Tuesday, December 25, 2007

Perutusan Tuan Pengetua Tahun 2008


Assalammualaikum wbt…

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat bersama lagi di bawah bumbung SMK Benut. Semoga tahun 2008 membawa kegemilangan yang lebih bermakna kepada kita semua.

Merealisasikan Kegemilangan dipilih sebagai tema SMK Benut tahun 2008. Hal ini merupakan aspirasi warga SMK Benut untuk merealisasikan visi sekolah iaitu SMK Benut Gemilang Tahun 2009. Walaupun ada dua tahun lagi tetapi usaha untuk merealisasikannya mesti dilakukan segera.

Sehubungan itu, marilah kita bekerja bersama-sama untuk merealisasikan tema ini. Bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Sesungguhnya inilah kekuatan kita, ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.

Selain itu, kita hendaklah ikhlas bekerja dan sentiasa berfikiran positif. Anggaplah segala rintangan yang dihadapi adalah cabaran. Kita yakin dan mampu mengatasinya. Perasaan putus asa dan kecewa hendaklah dihindarkan. Jika ini dapat dielakkan, saya yakin sekolah kita pada tahun ini pasti cemerlang dalam pelbagai bidang.

Dalam merealisasikan kegemilangan, fokus utama kita ialah kegemilangan akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar. Kita mahu melahirkan anak didik yang bukan sahaja gemilang akademik tetapi juga gemilang kokurikulum dan berpersonaliti serta berakhlak mulia. Mudah-mudahan SMK Benut melahirkan modal insan yang terbaik khususnya di daerah Pontian.

Akhir sekali, dalam minda kita, sentiasa tanamkan azam untuk menjadikan SMK Benut ‘Gemilang’ dalam segala bidang.

Sekian, terima kasih.


AHMAD KHAIRI BIN PAIMIN

Pengetua
SMK Benut, Pontian, Johor.