Monday, December 29, 2008

Perutusan Tuan Pengetua Tahun 2009



Hasnan Jaffar (Pengetua SMK Benut).jpg

Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera


Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan keizinan-Nya, warga SMK Benut dapat meneruskan perkhidmatan di sekolah ini bagi tahun 2009. Semoga pengalaman yang lepas dalam mengurus tanggungjawab yang diamanahkan dapat dijadikan panduan untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada tahun 2009.


Tahun 2009 pastinya tahun yang lebih mencabar bagi warga pendidik sekolah ini. Hal ini kerana kita mesti merealisasikan visi sekolah “SMK Gemilang 2009”. Walaupun kita sedar banyak aspek yang belum mencapai tahap gemilang, tetapi saya yakin jika warga SMK Benut boleh memberi 100% komitmen terhadap tugas masing-masing, visi tersebut pasti dapat direalisasikan. Oleh yang demikian ‘Merealisasikan Kegemilangan’ masih dipilih sebagai tema sekolah pada tahun 2009 bagi memastikan visi tersebut menjadi kenyataan.

Selain itu, kejayaan pastinya boleh dicapai jika ada ‘teamwork’ yang mantap dalam kalangan warga sekolah, lebih-lebih lagi dalam bidang ‘core business’ kita iaitu mengurus kurikulum khasnya pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Guru-guru harus sedar, kejayaan dalam bidang akademik adalah petunjuk kejayaan sesebuah sekolah itu cemerlang jika dapat menghasilkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Di samping itu, kita akan terus meningkatkan kecemerlangan dalam kokurikulum, pengurusan, sahsiah dan disiplin pelajar sebagaimana yang dinyatakan dalam misi sekolah ini.

Saya juga berharap, tugasan yang dirancang hendaknya bertepatan dengan kepakaran yang ada pada setiap guru dan kakitangan sekolah, agar tugas yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sentiasa mematuhi ‘Prinsip Etika Kerja’ Kementerian Pelajaran Malaysia.


Sekian, terima kasih.


HASNAN BIN JAAFAR
PENGETUA
SMK BENUT, PONTIAN,
JOHOR.

Saturday, November 15, 2008

Jamuan Akhir Tahun 2008



15 November 2008 ~ Kelab Kakitangan Sesi 2007/2008 telah menganjurkan Jamuan Akhir Tahun 2008 yang diadakan di Hotel Katerina, Batu Pahat, Johor bermula pukul 12.30 tengah hari. Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut).

Jamuan ini diadakan juga untuk mengalu-alukan guru-guru baru seramai 8 orang serta majlis perpisahan kepada 5 orang guru iaitu Puan Hardinah Binti Salleh (bertukar ke Dungun, Terengganu), Puan Runaiza Binti Tumin (Selangor), Puan Siti Munirah Binti Hamzah (Terengganu), Cik Faraniza Binti Tasrif dan Puan Suriani Binti Mohamed (Guru GSTT).

Sebelum itu, pertandingan boling telah diadakan di Summit Parade, Batu Pahat. Pertandingan ini bertujuan mengeratkan lagi silaturahim warga SMK Benut. Encik Mosman Bin Parkan selaku Pengerusi Kelab Kakitangan Sesi 2007/2008 mengucapkan terima kasih kepada semua warga SMK Benut yang memberikan kerjasama kepada beliau dan ahli jawatankuasa sepanjang aktiviti yang dianjurkan.



Sunday, November 9, 2008

Sifar Disiplin


Pelbagai strategi atau program telah dijalankan untuk menangani pelbagai masalah disiplin para pelajar. Idea memberikan kesedaran pentingnya sifar disiplin kepada para pelajar SMK Benut telah tercetus dengan abjad akronim DISIPLIN. Idea ini telah diberikan oleh Puan Halijah Binti Ismaila yang juga merupakan guru disiplin SMK Benut. Idea ini telah dijelaskan semasa perhimpunan pagi Jumaat pada 7 November 2008. Harapan semoga pelajar SMK Benut sifar disiplin pada tahun 2009. Berikut penjelasan akronim DISIPLIN.


D

Datang awal ke sekolah

I

Ikut fesyen rambut ala Johor

S

Seluar jangan londeh atau ketat

Setokin panjang

I

Ikatan tali leher perlu kemas

P

Ponteng bukan amalan

Pakaian kemas

L

Lencana dijahit

I

Ikatan rambut kemas (pelajar perempuan Cina)

N

Name tag dipakai



Lawatan Ke Melaka Bandaraya Bersejarah



5 – 6 November 2008 ~ Lawatan Sambil Belajar selama dua hari satu malam ke Melaka telah diadakan dengan diikuti seramai 35 orang pelajar tingkatan tiga dan 5 orang guru pengiring. Program ini juga merupakan program RIMUP salah satu aktiviti Program Selepas PMR 2008. Lawatan ini bertolak dari SMK Benut pada hari Rabu 5 November pada pukul 8.30 pagi.

Pelbagai tempat menarik telah dikunjungi antaranya, Zoo Melaka, Perigi Hang Tuah, persekitaran bandaraya Melaka, Muzium Samudera, Muzium Negeri Melaka, Muzium Kesenian Islam dan banyak lagi. Di akhir lawatan, peserta turut berkesempatan untuk mandi-manda di Water World, Melaka. Peserta sampai kembali di SMK Benut pada petang hari Khamis, 6 November 2008 pukul 7.00 petang.



Friday, October 24, 2008

Jamuan Hari Raya Tingkatan 3


24 Oktober - Majlis Jamuan Hari Raya Tingkatan 3 telah diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut bermula 10.00 pagi. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut). Turut hadir pada majlis tersebut, pihak pentadbir serta guru-guru yang mengajar Tingkatan Tiga.


Tuesday, October 21, 2008

Memori Aidilfitri SMK Benut 2008


18 Oktober 2008 - Majlis Semarak Aidilfitri SMK Benut 2008 telah diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut pada jam 8.30 malam. Majlis ini dianjurkan bersama Kelab Warga SMK Benut sesi 2007/2008. Majlis ini telah dirasmikan oleh Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut).

Majlis ini turut dihadiri ahli keluarga tersayang bagi merapatkan hubungan silaturahim antara warga SMK Benut. Pelbagai juadah disajikan seperti ketupat, lemang, sate, laksa Johor, burasak dan banyak lagi. Kemuncak acara pada majlis tersebut sudah tentunya menggembirakan anak-anak yang tidak sabar menunggu pemberian duit raya. Tuan Pengetua bersama Pengerusi Kelab Warga SMK Benut (Encik Mosman Bin Parkan) telah sudi menyempurnakan majlis pemberian duit raya kepada anak-anak warga SMK Benut.

Warga SMK Benut mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Mohon Maaf Segalanya."