Sunday, August 30, 2009

MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA !



31 Ogos 2009 menjelang tiba. Pada tarikh itu kita bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-52. Bersempena tarikh keramat itu, elok kita perhalusi beberapa perkara, untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam jiwa kita.


  • Setelah Parti Perikatan mendapat mandat yang besar dalam pilihanraya tahun 1955 dengan manifesto untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan rombongan telah ke London untuk menuntut kemerdekaan daripada British.

  • Pihak British memberi layanan yang dingin. Mereka masih mahu mengekalkan penguasaan terhadap Tanah Melayu. Tetapi, Tunku Abdul Rahman tidak patah semangat. Beliau berusaha habis-habisan untuk meyakinkan British agar memberi kemerdekaan.

  • Usaha gigih Tunku tidak sia-sia.. Akhirnya, British dengan berat hati memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bagaimanapun terdapat beberapa parti politik di tanah air yang memandang sinis kemerdekaan itu dan tidak yakin bahawa kita mampu mentadbir negara merdeka.

  • 31 Ogos 1957: Laungan Merdeka! Merdeka! berkumandang di Stadium Merdeka, yang dilafazkan oleh Tunku Abdul Rahman dengan disaksikan semua raja-raja Melayu, wakil kerajaan British, wakil negara asing dan rakyat yang memenuhi stadium itu. Betapa banyak air mata yang tumpah keharuan kerana telah melalui zaman Jepun, Bintang Tiga, MPAJA dan perjuangan melawan Komunis.

  • Kemerdekaan itu amat manis dirasakan kerana kita mendapat kemerdekaan secara rundingan dan diplomasi, tanpa peperangan dan pertumpahan darah. Banyak negara lain terpaksa merdeka dengan jalan peperangan hingga bertahun-tahun. Kita merdeka secara aman!

  • Selepas merdeka, kerajaan berjaya melaksanakan pelbagai langkah kemajuan ekonomi dan sosial. Kita berjaya meninggalkan jauh negara-negara yang merdeka pada tahun 1950-an itu. Kebijaksanaan pemimpin negara silih berganti telah mencorakkan kemajuan pesat kita dalam pelbagai bidang.

  • Keupayaan kita mengekalkan keamanan walaupun mempunyai penduduk berbilang kaum perlu kita banggakan. Masyarakat majmuk yang kita miliki dapat mengekalkan keharmonian dan toleransi hingga ke hari ini.

  • Sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan kedamaian dan kestabilan negara, bersama-samalah kita membina Malaysia di bawah slogan 1Malaysia seperti yang disaran oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak.

  • Jadikan tarikh keramat 31 Ogos ini untuk kita jayakan agenda negara ke arah masa depan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

  • Akhir kata, Salam Merdeka untuk semua warga SMK Benut. Dah kibar Jalur Gemilang?

Sunday, August 23, 2009

Salam Ramadan 1430H



Kelebihan Bulan Ramadan

Bulan Ramadan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah s.w.t. dan RasulNya, ia juga penghulu segala bulan.
Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan itu Allah s.w.t telah menurunkan kitab suciNya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk pada manusia.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan kitab sucinya (Al-Quran) yang menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dengan yang salah." Surah Al-Baqarah : 185.
Dipilih di antara malam-malam bulan Ramadan itu suatu malam Lailatulqadar yang mana ia jauh lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama Lailatulqadar itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan Ramadan. Sayugia diingatkan bahawa jangan disia-siakan malam-malam di bulan Ramadan dengan perkara-perkara tidak berfaedah, bahkan hendaklah diisi dengan amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

Kelebihan Puasa di Bulan Ramadan

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan di dalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan sahaja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dalam apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sambda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."
Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)
Menuju Kesempurnaan Ibadah Puasa
Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut :
  • Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.
  • Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'.
  • pelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: "Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram." (Surah Al-Maidah:42)
  • Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.
  • Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Saturday, August 22, 2009

Influenza A (H1N1)


21 Ogos 2009 – Taklimat dan info pencegahan dijangkiti Influenza A (H1N1) telah berjaya diberikan kepada warga SMK Benut oleh wakil pegawai kesihatan dari Pusat Kesihatan Benut, Pontian pada hari ini. Program ini dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Murid dengan kerjasama Unit Rawatan dan Kesihatan SMK Benut.

Pelbagai info diberikan, iaitu antaranya cara memakai mask, langkah membasuh tangan yang betul dan berkaitan pencegahan penyakit tersebut agar tidak menular dengan bahaya lagi dengan mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.

Warga SMK Benut merakamkan terima kasih kepada Pusat Kesihatan Benut, Pontian yang banyak memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini.




Program Bacaan Yassin dan Solat Hajat Perdana


21 Ogos 2009 – Program Bacaan Yassin dan Solat Hajat Perdana (PMR, SPM, dan STPM )peringkat sekolah telah berjaya diadakan oleh Unit Hal Ehwal Murid dengan kerjasama Panitia Pendidikan Islam, SMK Benut. Program ini diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut bermula jam 7.00 petang dan berakhir jam 10.00 malam pada 20 Ogos 2009 (Khamis malam Jumaat).

Diharapkan kejayaan cemerlang kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR, SPM, dan STPM dan mengharapkan agar pelajar sentiasa dengan mengulangkaji pelajaran supaya kecemerlangan diperolehi dan seterusnya membanggakan SMK Benut.

Warga SMK Benut merakamkan terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga yang turut hadir menjayakan program ini.



Tuesday, August 11, 2009

Pelancaran Program Unit Kerohanian 2009


11 OGOS 2009 – Perlancaran Program Kerohanian bersama Pelajar Terpilih serta Program Mentor Mentee telah berjaya dilancarkan oleh Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut) pada perhimpunan khas yang diadakan pada hari ini.

Program ini merupakan program Unit Kerohanian Hal Ehwal Murid dengan kerjasama pihak sekolah.

Menurut makluman yang disampaikan oleh Puan Hajah Andi Audrayanah Binti Hj. Md Noor (GPK HEM), antara objektif program ini bagi memberikan keinsafan dan jati diri yang lebih cemerlang kepada pelajar yang terlibat.

Pelbagai program telah diatur untuk mereka bersama mentor dan program kerohanian terutamanya di Balai Islam.



Monday, August 10, 2009

Peningkatan PMR Sejarah 2009


8 Ogos 2009 – Program Peningkatan PMR, Teknik Menjawab Soalan Mata Pelajaran Sejarah telah berjaya dilaksanakan mengikut program yang diatur oleh Panitia Sejarah. Lebih 180 orang pelajar Tingkatan Tiga telah mengikuti program tersebut yang bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 11.30 pagi.

Encik Azman Achutan Bin Abdullah dari SMK Seri Mersing, Mersing telah diundang untuk program tersebut.

Diharap program ini dapat memberikan teknik dan persediaan yang betul kepada pelajar untuk bersedia menghadapi peperiksaan PMR yang tidak lama lagi (bulan Oktober). Insyaallah.



Operasi Gunting Rambut



6 Ogos 2009
– Operasi Gunting Rambut telah dilakukan oleh Unit Disiplin SMK Benut yang diketuai oleh Penyelaras Unit Disiplin Encik S Roslan Bin Ghani. Objektif Operasi Gunting Rambut ini bertujuan bagi memastikan sifar pelajar melanggar peraturan mempunyai rambut yang tidak mematuhi peraturan sekolah.

Justeru, bagi mengelakkan rambut pelajar digunting dan dikenakan bayaran yang telah ditetapkan oleh pihak Unit Disiplin, pelajar dinasihatkan menggunting rambut mereka di kedai gunting rambut di luar sekolah.



Wednesday, August 5, 2009

Bersama Mencegah Rasuah


5 Ogos 2009 – Ceramah bertajuk Pencegahan Rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah dianjurkan oleh pihak sekolah pada hari ini. Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Encik Samsol Akmal Bin Bakar (Penolong Pengusaha Unit Pencegah Rasuah).


Ceramah ini diberikan dalam dua sesi iaitu kepada pelajar tingkatan enam yang diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut dan kakitangan SMK Benut.


Diharap program ini dapat memberi pendidikan dan pengetahuan yang berkesan supaya mengelakkan gejala rasuah dalam kehidupan. Warga SMK Benut mengucapkan terima kasih kepada penceramah yang diundang.




Marilah Kita Berdoa...






Saturday, August 1, 2009

Kem Jati Diri SMK Benut


1 Ogos 2009 – Seramai 80 orang pelajar telah menyertai Kem Jati Diri anjuran Unit Hal Ehwal Murid dengan Kerjasama Panitia Agama Islam serta Unit Bimbingan dan Kaunseling telah diadakan selama dua hari satu malam.


Objektif program ini diadakan untuk membina jati diri dan meningkatkan kecemerlangan sahsiah pelajar terutama dalam pembelajaran dan seterusnya meningkatkan prestasi akademik.


Kem Jati Diri ini telah dikelolakan sepenuhnya oleh Kelab Remaja Jemaah Islah Malaysia yang diketuai oleh Tuan Haji Aminuddin Bin Alias. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya ceramah motivasi, aktiviti kumpulan, explorace, dan banyak lagi.


Diharap kepada peserta yang mengikuti program ini dapat menimba ilmu dan seterusnya mengaplikasikannya dalam diri mereka. Insyaallah.

















Tahniah Pasukan Bola Sepak SMK Benut


1 Ogos 2009 – Pertandingan Bola Sepak 4 Sebelah yang diadakan di SMK Seri Perhentian, Pontian sempena Hari Kokurikulum telah membawa kejayaan cemerlang kepada pasukan bola sepak SMK Benut. Pasukan SMK Benut telah mendapat JOHAN keseluruhan dan turut memperolehi kecemerlangan apabila Mohd Fitri Bin Kasban (4 Ibnu Rusyd) telah dianugerahkan Pemain Terbaik Keseluruhan.

Pasukan SMK Benut diletakkan di Kumpulan D yang terdiri dari SMK Seri Perhentian (Team B), SMK DAHA (Team B). Berikut perjalanan kemenangan Pasukan SMK Benut :


SMK Benut X SMK SP “B”

( 2 – 0 )

SMK Benut X SMK DAHA “B”

( 0 – 0 )

SUKU AKHIR

SMK Benut X” SMK Telok Kerang

( 2 – 0 )

SEPARUH AKHIR

SMK Benut X SMK DAHA “B”

( 3 – 0 )

AKHIR

SMK Benut X SMK DAHA “A”

( 2 – 1 )


Warga SMK Benut mengucapkan tahniah dan syabas atas kecemerlangan tersebut. Terima kasih kepada jurulatih pasukan Bola Sepak iaitu Encik Abd Khalil bin Mohd Masri dan Mohd Lufti Mohd Kamran yang turut menyumbang kejayaan ini.