Friday, October 30, 2009

Sekolah Bersih, Pelajar Ceria


30 Oktober 2009 – Aktiviti Program Selepas PMR 2009 pada hari ini telah diisi dengan program yang penuh bermakna kepada para pelajar Tingkatan Tiga, iaitu Penghayatan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Panitia Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, SMK Benut telah melaksanakan satu Program Khidmat Masyarakat dengan tema ‘Sekolah Bersih, Pelajar Ceria’ pada hari ini.

Program Khidmat Masyarakat ini telah dilancarkan oleh Pn. Hjh Andi Audrayanah Binti Md Nor (Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid). Program ini diadakan di persekitaran kawasan sekolah SMK Benut dengan objektif melahirkan pelajar yang cinta akan kebersihan dan bangga sebagai warga sekolah. Di samping itu, turut menyumbangkan tenaga untuk memastikan keindahan dan kebersihan sekolah sentiasa terjaga dan terbaik.

Seramai 130 orang pelajar telah dibahagikan kepada 7 seksyen, iaitu kawasan dewan, kantin, surau, tempat letak kereta guru, kawasan persekitaran dataran Keris, dan kawasan bersebelahan bilik guru, dan tapak perhimpunan. Program ini bermula 8.30 pagi dan berakhir 12.10 pagi.

Warga SMK Benut merakamkan terima kasih kepada semua peserta yang terlibat dalam menjayakan program ini.



No comments: