Thursday, May 17, 2012

Jaga Kesihatan Diri Cikgu..



2 Mei 2012 – Program Pemeriksaan Awal Faktor Risiko Penyakit Tidak Berjangkit telah berjaya diadakan di Bilik Gerakan Al-Ghazali, SMK Benut kepada semua warga pendidik SMK Benut dan Staf Sokongan. Program ini mendapat kerjasama Pusat Kesihatan Benut, Pontian. 

Antara objektif program ini untuk memastikan tahap kesihatan sentiasa terbaik dan mendapat rawatan awal sekiranya mempunyai sebarang masalah. Khidmat nasihat kesihatan turut diberikan oleh Pegawai Kesihatan yang hadir pada hari tersebut.











Tahniah dan Selamat Meneruskan Pelajaran



8 Mei 2012 - Warga SMK Benut mengucapkan tahniah dan syabas kepada pelajar Prauniversiti Junior yang berjaya meneruskan pelajaran ke Tingkatan Enam di SMK Benut. Seramai 160 orang pelajar telah mendaftar pada 8 Mei 2012. Selama 2 minggu pelbagai program telah diatur oleh Pihak Pengurusan Pelajar Tingkatan Prauniversiti dalam sesi Minggu Suai Mesra dan pengenalan pakej mata pelajaran yang ditawarkan. Semoga pemilihan yang tepat diambil dan meneruskan kecemerlangan dalam akademik, sahsiah dan disiplin diri. 











Saturday, April 21, 2012

Tahniah Pasukan Bola Sepak L15 - NAIB JOHAN



21 APRIL 2012 – Tahniah dan syabas kepada pasukan Bola Sepak Lelaki Bawah 15 yang berjaya mendapat NAIB JOHAN dalam pertandingan Kejohanan Bola Sepak kategori L15 Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Pontian yang diadakan pada hari ini di padang SMK Sri Tanjung, Pontian. Pasukan Bola Sepak L15, SMK Dato’ Mohd Yunos Sulaiman Johan dalam pertandingan ini dengan jaringan penalti 4 – 2.

Syabas dan terima kasih kepada pengurus pasukan, jurulatih  serta guru-guru SMK Benut yang banyak memberikan bimbingan, dorongan dan motivasi kepada para peserta sehingga kejayaan cemerlang ini dicapai.















Friday, April 20, 2012

Pelancaran Bulan Penghayatan Sains dan Matematik 2012



18 April 2012 – Pelancaran Bulan Penghayatan Sains dan Matematik telah dirasmikan oleh Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) pada perhimpunan khas hari ini di Dataran Baiduri.

Gimik perasmian yang menarik dan penuh kreatif, iaitu robot memberi kotak berisi alat pemetik api kepada Tuan Pengetua. Seterusnya, Tuan Pengetua menyalakan sumbu pada pasu dan akhirnya menghasilkan nyalaan api lebih kurang 5 minit. Tuan Pengetua turut sudi merasmikan Bilik Pameran Sains yang menarik dan penuh bahan-bahan hasilan sains dan matematik.

Pelbagai aktiviti telah disusun untuk memberikan peluang penglibatan yang menyeluruh kepada semua warga SMK Benut oleh Panitia Sains dan Panitia Matematik. Diharap semua murid mengambil bahagian setiap aktiviti yang dilaksanakan. Sila rujuk aktiviti tersebut melalui guru Sains dan Matematik anda.