Monday, May 10, 2010

Selamat Datang Menjadi Warga SMK Benut


10 Mei 2010 – Warga SMK Benut merakamkan syabas dan tahniah kepada para pelajar Pra Universiti (Junior) yang mula mendaftar pada hari ini di Dewan Baiduri, SMK Benut. Seramai 139 orang pelajar telah mendaftar diri pada hari ini. Bagi yang masih belum mendaftar masih boleh berbuat demikian sepanjang minggu ini.

Pelajar ini akan mengikuti Minggu Suai Mesra Pra Universiti (Junior) bermula pada hari ini dan akan berakhir pada hari Jumaat, 14 Mei 2001. Perasmian Minggu Suai Mesra Pra Universiti (Junior) telah dirasmikan oleh Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut). Beliau mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada para pelajar kerana terpilih sebagai pelajar Pra Universiti di SMK Benut bagi menimba ilmu sebagai persediaan sebelum meneruskan matlamat ke Institusi Pengajian Tinggi. Beliau turut mengharapkan agar pelajar bersedia lebih awal dengan belajar bersungguh-sungguh dan menempa kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran dan seterusnya membanggakan SMK Benut.

Minggu Suai Mesra Pra Universiti (Junior) diadakan dengan matlamat untuk melahirkan pelajar yang berkualiti serta kreatif seterusnya menyahut cabaran untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Pelbagai program dan aktiviti telah disusun oleh Jawatankuasa Program, iaitu taklimat pra universiti, taklimat kokurikulum, taklimat disiplin, taklimat biasiswa, ceramah motivasi, taklimat pusat sumber, dan taklimat pakej mata pelajaran yang akan diambil oleh para pelajar.

Program ini wajib diikuti oleh semua pelajar Pra Universiti (Junior) supaya segala program yang dirancang dapat manfaat yang berguna dan seterusnya diaplikasikan demi kecemerlangan SMK Benut. Program ini akan dikelolakan dengan kerjasama Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar Pra Universiti (MPPU) SMK Benut.




















No comments: