Wednesday, October 28, 2009

Program Peningkatan Sahasiah Diri SMK Benut


28 Oktober 2009 – Seramai 400 orang pelajar SMK Benut yang terdiri daripada Tingkatan Satu, Dua dan Tiga telah mengikuti Program Peningkatan Sahsiah Diri anjuran Jawatankuasa Peningkatan Sahsiah Diri Daerah Pontian dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Murid SMK Benut di Dewan Baiduri, SMK Benut pada hari ini. Program bermula jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang.

Program sehari ini diadakan dengan objektif membentuk peribadi mulia dan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar, melahirkan insan bertaqwa, cemerlang dan memiliki jati diri yang baik menjunjung perintah dan larangan hukum syarak serta membina insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti ceramah keselamatan dari IPD Pontian oleh Insp. Zulkifli Bin Yahya, ceramah kesihatan oleh Dr. Rohana Binti Akmar dari Pejabat Kesihatan Benut, Ceramah Pendidikan Akhlak oleh Ustaz Mohd Fairuz Bin Ali Akhbar dari Pejabat Agama Johor.

Selain itu, para peserta turut mendapat pelbagai maklumat dan pengetahuan dari pameran yang disediakan oleh pelbagai agensi dan jabatan, iaitu Jabatan Penjara Simpang Renggam, Pusat Kesihatan Pontian, PDRM daerah Pontian, Jabatan Belia dan Sukan (Rakan Muda) Daerah Pontian, Jabatan Agama Islam Daerah Pontian, Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Pontian. Para pelajar juga memberikan sokongan dengan mendaftar sebagai ahli Rakan Muda, Kelab Antidadah dan Kelab Taknak Merokok.

Majlis Perasmian penutup telah dirasmikan oleh Encik Mohd Hafiz Bin Aliman, Penolong Pegawai Daerah Pontian. Beliau menyarankan program seperti ini dapat memberikan pelbagai pengetahuan dan kesedaran mental kepada para peserta. Selain itu, beliau mengharapkan agar semua pelajar sentiasa bermaklumat dan memastikan disiplin diri sentiasa baik dan cemerlang. Turut hadir pada majlis perasmian penutup, Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua SMK Benut), Puan Hajah Andi Audryanah Binti Hj. Md Noor (Guru Penolong Kanan HEM, SMK Benut), Jawatankuasa PIBG, dan Ketua-Ketua Kampung serta ibu bapa yang dijemput hadir.

Warga SMK Benut merakamkan sekalung terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan program peningkatan sahsiah diri dengan jayanya.






No comments: