Sunday, February 5, 2017

Pelancaran Program "Jom Ke Sekolah" dan "Guru Penyayang"

5 Februari 2017: Pelancaran Program "Jom Ke Sekolah" dan "Guru Penyayang" telah dapat disempurnakan dengan jayanya oleh tuan pengetua SMKB, Pn. Hjh. Rohani Binti A. Manaf. Program "Jom Ke Sekolah" ini sebenarnya anjuran bersama KPM dan PDRM dibawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Pegawai Perhubungan Sekolag (PPS) daripada IPD Pontian serta En. Esa Bin Dasim (SIP Partner PPD Pontian)

Objektif Program Jom ke Sekolah ini adalah untuk mewujudkan hubungan mesra dan kolaborasi yang lebih mantap antara pihak sekolah dengan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).  Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membantu mencegah salah laku disiplin murid daripada terlibat dalam kegiatan jenayah dan perlakuan yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah.  Seterusnya, program ini dilaksanakan untuk membugarkan kembali penggunaan Peti Aduan Disiplin Murid di sekolah. 

Berikut adalah teks ucapan daripada Ketua Polis Negara:
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Syukur ke hadrat Allah SWT dengan izin-Nya, negara kita berada dalam keadaan aman dan damai.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,  
1. Polis Diraja Malaysia (PDRM) begitu prihatin terhadap kejadian-kejadian jenayah dan salah laku dalam kalangan generasi muda, khususnya murid-murid sekolah.  Dalam hal ini pihak PDRM akan sentiasa memantau murid-murid yang terlibat dengan salah laku disiplin. Kejasama antara pihak sekolah dengan PDRM mampu membendung salah laku disiplin dalam kalangan murid daripada berleluasa.  Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) sentiasa bersedia memberi khidmat kepada pihak sekolah tanpa mengira masa untuk membantu pihak sekolah dalam menangani masalah salah laku disiplin murid.

2. Antara usaha yang dilakukan oleh (PDRM) khususnya PPS adalah untuk membantu mewujudkan sekolah selamat dengan menjalankan tanggungjawab yang digariskan dalam Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS). Antara tugasnya  termasuklah mengumpul maklumat daripada sekolah untuk diambil tindakan jika perlu, melakukan rondaan/ lawatan berjadual di kawasan sekolah dan memberikan ceramah berkaitan dengan hal-hal  keselamatan kepada warga sekolah.   Keselamatan sekolah sangat mempengaruhi suasana pembelajaran murid-murid.  Oleh itu, adalah diharapkan agar program-program yang dirancang boleh menyemai sikap kesedaran murid-murid terhadap tanggungjawab mereka kepada sekolah dan negara.

3. Sehubungan dengan itu, PDRM akan sentiasa memberi komitmen kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menangani masalah disiplin dalam
kalangan murid sekolah untuk melahirkan warganegara yang berdisiplin dan bersahsiah tinggi. Setiap PPS perlu lebih aktif, kreatif dan inovatif ke arah membentuk sahsiah murid. PPS bertanggungjawab mengawasi kadar jenayah yang berlaku di persekitaran sekolah serta membantu pihak sekolah memastikan murid-murid tidak melanggar peraturan dan undang-undang.

4. PPS juga perlu membentuk satu mekanisme yang boleh mendorong dan meransang masyarakat sekolah untuk turut sama memainkan peranan dalam mencegah salah laku disiplin murid.  Menerusi mekanisme ini, PPS dapat memberi kesedaran kepada masyarakat sekolah berkaitan peranan yang boleh dimainkan oleh mereka serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diimplementasi dalam usaha mengekang kes salah laku disiplin murid dan menjayakan Program Jom ke Sekolah. 

5. Kerjasama antara PPS dan masyarakat sekolah dalam menjayakan Program Jom ke Sekolah ini akan dapat menangani sebarang isu atau masalah disiplin dalam kalangan murid melalui Peti Aduan Disiplin Murid yang diwujudkan di sekolah-sekolah. Selain itu, pemahaman dan pengetahuan masyarakat sekolah mengenai penggunaan Peti Aduan Disiplin Murid perlu diterapkan agar dapat mempertingkatkan lagi kecekapan bertindak pihak sekolah terhadap masalah disiplin murid yang berlaku.

Akhir kata, saya berharap kewujudan PPS di sekolah-sekolah dapat membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya pihak sekolah dalam mengatasi permasalahan yang berkaitan dengan isu disiplin murid.

Sekian, terimakasih.
Tan Sri Dato’ Sri Khalid Bin Abu Bakar Ketua Polis Negara  Polis Diraja Malaysia. 










 

No comments: