Tuesday, January 3, 2012

Perutusan Tuan Pengetua Tahun 2012



Assalamualaikum W.B.T dan salam  sejahtera,

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya, dapat kita meneruskan tugas serta tanggungjawab sebagai pendidik. Di samping itu, diharapkan dapat meningkatkan kecemerlangan SMK Benut bagi tahun 2012. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua warga SMK Benut yang telah berusaha keras pada tahun 2011 dengan mencapai pelbagai kejayaan yang  membanggakan. Kejayaan sekolah mendapat Tempat Ke-3 Keseluruhan  Anugerah Sekolah Cemerlang  Parlimen Pontian pada tahun lalu begitu membanggakan kita semua. Hal ini adalah  hasil kejayaan dalam semua bidang pengurusan di sekolah sama ada dalam bidang kuriklulum, kokurikulum, aspek pengurusan fizikal dan keceriaan, pengurusan disiplin serta aspek- aspek yang lain.

Tahun 2011 dan tahun-tahun seterusnya pastinya dunia pendidikan lebih mencabar dengan persaingan antara sekolah bertambah sengit. Kualiti aras tinggi menjadi penentu keunggulan sesebuah sekolah. Dengan pelaksanaan Sistem Pengurusan Sekolah Kualiti (SPSK), Standard Kualiti, Pengurusan Sekolah Menengah (SKPM), dan Sekolah Berprestasi Tinggi, semua sekolah berusaha melonjakkan prestasi  sekolah masing-masing dalam semua bidang. SMK Benut mengorak langkah dengan melaksanakan School Transfomation Program (STP) di mana 7  SKRA (School Key Result Area) yang melibatkan semua aspek pengurusan di sekolah. Diharapkan (STP) ini diterima, difahami dan diikuti oleh semua guru SMK Benut  bagi menjadikan kita ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan sekolah-sekolah cemerlang yang lain.

Dalam bidang pengurusan murid, kita masih perlu mengurangkan kadar ponteng  Adalah diharapkan pada tahun 2012  segala peraturan sekolah dapat dipatuhi  oleh semua murid. Selain itu, penekanan  terhadap ‘semua guru adalah guru disiplin’ amatlah dituntut. Satu lagi tugas yang mencabar pada tahun 2012  ialah usaha menempatkan sekurang-kurangya 100 orang pelajar tinggal di asrama di samping usaha mencapai Standard  Penilaian Pengurusan Asrama yang mencapai 90% agar setanding dengan Pengurusan Asrama Sekolah Cemerlang yang lain.

Dalam bidang kokurikulum, sasaran kita bukan setakat menjuarai di peringkat daerah tetapi lebih banyak pencapaian di peringkat negeri, kebangsaan dan di peringkat antarabangsa. Pencapaian yang cemerlang dalam pertandingan Petanque,  PSV dan lain-lain, diharapkan terus dikekalkan pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang. 10% aktiviti kokurikulum amat penting dalam menentukan masa depan murid untuk melangkahkan kaki mereka ke menara gading. Oleh yang demikian, guru-guru perlu memastikan penglibatan cemerlang murid dalam aktiviti kokurikulum.

Semua cabaran yang telah dinyatakan tidak mustahil untuk dicapai dengan syarat semua warga SMK Benut bersama-sama menggembeling tenaga sebagai satu pasukan untuk mencapai matlamat yang sama. Selain itu, komitmen dan intergriti yang tinggi terhadap tugas dan tanggunggjawab semua guru sangat diharapkan dalam menjana Kecemerlangan SMK Benut. Buku panduan tugasan ini adalah diharapkan dapat menjadi pedoman dalam beberapa aspek pengurusan, mendapatkan maklumat berkaitan pengurusan dan peraturan sekolah. Diharapkan juga tugasan kepada para guru yang disusun menepati kebolehan dan kepakaran setiap guru dan kakitangan sekolah agar tugas yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan berkesan, seterusnya mendapat hasil yang cemerlang dan membina sekolah yang unggul.


Sekian, terima kasih.
(MASTURA ALADDIN BIN MASRO)
Pengetua SMK Benut

Teks perutusan ini diambil daripada kata alu-aluan Tuan Pengetua dalam Buku Panduan dan Tugas Tahun 2012.

No comments: