Monday, February 6, 2017

MAJLIS SEMARAK BUDI SEMAIAN KASIH

Pada tanggal 26 Januari 2017, sebuah Majlis Semaian Budi Semarak Kasih telah diadakan untuk meraikan perpindahan tuan pengetua SMK Benut, En Mastura Aladdin bin Masro bersama 3 orang guru iaitu Pn Zainon bt Kaderi, Pn Asiah bt Abd Aziz, dan En Rashid bin Saini. Majlis perpisahan ini diadakan di dua tempat iaitu di Dwan Baiduri, SMKB bersama murid-murid dan di Rumah Citra Seri Pinang untuk jamuan perpisahan. 4 orang guru ini telah berpindah ke :

1)      En Mastura Aladdin bin Masro          - Kolej Tingkatan 6
2)      Pn Zainon bt Kaderi                           - SMK Parit Betak
3)      Pn Asiah bt Abd Aziz                         - SMK Parit Betak
4)      En Rashid bin Saini                            - SMK Kayu Ara Pasong

Pada jam 11.30 pagi, majlis dimulakan dengan perarakan masuk tetamu-tetamu yang diraikan ke dalam Dewan Baiduri. Majlis yang dipengerusikan oleh Pn.Hanipah Bte Rosli dan Cik Kumuthamalar A/P Viswanathan ini diteruskan pula dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Fauzi bin Mohd Amin untuk memberkati majlis. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan oleh Guru Penolong Kanan 1, Pn Roby bt Abd Hamid. Dalam ucapan tersebut, segala jasa dan usaha guru-guru yang akan berpindah telah disentuh. Seluruh warga SMKB sangat berterima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan di sekolah ini sepanjang keempat-empat guru berkhidmat.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan yang diraikan. Ucapan dimulakan oleh  Pn Zainon bt Kaderi. Sesi ucapan diselang-seli dengan acara penyampaian hadiah kepada yang diraikan. Antara yang memberi hadiah pada majlis tersebut adalah seperti Badan Kepimpinan Pengawas, PIBG, KEBIRU, Pentadbir, Staf Sokongan, Unit Bimbingan dan Kaunseling, Bidang Bahasa, Bidang Sains & Matematik, Bidang Kajian Kemasyarakatan, Bidang Teknik & Vokasional, Guru-Guru Tingkatan 6 dan juga hadiah perseorangan. Sesi ucapan diteroskan oleh Pn Asiah bt Abd Aziz dan En Mastura Aladdin bin Masro. En Rashid bin Saini tidak dapat hadir pada majlis di sekolah atas urusan kerja.


Majlis perpisahan di sekolah diakhiri dengan acara bersalam-salaman antara yang diraikan bersama seluruh warga SMK Benut. Majlis diiringi dengan linangan airmata tanda kesedihan atas perpisahan bersama dengan 4 orang guru yang sangat komited. Murid-murid bersurai untuk solat berjemaah bersama-sama.
Majlis perpisahan ini disambung semula pada jam 2.00 petang di Rumah Citra Seri Pinang.  Majlis yang dipengerusikan oleh Pn.Hanipah Bte Rosli dan Cik Kumuthamalar A/P Viswanathan ini diteruskan pula dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Fauzi bin Mohd Amin untuk memberkati majlis. Majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi KEBIRU, En. Mohd Arbain bin Sapuan. Dalam ucapannya, En. Mohd Arbain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru yang diraikan. En. Mohd Arbain berharap keempat-empat orang guru ini tidak melupakan ukhwah yang terjalin dan mengekalkan hubungan persahabatan yang telah dibina. Usai ucapannya, majlis memberi laluan kepada sesi jamuan makan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan empat orang guru yang diraikan. Dalam ucapan yang diraikan, guru-guru ini mengambil kesempatan meminta maaf atas segala kekhilafan sepanjang berkhidmat di SMKB. Guru-guru ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala kerjasama yang diberikan sepanjang berada di SMKB. SMKB sentiasa dalam ingatan dan berharap untuk dapat meneruskan perjuangan sebagai seorang guru dengan jayanya. Majlis berakhir dengan sesi bergambar antara empat orang guru yang diraikan bersama dengan guru-guru dan staff sokongan SMKB. Majlis berakhir pada jam 4 petang.

Secara keseluruhannya, majlis berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan yang dapat mencacatkan majlis. Hujan renyai yang turun seperti merahmati majlis perpisahan pada hari itu. Semoga guru-guru yang diraikan dipermudahkan urusan di sekolah baru dan terus cemerlang dalam profesion perguruan.























No comments: