Tuesday, May 22, 2012

Larian Merentas Sekolah 1Murid 1Sukan


22 Mei 2012 – Larian Merentas Sekolah Berganti-ganti 1Murid 1Sukan telah berjaya diadakan pada petang ini bermula jam 3.00 petang di laluan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana 1M1S.

Sambutan yang menggalakkan dalam penyertaan telah ditunjukkan melalui acara ini oleh para peserta yang terlibat. Sebanyak 3 kategori (lelaki dan perempuan) telah dipertandingkan yang melibatkan penyertaan pertandingan antara rumah sukan. Terdapat 6 ‘check point’ yang diperlukan untuk semua peserta yang terlibat melalui setiap larian.

Acara Larian Merentas Sekolah ini adalah antara aktiviti sukan yang dipertandingkan dalam 1M1S selain acara permainan petanque dan badminton yang akan diadakan pada 24 Mei 2012 nanti.

Tahniah dan syabas kepada para peserta yang memenangi pertandingan yang dilaksanakan. Semoga program 1M1S yang dilaksanakan melibatkan secara menyeluruh kepada penglibatan semua murid SMK Benut. 

Teruskan komitmen dan kerjasama semua.














Taklimat Khas PBS Tingkatan Satu


21 Mei 2012 – Taklimat khas pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) telah diberikan kepada para murid Tingkatan Satu dalam perjumpaan khas di Dataran Baiduri pada pagi ini. Taklimat PBS ini telah disampaikan oleh Encik Selamat Bin Haji Mon (Penolong Kanan Pentadbiran). 

PBS akan dilaksanakan sepanjang tahun ini dan diminta semua murid sentiasa bersedia.








Saturday, May 19, 2012

LDP Siri Keempat



19 Mei 2012 – Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Siri Keempat yang bertajuk Program Intervensi Faktor Risiko Penyakit Tidak Berjangkit dan Amalan Pemakanan Gaya Hidup Sihat telah berjaya diadakan pada hari ini di Bilik Mesyuarat As-Syafie, SMK Benut kepada semua warga pendidik dan staf sokongan.

Pihak Pengurusan Perkembangan Staf telah mengundang Dr. Norasikin Binti Hj. Mahdan (Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai  Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Pontian) dan Puan Noraini Binti Kosnon (Pegawai Sains Pemakanan, Pejabat Kesihatan Pontian).

Semoga program ini dapat memberikan banyak input dan pengetahuan supaya kesihatan sentiasa sihat dan menjalankan rutin harian tanpa sebarang masalah kesihatan.








Friday, May 18, 2012

Tahniah dan Syabas Para Atlet SMK Benut



17 Mei 2012 – Majlis Meraikan Kejayaan Atlet SMK Benut ketika menyertai pertandingan peringkat Kebangsaan, Negeri dan Daerah Tahun 2012 (Januari – Mei) telah diadakan dengan jayanya pada hari ini. Majlis ini dikelolakan oleh Unit Kokurikulum SMK Benut.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk para atlet SMK Benut yang berjaya mengharumkan nama sekolah ke dalam Dewan Baiduri semasa perhimpunan khas yang diadakan pada hari ini. Majlis penyampaian piala dan sijil turut diadakan yang telah disempurnakan oleh Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut). Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua atlet SMK Benut yang berjaya dengan cemerlang dalam penyertaan pertandingan yang diadakan. Beliau mengharapkan kejayaan berterusa kepada SMK Benut dalam pertandingan yang lain. Akhir sekali, beliau mengharapkan penglibatan yang lebih menyeluruh dalam kalangan pelajar yang lain dan tunjukkan bakat yang ada.

Kemuncak majlis ini ialah majlis jamuan tengah hari yang diadakan di Kantin SMK Benut. Warga SMK Benut mengucapkan tahniah dan syabas kepada para atlet yang berjaya dengan cemerlang.











Thursday, May 17, 2012

Selamat Hari Guru dan Terima Kasih Cikgu...



16 Mei 2012 – Sambutan Hari Guru Tahun 2012 telah diadakan dengan sambutan yang sederhana namun begitu bermakna kepada warga pendidik SMK Benut. Majlis yang dianjurkan oleh Unit Badan Pengawas dengan Kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Prauniversiti Sesi 2011-2012.

Majlis diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut dengan dimulakan nyanyian lagu Bangsa Johor, Lagu Sekolah dan seterusnya bacaan Doa. Majlis seterusnya diteruskan dengan bacaan Perutusan Khas oleh Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia yang dibacakan oleh Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut). Seterusnya diikuti nyanyian Lagu Guru Malaysia dan bacaan Ikrar Guru.

Aktiviti kemuncak pertandingan antara guru, iaitu permainan kerusi beracun (guru perempuan) dan Futsal memakai kain pelikat (guru gelaki) telah diadakan pada hari ini. Seterusnya, jamuan khas guru diadakan di Kantin, SMK Benut.

Persembahan khas pelajar, guru Junior dan guru Senior turut diadakan di Dewan Baiduri bagi sesi kedua. Sebelum itu, para pelajar mengikuti ucapan khas Yang Amat Berhormat TAN SRI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN (Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia) secara langsung semasa majlis Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan.

Turut diadakan majlis penyampaian Anugerah Khas kepada warga pendidik SMK Benut. Tahniah kepada guru yang berjaya memenangi anugerah.

Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik SMK Benut.