Tuesday, October 6, 2009

Majlis Restu PMR 2009


6 Oktober 2009 – Majlis Restu Ilmu PMR 2009 telah diadakan pada hari ini kepada semua pelajar Tingkatan 3 yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula 7 Oktober 2009 sehingga 13 Oktober 2009. Seramai 204 orang pelajar Tingkatan 3 yang akan mengambilnya.


Program ini merupakan anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Benut. Program ini diadakan bertujuan memberikan keizinan ilmu yang dicurahkan kepada anak didik, memberikan amanat tentang pentingnya ilmu yang baik untuk dunia dan akhirat, mengeratkan hubungan kemanusiaan antara penduduk dengan pelajar serta membantu mengurangkan stress dan meningkatkan semangat juang kepada pelajar.


Program ini dirasmikan oleh Encik Hamid Bin Selamat (Penolong PPD Pembangunan Kemanusiaan, Pejabat Pelajaran Daerah Pontian). Beliau memberi amanat kepada semua pelajar Tingkatan Tiga supaya menjaga kesihatan, menjawab soalan dengan penuh yakin dan seterusnya mencapai kejayaan cemerlang dalam meningkatkan prestasi kelulusan sekolah, daerah dan peringkat negeri Johor.


Semua pelajar Islam seterusnya ke Surau untuk mengikuti program bacaan Yassin dan solat hajat manakala pelajar bukan Islam mengikuti program moral.


Pengetua SMK Benut, iaitu Encik Hasnan Bin Jaffar turut menyampaikan amanat kepada para pelajar Tingkatan Tiga supaya menjaga kesihatan diri, mengulang kaji pelajaran dan mendoakan kejayaan cemerlang dan mengharapkan sasaran kelulusan prestasi 70% akan tercapai. Beliau turut berjanji akan memberikan hadiah kepada pelajar cemerlang dan juga kepada pelajar yang lulus semua mata pelajaran. Pada majlis tersebut juga, majlis mohon restu ibu bapa dan guru-guru turut diadakan.


Diharapkan agar para pelajar jelas di dalam mindanya bahawa guru-guru redha dalam mencurahkan segala ilmu yang baik demi kejayaan cemerlang mereka. PMR yang bakal menjelang ada kalanya memberi tekanan kepada para pelajar. Semoga dengan adanya majlis ini dapat meningkatkan semangat juang dan keyakinan pelajar untuk menghadapi PMR.


Warga SMK Benut mendoakan kejayaan cemerlang kepada semua pelajar Tingkatan Tiga. Anda BOLEH jika anda BERSUNGGUH-SUNGGUH ingin kejayaan CEMERLANG.






No comments: