Saturday, September 29, 2012

Majlis Kemuncak Hari Kokurikulum dan Pelantikan Pengawas Sesi 2012 – 2013



28 September 2012 – Majlis Kemuncak Hari Kokurikulum dan Pelantikan Pengawas Sesi 2012 – 2013 telah berjaya dirasmikan oleh Encik Jabal Bin Kiman (Penghulu Mukim Benut) pada hari ini bertempat di Dataran Baiduri, SMK Benut.

Objektif Hari Kemuncak Kokurikulum merupakan agenda dalam kalendar bidang kokurikulum sekolah dengan menggabungkan program jualan khas oleh unit uniform, persatuan dan kelab serta majlis pelantikan pengawas sesi 2012 – 2013. Selain itu, program ini juga dapat menggalakkan minat berniaga diri pelajar dan persatuan unit beruniform, kelab permainan, dan kelab hobi di sekolah. Seterusnya, dapat mendedahkan pelajar dengan kemahiran kepemimpinan, berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat. Majlis ini diadakan selama dua hari (28 dan 29 September 2012)

Pelbagai atur cara telah disusun dan berjaya dilaksanakan oleh Jawatankuasa Hari Kokurikulum ini. Antaranya ialah pertandingan mewarna kategori prasekolah, tadika dan anak-anak guru. Selain itu, perbarisan statik unit beruniform dan para pengawas sesi 2012 – 2013. Di samping itu, penyerahan watikah pelantikan dan bacaan ikrar oleh Ketua Pengawas Sesi 2012 – 2013 (Muhamad Nur Asraf Bin Mat Saad – PJ2). Seterusnya, penyampaian anugerah khas kokurikulum dan penghargaan kepimpinan jurulatih telah disempurnakan oleh Tuan Perasmi.

Pelbagai jenis makanan dijual di gerai-gerai yang diusahakan oleh para pelajar, pameran keselamatan dari IPD Pontian, pertandingan masakan antara unit beruniform, pertandingan ‘motor show’, dan senaman aerobik (diadakan pada hari kedua). Terdapat juga usaha kerjasama pelajar mengikut kelas dengan menyediakan tempat hiburan seperti pertandingan futsal, bola keranjang, rumah hantu, rumah sesat, permainan menduga minda, tayangan video, karaoke, dan banyak lagi yang mana mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar dan para pengunjung yang hadir. Semua perniagaan menggunakan wang kupon.

Jawatankuasa Kokurikulum merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.





































Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat Perdana 2012



27 September 2012 – Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat Perdana khas untuk para pelajar yang akan mengambil peperiksaan PMR, SPM dan STPM tahun 2012 telah berjaya diadakan pada hari ini bermula jam 6.30 petang bertempat di Dewan Baiduri, SMK Benut.

Pengisian Tazkirah Ilmu turut disampaikan oleh Tuan Haji Mad Ali Bin Abdullah (GPK HEM SMK Sri Kukup) selepas solat berjemaah fardu Maghrib.

Ucapan terima kasih kepada semua ibu bapa dan penjaga serta para pelajar yang hadir bagi menjayakan majlis ini. Selamat menghadapi peperiksaaan dan didoakan  semoga mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM 2012. Insyaallah.













Sunday, September 23, 2012

Pesta Tanglung SMK Benut


22 September 2012 – Pesta Tanglung SMK Benut kali ke-11 telah berjaya dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Cina, Persatuan Pendidikan Moral dan Program Kecemerlangan Pelajar Cina SMK Benut bermula jam 7.30 malam bertempat di Dataran Baiduri, SMK Benut.

Pesta Tanglung diadakan bertujuan mempereratkan lagi hubungan mesra antara pelajar Melayu dan pelajar Cina melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan. Di samping itu, dapat memupuk peluang kepada pelajar Melayu untuk memahami kebudayaan dan perayaan kaum Cina dengan lebih mendalam.

Pesta Tanglung ini telah dirasmikan oleh Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut). Turut hadir dalam majlis ini ialah Encik Selamat Bin Haji Mon (Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Benut), Encik Zulnuraini Bin Rahmat @ Haji Zohdi (Penolong Kanan Kokurikulum), guru-guru SMK Benut dan kakitangan SMK Benut.

Pelbagai acara dan persembahan menarik telah diadakan seperti pertunjukkan bunga api, tarian singa, tarian yoyo Cina, persembahan taekwando, taiji, sukaneka, tarian India, tarian Zapin dan banyak lagi yang amat mempersonakan serta mendapat tepukan gemuruh ketika acara tersebut dipersembahkan.

Warga SMK Benut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola majlis Pesta Tanglung terutama kepada Pengerusinya, iaitu Tee Jian Fa dan seterusnya ahli-ahli Jawatankuasa Pengelola. Selamat Menyambut Pesta Tanglung 2012.