guru-guru atau rakan-rakan?

Dapatkan kad raya yang menarik ini di Koperasi SMK Benut dengan segera.

Harganya begitu berpatutan dan anda mampu membelinya.

Tawaran Hebat Terkini....

Harga menarik dan anda mampu membelinya. Jika anda membeli lebih dari 5 keping... potongan harga akan diberikan. Cepat... selagi stok masih ada... berkunjunglah di kedai Koperasi SMK Benut sekarang.

Keistimewaan Malam Lailatul Qadar



Allah Ta'ala telah berfirman di dalam surah Al-Qadr yang bermaksud:

"Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam al-Qadr dan apakah jalan yang menyebabkan engkau mengerti (kebesaran) lailatul qadar itu? Lailatul qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan tuhan mereka (Allah), untuk setiap urusan. Sejahteralah malam ini hingga terbit fajar".


Kebanyakan ulama' Islam menegaskan bahawa kemungkinan berlakunya lailatul qadar adalah pada salah satu daripada malam kesepuluh terakhir sama ada malam ganjil ataupun malam genap.

Perkara yang tetap berlakunya malam lailatul qadar adalah di dalam pengetahuan Allah jua. Sesiapa sahaja yang beribadah di malam hari bulan ramadan, jika kebetulan dengan malam lailatul qadar, maka dikurniakan ganjaran pahala melebihi ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang beribadah selama seribu bulan atau selama 83 tahun 4 bulan berbanding dengan malam yang lain-lain.

Rasulullah s.a.w. sendiri amat bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh malam terakhir daripada bulan ramadhan bersama-sama ahli keluarganya dengna beribadah, bertadharu', beristighfar dan bermunajat kehadrat Allah, memohon rahmat, keampunan dan keredhaanNya.

Walaupun Rasulullah s.a.w. seorang yang maksum, dijamin terpelihara daripada dosa dan noda bahkan dijamin syurga, namun baginda tetap berjaga malam untuk qiamullail, menahan diri daripada tidur kecuali untuk seketika sahaja. Orang yang tekun beribadah pada 10 malam yang terakhir daripada bulan ramadhan akan mendapat rahmat yang dijanjikan sama ada dapat atau tidak menemui apa-apa tanda. Perkara yang penting adalah sepertimana yang tersebut dalam hadis sohih riwayat Bukhari dan Muslim iaitu:

  • Menghayati malam tersebut dengan ibadah
  • Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
  • Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Selain tanda-tanda tersebut, para alim ulama' menyebut bahawa beberapa tanda-tanda lain bila berlaku malam lailatul qadar. Antaranya ialah :

  • Ada yang berkata orang yang menemui malam lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang disegenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
  • Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.
  • Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
  • Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

* Imam Tabari pula menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya seseorang itu dapat melihat atau mendengar kerana tidak disyaratkan melihat atau mendengar sesuatu untuk menemui malam lailatul qadar.

Saturday, September 15, 2007

Salam Ramadan


Kelebihan Bulan Ramadan

Bulan Ramadan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.
Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah." Surah Al-Baqarah : 185.
Dipilih di antara malam-malam bulan Ramadan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadan. Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

Kelebihan Puasa di Bulan Ramadan

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan di dalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan sahaja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dalam apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sambda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."
Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Menuju Kesempurnaan Ibadah Puasa
Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut :
  • Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.
  • Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'.
  • pelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: "Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram." (Surah Al-Maidah:42)
  • Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
  • Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.