Thursday, April 30, 2015

Ikrar & Akujanji Calon SPM 2015 SMKB


30 April 2015: Satu perjumpaan Pentadbir, Guru-guru mata pelajaran dan calon-calon SPM 2015 telah diadakan di Sanggar Kokurikulum untuk membuat "akujanji".

Dalam ucapan pengetua, beliau mengharapkan agar semua murid bermula pada waktu ini mestilah memfokuskan sepenuhnya dalam bidang akademik. Beliau percaya bahawa calon-calon SPM ini boleh berjaya seandainya mereka sedar tentang kepentingan SPM  .

Semoga SMKB akan memperoleh kejayaan dalam SPM nanti. InsyaAllah.

Wednesday, April 29, 2015

PLC : "Lesson Study & Learning Walk"


29 April 2015: Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan PLC telah dijalankan di Bilik Mesyuarat As-Syafie dengan dihadiri oleh semua guru SMKB. Kursus kali ini bertajuk Lesson Study & Learning Walk yang telah disampaikan oleh En. Aminuddin Guru Kanan Matematik / Sains SMK Sri Tanjung.

Dalam ceramahnya, beliau banyak mendedahkan tentang kaedah untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas supaya murid akan menarik minat untuk belajar di dalam kelas. 

Semoga apa yang disampaikan akan memberi manfaat kepada semua warga SMKB.

Pemantauan Ketua Unit Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) JPNJ

29 April 2015: Satu pemantauan oleh Unit PPDa Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang diketuai sendiri oleh En. Mustaffa Ibrahim (Ketua Unit PPDa) telah dijalankan di SMKB bagi menilai dan membimbing dari segi pengurusan dan pelaksanaan yang dijalankan serta perancangan (takwim) sepanjang tahun.

Sepanjang pemantauan tersebut, banyak perkara yang telah dibimbing bagi memantapkan lagi pengurusan dipihak sekolah. Terima kasih kepada guru yang terlibat dalam mengurus pengurusan PPDa ini.

Johan SAHIBBA Kategori Tingkatan 3 Daerah Pontian 2015

29 April 2015: SMKB telah menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Sahibba Sekolah-sekolah Menengah Daerah Pontian Tahun 2015. Pasukan SMKB terdiri daripada 3 orang yang terpilih mewakili kategori tingkatan 1, 2 dan 3 bersaing dengan sekolah-sekolah lain bagi merebut kejuaraan daerah untuk tahun 2015.

Pada kali ini SMKB telah melakar sejarah kerana telah dinobatkan sebagai JUARA kategori tingkatan 3. Tahniah diucapkan kepada murid yang terlibat serta guru-guru yang bertungkus lumus melatih semua peserta.

Terima kasih juga diucapkan kepada guru-guru yang terlibat dalam mengelola pertandingan ini dengan jayanya.


Tuesday, April 28, 2015

Bengkel Verifikasi Aplikasi Pengkalan Data Murid (APDM)


28 April 2015 : Bengkel Verifikasi Aplikasi Pengkalan Data Murid (APDM) SMKB telah dijalankan bersama-sama semua Guru-guru Tingkatan di Bilik Gerakan. Bengkel telah dikendalikan dengan jayanya di bawah bimbingan setiausaha APDM Pn. Hafiza Binti Abdullah.

Semua guru tingkatan diminta untuk melengkapkan sepenuhnya maklumat-maklumat yang perlu dalam APDM selewat-lewatnaya hari ahad 3 Mei 2015. Semoga perbengkelan yang dijalankan ini dapat mencapai matlamatnya. Terima kasih diucapkan kepada semua guru tingkatan atas kerjasama yang diberikan.

Sunday, April 26, 2015

"Morning Tea" Calon Murid Cemerlang PT3 & SPM SMKB 2015


26 April 2015: SMKB telah menganjurkan satu majlis yang dinamakan sebagai "Morning Tea" bersama dengan ibu bapa dan pelajar calon cemerlang PT3 dan SPM tahun 2015 di Bilik Mesyuarat As-Syafie. Program ini dijalankan bagi memastikan SMKB akan mencapai kejayaan yang cemerlang pada tahun 2015.

Calon-calon yang terpilih adalah berdasarkan kepada rekod pencapaian akhir tahun 2014 dan ujian 1 yang telah dijalankan baru-baru ini.

Antara objektif yang disasarkan adalah:
  1. Meningkatkan prestasi calon cemerlang PT3 dan SPM
  2. Memberi kefahaman kepada ibu bapa tentang peranannya dalam membina peningkatan prestasi akademik anak-anak.
  3. membantu ibu bapa dalam memahami tahap prestasi anak-anak.
  4. mendorong pelajar agar berusaha mencapai yang terbaik untuk diri mereka dan orang yang ingin melihat kejayaan mereka.
  5. Meningkatkan dan mengeratkan interaksi antara ibu bapa dan guru serta warga sekolah.
  6. Akujanji bersama ibu bapa yang disaksikan oleh pihak pentadbir sekolah.


Thursday, April 23, 2015

Program Amalan Sahsiah dan Rohani (ASAR)


23 April 2015: Gejala sosial yang melibatkan golongan remaja bukan sahaja menimpa remaja kelas bawahan, malahan membabitkan kelompok remaja kelas menengah dan atasan. Pada umumnya, gejala ini timbul kerana golongan remaja tidak mempunyai tempat mengadu dan tidak diurus dengan saksama lagi bijaksana.

Guru di sekolah pula bukanlah sekadar pembimbing akademik, tetapi harus menjadi rakan kepada remaja. Guru yang diingati oleh remaja ialah guru yang boleh dibawa berbincang dan sama-sama menyelesaikan masalahnya. Guru yang hanya memerintah akan diingati sebagai `pemerintah’ dan tidak didekati. Hasilnya, arahan akademik bukan sahaja tidak dipatuhi, bahkan mewujudkan pemberontakan antara pelajar dengan gurunya. Ini pula akan menyebabkan pelajar tidak mempunyai minat terhadap proses pembelajaran.

Atas kesedaran ini, aktiviti kesedaran bahaya mendekati zina di bawah program Amalan Sahsiah dan Rohani telah dijalankan dengan kerjasama Unit Bimbingan & Kaunseling dan Unit Disiplin & Pengawas dengan sasaran semua murid perempuan tingkatan 4 & 5 Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan Ibnu Khaldun.

Semoga dengan aktiviti yang singkat ini akan memberikan sedikit kesedaran kepada semua murid dan seterusnya dapat menangani masalah gejala sosial yang kini semakin digeruni.