Wednesday, December 30, 2009

Perutusan Pengetua Dalam Buku Panduan Guru Tahun 2010




Assalamualaikum W.B.T, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinanNya kita dapat meneruskan tugas dan melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai pendidik di samping meningkatkan kecemerlangan SMK Benut bagi tahun 2010. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga SMK Benut yang telah berusaha keras pada tahun 2009 bagi mencapai visi ‘Sekolah Gemilang 2009’. Walaupun banyak  yang belum tercapai tetapi pengalaman kita yang lepas boleh dijadikan panduan untuk mencapai kegemilangan pada tahun 2010.

Tahun 2010 pastinya lebih mencabar. Visi Sekolah ‘Sekolah Unggul Menjana Generasi Gemilang’ mempunyai tafsiran yang luas dan lebih mencabar. Sekolah Unggul bererti sekolah yang mempunyai kekuatan dan perwatakan tersendiri yang cemerlang. Kecemerlangan itu pula mesti meliputi pelbagai aspek. Oleh itu, dengan bermulanya tahun 2010 kita mesti menambah beberapa lagi kecemerlangan sama ada dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah, pengurusan, kewangan, fizikal dan persekitaran di samping mengekalkan beberapa kecemerlangan yang telah terserlah seperti kejayaan dalam seni visual dan beberapa acara sukan permainan yang berjaya hingga ke peringkat negeri dan kebangsaan.

Bagi tahun 2010, banyak tugas yang perlu kita sama-sama sempurnakan. Pemilihan SMK  Benut dalam pelaksanaan ‘Standard Pengurusan Sekolah Kualiti’ (SPSK) menuntut semua guru memahami dan melaksanakan sepenuhnya aspek-aspek kurikulum yang perlu diurus berdasarkan standard kualiti yang telah ditetapkan. Pemilihan SMK Benut sebagai perintis bag projek              menaiktaraf Tingkatan 6 kepada Pra-U memerlukan idea, kebijaksanaan dan kerjasama untuk       mengubah budaya Tingkatan 6 yang sedia ada kepada budaya pembelajaran ala universiti dan juga pendekatan yang boleh digunakan untuk menarik minat pelajar-pelajar lepasan SPM untuk        menjadikan Pra-U pilihan utama sebagai tempat menyambung pelajaran sebelum ke universiti.

Pelakasanaan SMTAG dan SMLAM memerlukan guru menyedia dan mengemaskini modul yang lengkap untuk dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran pada tahun 2010.       Diharap modul ini akan dapat meningkatkan prestasi akademik sekolah ini. Dalam penilaian kendiri sekolah (SKPM), model yang diperkenalkan oleh Jemaah Nazir, kemenjadian sekolah ini dalam akademik agak rendah. Pencapaian dalam PMR dan penghasilan pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam masih rendah. Kita perlu mencapai PMR sekurang-kurangnya 65% seperti standard yang ditetapkan dalam ‘SPSK’ atau peningkatan sebanyak 3% setiap tahun dalam peperiksaan awam. Hal inilah cabaran yang menanti kita dalam bidang akademik.

Dalam bidang pengurusan pelajar, kita masih perlu mengurangkan kadar ponteng sekolah yang masih tinggi bagi sesetengah tingkatan. Sekarang ini, lebih 10 pelajar terpaksa dibuang          sekolah kerana kadar ponteng yang teruk. Diharapkan juga tahun 2010 tiada kes salah laku berat di sekolah ini. Di samping segala peraturan sekolah dapat dipatuhi oleh para pelajar, penekanan        terhadap semua guru adalah guru disiplin sangat dituntut. Satu lagi tugas yang berat untuk tahun 2010 ialah usaha untuk memenuhkan asrama SMK Benut dengan kapasiti 120 pelajar dan mencapai standard penilaian pengurusan asrama pada tahap melebihi 80% agar standing dengan pengurusan asrama sekolah-sekolah lain.

Semua cabaran yang telah dinyatakan tidak mustahil untuk dicapai dengan syarat semua warga SMK Benut bersama-sama menggembeling tenaga sebagai satu pasukan untuk mencapai     matlamat yang sama, mempunyai komitmen 100% dan intergriti yang tinggi terhadap tugas dan    tanggungjawab, memahami dan menghayati visi dan misi sekolah, bantu-membantu antara satu sama lain disamping mematuhi Prinsip Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia. Buku Panduan Tugasan ini adalah diharapkan dapat menjadi pedoman dalam beberapa aspek pengurusan, mendapatkan maklumat berkaitan pengurusan dan peraturan sekolah. Diharapkan juga tugasan kepada para guru yang disusun menepati kebolehan dan kepakaran setiap guru dan kakitangan sekolah agar tugas yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan berkesan, seterusnya mendapat hasil yang cemerlang dan membina sekolah yang unggul.

Sekian, terima kasih.

ENCIK HASNAN BIN JAFFAR
PENGETUA
SMK BENUT, PONTIAN,
JOHOR.

No comments: