Monday, August 16, 2010

Hadiah Bulan Ramadan Kepada Pelajar SMK Benut daripada SKMM


16 Ogos 2010
– Seramai 594 orang pelajar dari Tingkatan 1, 3, 4 dan 5 telah bertuah dan berjaya terpilih oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan menerima sebuah komputer (notebook) percuma 1Malaysia melalui inisiatif Jalur Lebar Negara di bawah program satu keluarga satu komputer yang dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia) bagi keluarga yang berpendapatan rendah di bawah RM3,000 sebulan.

Senarai nama penerima telah diumumkan oleh kakitangan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Pematang Sepam dan Sg. Pinggan sebagai wakil SKMM pada pagi ini. Para pelajar yang terlibat telah diberikan taklimat berkaitan syarat penerimaan dan cara mengisi borang penerimaan dan seterusnya menyerahkan borang tersebut dengan maklumat yang lengkap.

Penyerahan komputer ini akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Bin Haji Maslan (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pontian) pada hari Khamis, 19 Ogos 2010 di Dewan Baiduri SMK Benut bermula jam 8.00 pagi.

Warga SMK Benut mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang terpilih dan menggunakan komputer dengan sebaik mungkin dan menjadikannya sebagai alat teknologi mencari maklumat berkaitan pelajaran dan seterusnya dapat meningkatkan kecemerlangan dalam akademik.























No comments: