Monday, February 20, 2012

Taklimat Khas PBS 2012



20 Februari 2012 – Taklimat Khas Pelaksanaan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) telah berjaya disampaikana oleh Encik Mohd Esa Bin Dasim (Jawatankuasa PBS) dan Encik Selamat Bin Haji Mon (PK Pentadbiran, SMK Benut) kepada para pelajar SMK Benut di Dataran Baiduri semasa perjumpaan Perhimpunan Khas Mingguan pada hari ini.

PBS ini diyakini dapat melahirkan modal insan yang holistik serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. PBS ini wajib dibuat dan dilaksanakan oleh semua murid dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Tiga. Namun, Tingkatan Satu lebih berfokus utama kerana pada tahun ini apabila bermulanya perubahan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Dalam PBS terdapat empat komponen, iaitu Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Pentaksiran Pusat dan Pentaksiran Sekolah bersifat akademik manakala Pentaksiran Psikometrik dan PAJSK pula bersifat bukan akademik. Bagi Pentaksiran Pusat, ia dilaksanakan oleh sekolah menggunakan instrumen dan garis panduan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan. Pentaksiran ini melibatkan kerja kursus dan projek lisan. Pentaksiran Sekolah pula melibatkan mata pelajaran teras dan elektif. Ia dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak sekolah.

Manakala Pentaksiran Psikometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah dan atau pusat untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.

PAJSK adalah pentaksiran yang dijalankan untuk mendapatkan maklumat tentang kapasiti dan potensi jasmani, sukan dan kokurikulum yang dikawal secara harmoni oleh kapasiti dan proses mental seseorang individu murid supaya pertumbuhannya dapat dipantai dan diperbaiki.

Para murid akan mendapat maklumat lebih khusus melalui guru mata pelajaran semasa pelaksanaan PBS ini dilakukan. Semoga mendapat kerjasama daripada semua murid dalam menjayakan PBS ini di peringkat sekolah.

 Encik Mohd Esa Bin Dasim


Encik Selamat Bin Haji Mon



Sambutan Maulidur Rasul 1433 H


17 Februari 2012 – Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1433H peringkat sekolah SMK Benut telah berjaya diadakan pada hari ini dengan suasana yang sederhana namun tetap mencapai matlamat  majlis, iaitu untuk memperingati dan mencontohi perjuangan dan akhlak Rasululullah S.A.W. Tema pada tahun ini, iaitu Persefahaman Asas Perpaduan Ummah. Majlis ini diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut bermula jam 8.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari.

Antara objektif program ini yang dikelolakan oleh Panitia Pendidikan Islam, Pengurusan Asrama (Asli), SMK Benut serta kerjasama semua warga SMK Benut, iaitu supaya dapat menanamkan rasa cinta pelajar terhadap sunnah dan sirah Rasulullah. Seterusnya, menghayati sambutan Maulidur Rasul secara teori dan praktis. Selain itu, menghidupkan sunnah dengan semangat kerjasama dan persaudaraan yang erat. Di samping itu, dapat memupuk hubungan baik dan bersepadu antara guru dan pelajar. Akhir sekali, dapat menghidupkan budaya kerja cemerlang dalam kalangan guru dan pelajar serta kakitangan SMK Benut.

Pelbagai aktiviti telah berjaya dilaksanakan bagi pengisian program ini kepada para pelajar SMK Benut. Program dimulakan dengan para pelajar berkumpul di Dararan Benut dan seterusnya perarakan sambil berselawat beramai-ramai di laluan yang telah ditetapkan dengan diiringi paluan kompang oleh Kelab Kompang SMK Benut. Seterusnya, persembahan slaid sirah Rasulullah S.A.W. , dan bacaan al-Quran berserta terjemahan di Dewan Baiduri. Selepas itu, para pelajar mendengar ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh penceramah undangan khas, iaitu Ustaz Solihin Bin Salleh (Pengetua SMA Jawahir Al-Ulum, Senggarang, Batu Pahat. Selepas majlis jamuan, pelajar seterusnya menyaksikan persembahan berzanji dan marhaban, nasyid oleh pelajar SMK Benut, kuiz khas Rasulullah dan persembahan sketsa daripada pelajar Tingkatan Prauniversiti.

Jawatankuasa Pelaksana Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1433H mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penderma dan penyumbang tenaga sehingga majlis ini berjaya diadakan.


Pertandingan Nasyid Peringkat Sekolah


16 FEBRUARI 2012 – Pertandingan Nasyid peringkat sekolah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1433 H telah berjaya diadakan pada hari ini di Dewan Baiduri, SMK Benut. Pertandingan ini dikelolakan oleh Panitia Pendidikan Islam, SMK Benut.

Kumpulan An-Nisa’ telah mendapat JOHAN dalam pertandingan ini. Manakala kumpulan Nur Iman mendapat tempat KEDUA. Seterusnya, Kumpulan Fatimah Azzahara berjaya mendapat tempat KETIGA manakala Kumpulan Mutiara Islam mendapat tempat KEEMPAT.

Tahniah kepada para pemenang pertandingan.


Tahniah Pasukan Bola Keranjang, Sepak Takraw, Atlet Merentas Desa


16 Februari 2012 – Warga SMK Benut merakamkan syabas dan tahniah kepada Pasukan Bola Keranjang SMK Benut, terutama Pasukan Lelaki 18 (NAIB JOHAN) dan Pasukan Perempuan 18 (NAIB JOHAN) yang telah berjaya dengan cemerlang dalam pertandingan ini yang diadakan di Gelanggang MCA Permas, Kukup, Pontian pada 8 hingga 10 Februari 2012.

Antara mereka turut terpilih ke peringkat MSSJ yang akan diadakan di Segamat pada 24 hingga 26 Februari 2012. Berikut mereka yang terpilih dalam Pasukan L18 (LEE ZHI AN, ONG YING HOCK dan NEO WEI SEN) manakala Pasukan P18 (NEO JIA JING, GAN SHU YAN dan GOH SIAW CHIN).
Tahniah dan terima kasih kepada Pengurus Pasukan dan Jurulatih yang memastikan kejayaan yang cemerlang dalam pertandingan ini.


Warga SMK Benut turut merakamkan syabas dan tahniah kepada Pasukan Sepak Takraw SMK Benut, terutama Pasukan Lelaki 18 Kumpulan A (NAIB JOHAN) dan Pasukan Lelaki 18 Kumpulan B (KEEMPAT) yang telah berjaya dengan cemerlang dalam pertandingan ini yang diadakan di SJK (C) Pei Chun, Pontian pada 14 Februari 2012.

Warga SMK Benut turut merakamkan syabas dan tahniah kepada Pasukan Sepak Takraw SMK Benut, terutama Pasukan Lelaki 15 Kumpulan A (JOHAN) dan Pasukan Lelaki 15 Kumpulan B (KEEMPAT) yang telah berjaya dengan cemerlang dalam pertandingan ini yang diadakan di SJK (C) Pei Chun, Pontian pada 15 Februari 2012.

Tahniah dan terima kasih kepada Pengurus Pasukan dan Jurulatih yang memastikan kejayaan yang cemerlang dalam pertandingan ini.


Warga SMK Benut merakamkan syabas dan tahniah kepada atlet SMK Benut yang berjaya dalam pertandingan Merentas Desa MSSD Pontian yang telah diadakan pada 19 Januari 2012 di SMK Kayu Ara Pasong. 

Berikut pencapaian cemerlang atlet SMK Benut :

CHUA ZHEN YU (KETIGA LELAKI BAWAH 15)
DAENG MOHD QAYYUM BIN EMBOK ELAK (KETUJUH LELAKI BAWAH 15)
ONG YING HOCK (KELAPAN LELAKI BAWAH 18)

Tahniah dan terima kasih kepada Pengurus Pasukan dan Jurulatih yang memastikan kejayaan yang cemerlang dalam pertandingan ini.


Tuesday, February 14, 2012

Pelancaran Operasi Ponteng Kelas 2012



14 Februari 2012 – Pelancaran Operasi Ponteng Kelas telah berjaya diadakan pada perhimpunan khas hari ini di Dataran Baiduri, SMK Benut pada jam 7.20 pagi.

Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) telah sudi menyerahkan Buku Laporan Kehadiran Pelajar kepada wakil ketua tingkatan dan turut disempurnakan penyerahan Pas Keluar kepada guru-guru SMK Benut.

Buku Kehadiran Pelajar disediakan untuk menentukan dan memastikan kehadiran pelajar setiap waktu pembelajaran dan pengajaran dalam kelas. Manakala Pas Keluar ini pula, untuk digunakan bagi memberikan kebenaran pelajar  ke tandas atau yang berkaitan urusan yang diarahkan oleh guru yang berkenaan. Seterusnya, bagi memastikan para pelajar SMK Benut sentiasa berada dalam kelas untuk mengikuti pelajaran dan keluar dengan kebenaran guru yang mengajar pada masa pembelajaran dan pengajaran.

Semoga pelaksanaan program ini dapat kerjasama semua pihak dan memastikan sifar ponteng kelas.

















Tahniah Pelajar Cemerlang 2011


13 Februari 2012 – Majlis Penyampaian Sijil Kecemerlangan Murid Tingkatan 1, 2, 4 dan Pelajar Prauniversiti Junior serta MUET 2011 yang seramai 15 orang murid dan pelajar telah berjaya diadakan pada hari ini semasa perhimpunan mingguan di Dataran Baiduri, SMK Benut.Majlis ini adalah anjuran Majlis Kurikulum SMK Benut.

Antara objektif program ini adalah untuk memberikan penghargaan kepada murid dan pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Selain itu, menyuntik semangat kepada murid dan pelajar yang lain supaya belajar bersungguh-sungguh, Akhir sekali, untuk memartabatkan pencapaian murid dan pelajar sama ada dalam Peperiksaan Dalaman mahupun Peperiksaan Awam. 


Penyampaian Sijil Kecemerlangan Murid ini merupakan satu penghargaan kepada mereka yang mencapai kejayaan cemerlang dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2011 di tingkatan 1, 2, 4 dan Prauniversiti Junior. Seterusnya, turut diberikan penghargaan kepada mereka yang cemerlang dalam peperiksaan MUET 2011.

Penyampaian Sijil Kecemerlangan Murid ini telah disempurnakan oleh Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut).

Syabas dan tahniah kepada penerima anugerah manakala murid dan pelajar lain menjadikannya sebagai motivasi dan galakan untuk turut cemerlang dalam peperiksaan yang akan dihadapi nanti.