31 Ogos 2009 menjelang tiba. Pada tarikh itu kita bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-52. Bersempena tarikh keramat itu, elok kita perhalusi beberapa perkara, untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam jiwa kita.
- Setelah Parti Perikatan mendapat mandat yang besar dalam pilihanraya tahun 1955 dengan manifesto untuk memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan rombongan telah ke London untuk menuntut kemerdekaan daripada British.
- Pihak British memberi layanan yang dingin. Mereka masih mahu mengekalkan penguasaan terhadap Tanah Melayu. Tetapi, Tunku Abdul Rahman tidak patah semangat. Beliau berusaha habis-habisan untuk meyakinkan British agar memberi kemerdekaan.
- Usaha gigih Tunku tidak sia-sia.. Akhirnya, British dengan berat hati memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bagaimanapun terdapat beberapa parti politik di tanah air yang memandang sinis kemerdekaan itu dan tidak yakin bahawa kita mampu mentadbir negara merdeka.
- 31 Ogos 1957: Laungan Merdeka! Merdeka! berkumandang di Stadium Merdeka, yang dilafazkan oleh Tunku Abdul Rahman dengan disaksikan semua raja-raja Melayu, wakil kerajaan British, wakil negara asing dan rakyat yang memenuhi stadium itu. Betapa banyak air mata yang tumpah keharuan kerana telah melalui zaman Jepun, Bintang Tiga, MPAJA dan perjuangan melawan Komunis.
- Kemerdekaan itu amat manis dirasakan kerana kita mendapat kemerdekaan secara rundingan dan diplomasi, tanpa peperangan dan pertumpahan darah. Banyak negara lain terpaksa merdeka dengan jalan peperangan hingga bertahun-tahun. Kita merdeka secara aman!
- Selepas merdeka, kerajaan berjaya melaksanakan pelbagai langkah kemajuan ekonomi dan sosial. Kita berjaya meninggalkan jauh negara-negara yang merdeka pada tahun 1950-an itu. Kebijaksanaan pemimpin negara silih berganti telah mencorakkan kemajuan pesat kita dalam pelbagai bidang.
- Keupayaan kita mengekalkan keamanan walaupun mempunyai penduduk berbilang kaum perlu kita banggakan. Masyarakat majmuk yang kita miliki dapat mengekalkan keharmonian dan toleransi hingga ke hari ini.
- Sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan kedamaian dan kestabilan negara, bersama-samalah kita membina Malaysia di bawah slogan 1Malaysia seperti yang disaran oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak.
- Jadikan tarikh keramat 31 Ogos ini untuk kita jayakan agenda negara ke arah masa depan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
- Akhir kata, Salam Merdeka untuk semua warga SMK Benut. Dah kibar Jalur Gemilang?
No comments:
Post a Comment