| Assalammualaikum wbt dan salam sejahtera
Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan keizinan-Nya, warga SMK Benut dapat meneruskan perkhidmatan di sekolah ini bagi tahun 2009. Semoga pengalaman yang lepas dalam mengurus tanggungjawab yang diamanahkan dapat dijadikan panduan untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada tahun 2009. |
Tahun 2009 pastinya tahun yang lebih mencabar bagi warga pendidik sekolah ini. Hal ini kerana kita mesti merealisasikan visi sekolah “SMK Gemilang 2009”. Walaupun kita sedar banyak aspek yang belum mencapai tahap gemilang, tetapi saya yakin jika warga SMK Benut boleh memberi 100% komitmen terhadap tugas masing-masing, visi tersebut pasti dapat direalisasikan. Oleh yang demikian ‘Merealisasikan Kegemilangan’ masih dipilih sebagai tema sekolah pada tahun 2009 bagi memastikan visi tersebut menjadi kenyataan.
Selain itu, kejayaan pastinya boleh dicapai jika ada ‘teamwork’ yang mantap dalam kalangan warga sekolah, lebih-lebih lagi dalam bidang ‘core business’ kita iaitu mengurus kurikulum khasnya pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Guru-guru harus sedar, kejayaan dalam bidang akademik adalah petunjuk kejayaan sesebuah sekolah itu cemerlang jika dapat menghasilkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Di samping itu, kita akan terus meningkatkan kecemerlangan dalam kokurikulum, pengurusan, sahsiah dan disiplin pelajar sebagaimana yang dinyatakan dalam misi sekolah ini.
Saya juga berharap, tugasan yang dirancang hendaknya bertepatan dengan kepakaran yang ada pada setiap guru dan kakitangan sekolah, agar tugas yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sentiasa mematuhi ‘Prinsip Etika Kerja’ Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sekian, terima kasih.
HASNAN BIN JAAFAR
PENGETUA
SMK BENUT, PONTIAN,
JOHOR.
No comments:
Post a Comment