Sejarah SMKB


Dalam Lipatan Sejarah…Ketahuilah Sejarah Penubuhan SMK Benut, Pontian, Johor.














14 Januari 1965

Pada hari ini dalam tahun 1965, lahirlah sebuah institusi pendidikan menengah yang ulung di Pekan Benut. Institusi ini memulakan sesinya pada awal 1965. Institusi ini dikenali sebagai ‘Sekolah Menengah Benut’ (SMB). Penubuhan sekolah ini telah dapat memenuhi keperluan pelajar-pelajar dari kawasan yang berhampiran seperti Sungai Pinggan, Rengit, Ayer Baloi dan Simpang Renggam bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.

Pada mulanya sekolah ini menumpang di bangunan baru Sekolah Kebangsaan Benut yang terletak berhampiran dengan tapak bangunan baru SMB sekarang. Pelajar-pelajar ini mengikuti pelajaran dalam dua aliran, iaitu aliran Menengah Kebangsaan (Melayu) dan Menengah Jenis Kebangsaan (Inggeris).

SMB merupakan sebuah sekolah yang terletak di kawasan luar bandar, 14 km dari pekan Rengit, 25 km dari Pontian dan 24 km dari Simpang Renggam.

Pengetua yang pertama mentadbirkan sekolah ini ialah Encik Mahapar Bin Haji Manaf yang dibantu oleh dua orang guru latihan maktab, tiga orang guru pelatih dan dua orang guru sementara. Pada tahun ini, seramai 145 orang murid Tingkatan Satu telah mendaftar dengan 14 buah kelas telah disediakan.

1966

Pada tahun 1966,  jumlah murid meningkat kepada 373 orang termasuk 70 orang murid yang mengikuti kelas aliran Bahasa Inggeris. Sekolah ini seterusnya telah membuka persekolahannya dengan dua aliran, iaitu Kebangsaan dan Inggeris.

1967

Sekolah ini mula di tempatkan di bangunan barunya sendiri di tapak seluas 7 ekar. Dua blok bangunan untuk bilik darjah, perpustakaan, makmal dan bilik SRT bagi menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat. (Blok Nilam dan Mutiara)

Jumlah muridnya meningkat kepada 573 orang. Masalah kekurangan bilik darjah yang berlaku pada tahun tersebut telah dapat diatasi dengan menempatkan sebahagian murid sekolah ini ke sekolah cawangan lain, iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Lork Yu 1, Parit Tengah, Benut.

Pentadbiran sekolah ini telah dilaksanakan di tiga buah sekolah yang berasingan, iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Benut, SRJK Lork York Benut dan SRJK Lork Yu 1 Parit Tengah Benut. Pada pertengahan bulan Mei 1967, Pengetua sekolah ini, iaitu Encik Mahpar Bin Haji Manaf telah menamatkan perkhidmatannya kerana melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Tempat beliau kemudiannya digantikan oleh Pengetua yang baharu, iaitu Encik Abdul Karim Bin Mohd Yassin.

1968

Pada tahun ini, jumlah murid SMB telah meningkat seramai 667 orang. Bagi melicinkan pentadbiran pihak sekolah telah menjalankan sekolah dua sesi, iaitu pagi dan petang. Untuk melaksanakan sistem pendidikan aneka jurusan, pelajar Sains Pertanian dan Sains Rumah Tangga telah diperkenalkan memandangkan adanya kemudahan yang disediakan di bangunan yang baru itu.

Menjelang akhir tahun 1968, pentadbiran sekolah ini sekali lagi mengalami perubahan apabila Pengetua, iaitu Encik Abdul Karim Bin Mohd Yassin bertukar menjadi Guru Besar di Sekolah Rendah Tengku Mahmud Iskandar, Pontian. Tempat beliau digantikan oleh Tuan Haji Abdullah Bin Abd. Rahman. Bagi mengemaskinikan pentadbiran sekolah, seorang kerani dan beberapa orang tukang kebun telah di tempatkan bekerja di sekolah ini.

1969

Pada tahun ini, jumlah pelajar SMB telah bertambah seramai 753 orang dan pada tahun ini juga kelas tingkatan empat telah dimulakan. Pada tahun ini juga projek memagar kawasan sekolah dan padang permainan telah disiapkan.

1970

Menjelang tahun 1970, sekali lagi masalah kekurangan bilik darjah telah timbul. Masalah ini dapat diatasi dengan menempatkan tiga kelas peralihan Inggeris di Sekolah Rendah Kebangsaan Benut.

1971

Pada tahun 1971, setelah sekolah ini wujud selama tujuh tahun, pelbagai masalah dan kesulitan telah dapat diatasi. Pada tahun ini jumlah penuntutnya ialah seramai 976 orang. Masalah kekurangan bilik darjah dan kelengkapan telah dapat diatasi apabila sebuah bangunan tambahan yang baru telah disiapkan pada akhir tahun tersebut.  Bangunan ini mengandungi 6 bilik darjah, bilik perpustakaan, bilik makmal, bilik masakan dan bilik jahitan.

1973

Bermula pada tahun ini, mata pelajaran ilmu hisab moden telah diperkenalkan dan seterusnya diikuti dengan mata pelajaran sains panduan serta mata pelajaran perdagangan.

1976

Bilangan pelajar telah meningkat ke angka 1780 orang. Oleh itu, SMB telah dinaikkan taraf ke gred A di daerah Pontian. Sebuah surau, gelanggang bola keranjang dan bangunan serba guna untuk dijadikan perpustakaan telah dibina atas sumbangan pihak PIBG. (Blok Berlian)

Pertambahan murid ini perlulah diikuti dengan perkembangan fizikal dan kelengkapan yang lain. Gelanggang bola jaring dan sebuah surau telah disiapkan pada tahun ini yang berharga kira-kira RM8,000,00 hasil sumbangan derma Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini.

1979

Dalam usaha memajukan perkembangan akademik sekolah ini, PIBG memainkan peranan yang sangat penting. Dengan adanya daya usaha PIBG, Sekolah Menengah Benut telah banyak memberi sumbangan kewangan kepada pihak sekolah seperti memberi sumbangan kelengkapan-kelengkapan yang lain. Antara sumbangan terbesar PIBG ialah pembinaan bangunan serbaguna yang telah disiapkan pembinaannya pada akhir tahun 1979, dengan perbelanjaan sebanyak RM20,000,00.

1980

Tiga buah makmal sains tulen telah disiapkan untuk memenuhi keperluan pelajar aliran sains yang bermula pada tahun 1980. (Blok Intan)

Pembinaan akademik dan persatuan dapat dilaksanakan dengan lancar. Hal ini adalah untuk memenuhi keperluan pelajaran aliran sains yang akan dilaksanakan pada tahun 1980.
Tahun 1980 merupakan era baru dalam perkembangan sekolah ini. Pada tahun ini Pengetua, Tuan Haji Abdullah Bin Abd. Rahman telah menamatkan perkhidmatannya selama 11 tahun di sekolah ini. Beliau telah berpindah untuk memegang jawatan yang baru di Sekolah Menengah Tun Sardon di Rengit. Tempat beliau telah digantikan oleh Pengetua yang baru, iaitu Tuan Haji Hussien Bin Mahmood yang pernah menyandang jawatan Guru Besar dan juga sebagai Pegawai Bahasa Negeri, di Jabatan Pelajaran Johor.

1982

Pada 2 Oktober 1982, SMB telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Musa Bin Hitam. Pada tahun itu juga Sekolah Menengah Benut telah mendapat sebuah dewan yang diberi nama ‘Dewan Baiduri’.  Pada tahun ini, Tuan Haji Mohd Kosnin Bin Amat Kamari menerajui SMK Benut sehingga tahun 1990.

1985

Menjelang tahun 1985, SMB telah memulakan kelas Tingkatan Enam dengan pengambilan seramai 90 orang pelajar aliran sastera. Kekurangan bilik darjah bagi menempatkana pelajar-pelajar ini telah dapat diatasi apabila bangunana baru di Jalan Parit Ismail. (Blok Delima)

1989

Pada 1 Januari 1989, SMB telah mendapatkan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk pembinaan 4 buah bilik darjah, iaitu bangunana gotong-royong. (Blok Fairuz). Pada 17 Mei 1989 pula pembinaan bangunan tambahana 1 blok 4 tingkat bernilai RM680,000,00 yang mengandungi 6 bilik darjah, bilik-bilik khas, bilik Pendidikan Seni, Perpustakaan, Bilik Komputer dan Bilik Kaunseling. (Blok Zamrud). Pada 26 Disember 1989, pembinaan 1 blok 3 tingkat bangunan tambahan yang mengandungi 10 bilik darjah dan 3 makmal sains tulen telah bermula. Kos pembinaan setinggi RM749,794,00. (Blok Permata).

1990

Pada 1 Oktober 1990, dengan kerjasam pihak PIBG sebuah Balai Islam berharga RM60,000,00 bagi keperluan pelajar-pelajar Islam. (Balai Islam Saidina Abu Bakar)

1991

Pada tahun 1991, Tuan Haji Baharudin Bin Awang sebagai Pengetua sehingga tahun 1995.

1992

Para pelajar SMB, belajar dalam satu sesi (pagi sahaja). Pada tahun ini juga SMB mencapai kecemerlangan akademik apabila keputusan SPM mencatatkan kedudukan (79.7%) kedua di peringkat daerah Pontian.

1993

Bangunan baru tiga tingkat mula digunakan. Kantin dan tandas guru diperbaiki sementara padang sekolah ditambak.

1994

Pada Januari 1994, dengan kerjasama pihak PIBG sebuah arca berbentuk keris berharga RM8500,00 telah dibina. Pada awal bulan Mac pula, SMB telah menerima peruntukan sebanyak RM10,000,00 untuk pembinaan bengkel-bengkel Kemahiran Hidup yang selama ini menumpang di kantin lama. (Dataran Hang Tuah).

1995

Pada Julai 1995, landskap dan sebuah air terjun telah dibina di hadapan bangunan pejabat.

1996

Pada Januari 1996, SMB telah menerima seorang Pengetua wanita pertamaa, iaitu Puan Hajah Halidah Bte Haji Baba. Pada Mei 1996, pula bilik guru baru telah dibina di Blok Nilam yang menelan belanja sebanyak RM50,000,00. Pada Jun 1996 pula, Dewan Baiduri telah dirasmikan oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia, iaitu Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Hj. Abdul Razak.

1997

Pada bulan Jun 1997, pagar hadapan sekolah ditukar kepada pagar konkrit yang melibatkan kos sebanyak RM10,000,00. Sebuah air pancut di hadapan Blok Delima dibina. Pada tahun 1997 juga meninggalkan kenangan indah apabila SMK Benut dengan rasminya menerima anugerah Sekolah Harapan Negara peringkat negeri Johor kategori Sekolah Menengah Luar Bandar.

2001

SMK Benut sekali mengukir sejarah apabila Tingkatan Enam Rendah Sains dibuka di sekolah ini.

2006

Puan Hajah Halidah Binti Haji Baba menerajui SMK Benut selama 10 tahun sehingga bersara wajib pada 14 Ogos 2006. Tempat beliau telah digantikan oleh Tuan Haji Hashim Bin Mohd Dom yang mentadbir SMK Benut bermula 16 Ogos 2006 sehingga 15 September 2007.

2007

SMK Benut seterusnya, telah bertukar pucuk pimpinannya apabila Tuan Haji Hashim Bin Mohd Dom berpindah ke SMK  Datuk Penggawa Barat sebagai Pengetua. Tempat beliau telah digantikan oleh Encik Ahmad Khairi Bin Paimin yang juga mentadbir bermula 16 September 2007 sehingga 16 Februari 2008.

2008

SMK Benut seterusya, telah bertukar kepimpinannya di mana Encik Ahmad Khairi Bin Paiman telah bertukar ke SMK Telok Kerang. Tempat beliau seterusnya digantikan oleh Encik Hasnan Bin Jaffar yang memulakan tugas sebagai Pengetua SMK Benut pada 17 Februari 2008 sehingga bersara wajib pada 2 Mac 2011.

2010

Pada 22 Februari 2010, warga Sekolah Menengah Kebangsaan Benut boleh membeli makanan dan minuman pada waktu rehat di kantin yang lebih luas dan selesa dengan kemudahan yang lebih baik. Kantin baru ini terletak di bangunan baru 3 tingkat (aras bawah) yang telah siap dibina pada akhir tahun 2009. Di bangunan ini juga terdapat makmal sains, dewan kuliah dan bilik guru bagi tenaga pengajar pelajar Prauniversiti. Pada tahun ini juga kelas Prauniversiti yang berada di bangunan ini telah mula digunakan untuk pelajar Prauniversiti.

Seramai 593 orang pelajar SMK Benut telah menerima komputer riba di bawah inisiatif jalur lebar negara disumbangkan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Pemberian ini membolehkan pelajar kurang berkemampuan memilikinya dalam usaha meningkatkan minat serta kemahuan mereka untuk sama menerajui bidang teknologi (IT) sekali gus meringankan beban kewangan ibu bapa penjaga.

Pada 16 November 2010, SMK Benut telah dianugerahkan Sekolah Cemerlang bagi kategori sekolah menengah pada pertandingan anjuran Pejabat Ahli Parlimen Pontian dengan menerima Sijil Penghargaan dan wang tunai sebanyak RM10,000.  

2011

Setelah 46 tahun sekolah ini diasaskan beberapa kejayaan telah diperolehi sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. SMK Benut bukan sahaja mencapai kejayaan di peringkat daerah tetapi juga di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa (melalui pencapaian cemerlang pendidikan seni visual).

Kejayaan-kejayaan ini telah menempatkan tahap kepercayaan yang tinggi masyarakat di daerah ini kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Benut. Justeru, SMK Benut akan turut merealisasikan visi sekolah selaras dengan visi Jabatan Pelajaran Johor, iaitu Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang. 

Penantian pengganti Pengetua SMK Benut akhirnya telah  berakhir apabila tanggal 11 Julai 2011, Encik Mastua Aladdin Bin Masro telah menerima pertukaran ke SMK Benut bagi menggantikan Encik Hasnan Bin Jaffar yang bersara wajib bermula 2 Mac 2011. Beliau sebelum ini sebagai Pengetua SMK Ayer Baloi, Pontian serta merupakan Pengetua Cemerlang DG52. Beliau sebenarnya sebelum ini pernah menjadi tenaga pengajar SMK Benut pada tahun 1989 – 1996.

Semoga SMK Benut terus CEMERLANG pada tahun ini. Insyaallah.


Kenali Pengetua SMK Benut 1965 hingga Kini








Encik Mahpar Bin Haji Manap
1965 – 1967

Encik Abdul Karim Bin Mohd Yassin
1967 – 1968

Tuan Haji Abdullah Bin Abd Rahman
1968 – 1979

Tuan Haji Hussein Bin Mahmood
1980 – 1981

Tuan Haji Mohd
Kosnin Bin Amat Kamari
1982 – 1990

Tuan Haji Baharudin Bin Awang
1991 – 1995

Puan Hajah Halidah Bte Haji Baba
1996 – 14 Ogos 2006

Tuan Haji Hashim Bin Mohd Dom
16 Ogos 2006 - 15 Sept  2007

Encik Ahmad Khairi Bin Paimin
16 Sept 2007 - 16 Feb 2008

Encik Hasnan Bin Jaffar
17 Feb 2008 - 2 Mac 2011

Puan Hajah Rohani Binti Ab. Manaf
(Pemangku Pengetua)
 3 Mac 2011 – 10 Julai 2011

Encik Mastura Aladdin Bin Masro
11 Julai 2011 hingga kini

Renungan bersama ….

Perjalanan yang jauh bermula daripada langkah pertama yang kemas dan bijak. Oleh itu, tika engkau berada jauh di hadapan, jangan sesekali engkau lupa untuk menoleh ke belakang kerana sejarah mengajar kita erti kehidupan.

Disediakan oleh,
Jawatankuasa Multimedia 2011
SMK Benut