Monday, May 17, 2010

Selamat Hari Guru...cikgu...


17 Mei 2010 – Sambutan Hari Guru peringkat SMK Benut telah diadakan pada hari ini dengan cukup meriah dan penuh bermakna kepada warga SMK Benut. Program ini telah diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 1.00 petang. Pelbagai aktiviti telah diatur untuk menjayakan program ini yang dikelolakan sepenuhnya oleh Lembaga Pengawas SMK Benut.

Program dimulakan dengan perarakan guru-guru yang diiringi paluan kompang dan bunga manggar dan disambut dengan pasukan silat. Seterusnya, Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut) telah dikehendaki menaiki peralatan khas yang diangkat oleh beberapa orang pelajar untuk dibawa masuk ke dalam dewan Baiduri, SMK Benut. Tepukan gemuruh diberikan oleh para pelajar ketika perarakan para guru masuk ke dalam dewan Baiduri.

Nyanyian lagu Negaraku, lagu Guru Malaysia dan lagu Tema Hari Guru telah dinyanyikan dengan penuh semangat oleh para guru dan para pelajar dengan diiringi pasukan koir. Seterusnya, bacaan watikah perutusan hari guru oleh Y.Bhg. Tan Sri Menteri Pelajaran Malaysia yang disampaikan oleh Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut) dan perutusan hari guru oleh Y.Bhg. Tan Sri Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia oleh Puan Hajah Rohani Binti Abd Manap (Guru Penolong Kanan Satu).

Bacaan Ikrar guru turut dibaca dengan diketuai oleh Encik Mosman Bin Parkan. Seterusnya, majlis memotong kek telah disempurnakan oleh Tuan Pengetua. Deklamasi sajak oleh pelajar turut dipersembahkan dengan sajak yang bertajuk Guru Oh Guru karya Sasterawan Negara Usman Awang.

Pada majlis ini juga, penyampaian cenderahati daripada para pelajar SMK Benut telah diberikan serta pemberian cenderahati daripada ALUMNI Persatuan Tingkatan Enam Sesi 2006/2007. Warga Pendidik SMK Benut merakamkan terima kasih atas pemberian cenderahati tersebut.

Perlawanan bola sepak, bola tampar dan pelbagai sukaneka seperti makan buah epal, anyam ketupat, pindah belon menggunakan surat khabar turut diadakan bagi memeriahkan program ini.

Kemuncak program ini ialah dengan pelbagai persembahan oleh para pelajar dan guru turut diadakan di dewan Baiduri, SMK Benut. Antaranya, nyanyian koir daripada pelajar PraU, ‘Choral Speaking’, tarian kipas oleh pelajar Cina, dikir barat, nyanyian koir pustakawan, dan persembahan para guru.

Warga Pendidik SMK Benut mengucapkan terima kasih kepada para pelajar SMK Benut yang menjayakan sambutan hari guru bagi tahun 2010 yang memberikan kenangan sungguh istimewa kepada kami dan akan kekal buat selama-lamanya.



























































Perutusan Hari Guru 










No comments: