Thursday, October 1, 2009

PEPERIKSAAN PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) TAHUN 2009


KENYATAAN AKHBAR


MENGENAI
PEPERIKSAAN PENILAIAN MENENGAH RENDAH (PMR) TAHUN 2009

Peperiksaan bertulis PMR akan diadakan di seluruh negara pada 7, 8, 9 Oktober 2009 dan berterusan pada 12 dan 13 Oktober 2009.

Jumlah Keseluruhan Calon yang akan menduduki peperiksaan PMR tahun ini ialah seramai 475,182 orang.

Jumlah Calon Kementerian adalah seramai 442,611 orang calon. Jumlah Calon Swasta yang mendaftar ialah 13,561 orang. Calon Persendirian pula berjumlah 338 orang. Seramai 4,150 orang merupakan calon MRSM dan Sekolah Perantis Tentera. Sekolah Agama Rakyat mencatatkan jumlah calon seramai 1,288 orang calon manakala dari Sekolah Agama Negeri pula terdapat 13,234 calon yang akan menduduki peperiksaan PMR tahun ini.

Negeri Selangor mencatatkan jumlah calon paling ramai iaitu 77,826 orang calon manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan jumlah calon paling kecil iaitu seramai 1,154 calon.

Sebanyak 3496 pusat peperiksaan dengan 28,028 orang petugas peperiksaan telah disediakan untuk mengendalikan peperiksaan tersebut.

Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar mereka sentiasa merujuk Jadual Waktu Peperiksaan untuk butiran tentang masa peperiksaan, peringatan kepada calon, arahan-arahan serta amaran yang perlu dipatuhi semasa menduduki peperiksaan. Mereka juga dikehendaki membawa Kad Pengenalan dan Borang Perakuan Calon Peperiksaan PMR 2009 masing-masing pada setiap masa mereka berada di bilik atau dewan peperiksaan. Ini adalah penting bagi menjamin pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan denga lancar.

Lembaga Peperiksaan juga suka mengingatkan semua calon yang akan menduduki peperiksaan supaya bersedia dan membuat persiapan awal yang perlu untuk menghadapi sebarang keadaan yang mungkin menghalang atau menyebabkan mereka tergendala untuk sampai ke pusat peperiksaan mengikut jadual. Pada masa yang sama, calon-calon diminta sentiasa peka dan mengikuti perkembangan terkini melalui media massa sekiranya berlaku sebarang pindaan jadual atau perubahan pusat peperiksaan.

Lembaga Peperiksaan telah mengeluarkan satu pekeliling berkaitan Garis Panduan Menghadapi Wabak Penyakit yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan kepada semua sekolah. Garis panduan ini menghendaki pelajar dan keluarganya mengikuti perkembangan wabak penyakit dan peka kepada maklumat terkini terutama dari KPM serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh KPM dan KKM. Ibu bapa atau penjaga perlu menasihatkan anak-anak agar mengikut panduan penjagaan kesihatan dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan virus H1N1 daripada terus merebak. Pelajar dan keluarganya juga dikehendaki memaklumkan kepada pihak sekolah / PPD / JPN / Lembaga Peperiksaan sekiranya terdapat tanda-tanda mereka dijangkiti wabak penyakit tersebut.

Bilik Gerakan PMR akan beroperasi di Lembaga Peperiksaan dibuka dari 30 September 2009 hingga 14 Oktober 2009. Waktu operasi ialah dari jam 6.45 pagi hingga 7.00 malam.

Bilik Gerakan ini boleh dihubungi melalui nombor-nombor berikut:
03-8889 3601 / 03-8889 3809 / 03-8889 3582 / 03-8889 3520 / 03-8889 3551 / 03-8889 3030 / 03-8889 3095.
No. Faksimili ialah 03-8889 3010 / 03-8889 5561 / 03-8889 3445.
Kementerian Pelajaran Malaysia
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Malaysia
Putrajaya
28 September 2009

Makluman kepada semua pelajar Tingkatan 3, SMK Benut, sekiranya terdapat masalah pada hari peperiksaan tersebut...sila hubungi nombor telefon yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti Program Gerakan Payung dan Skuad Cegah H1N1. Harap maklum.


No comments: