Friday, March 4, 2011

Semaian Budi Semarak Kasih kepada Encik Hasnan Bin Jaffar



2 Mac 2011 – Majlis Semaian Budi Semarak Kasih khas kepada Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua, SMK Benut) telah berjaya diadakan sebagai tanda mengenang dan menghargai jasa sebagai Pengetua yang telah berkhidmat lebih kurang 37 tahun dalam bidang pendidikan. Selain itu, memberikan peluang kepada Tuan Pengetua untuk menyampaikan pesanan, amanat dan harapan kepada semua guru dan pelajar.

Majlis ini juga diadakan bagi memberi kesempatan kepada guru, staf, pekerja dan para pelajar meraikan cenderahati atau sebarang bentuk penghargaan kepada Tuan Pengetua yang amat dikasihi dan dihormati. Selain itu, majlis ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta saling bermaafan antara guru dan pelajar tanda perpisahan.

Majlis yang diatur dengan pelbagai perisian yang penuh bersejarah kepada Tuan Pengetua telah diadakan sepenuhnya di Dewan Baiduri, SMK Benut bermula jam 10.30 pagi. Turut hadir bagi meraikan majlis ini, Encik Abd Rahim Bin Lamin (Pegawai Pelajaran Daerah Pontian), Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar, pegawai-pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah Pontian, Yang Dipertua PIBG, Ahli Jawatankuasa PIBG, guru-guru dan kakitangan yang pernah berkhidmat di SMK Benut. Antara persembahan yang diadakan seperti deklamasi puisi, tarian kipas, permainan yoyo, dikir barat dan persembahan khas daripada guru-guru SMK Benut.

Sebelum itu, acara memotong kek telah diadakan sebagai simbolik khas yang diberikan kepada Tuan Pengetua sebagai tanda peringatan sambutan ulang tahun yang ke-58 tahun daripada warga SMK Benut. Kami mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan Tuan Pengetua.

Amanat, pesanan, dan harapan Pengetua kepada warga SMK Benut begitu bermakna kepada warga SMK Benut. Dalam ucapan yang diberikan hampir satu jam kepada warga SMK Benut memberikan inspirasi dan kepercayaan kepada warga SMK Benut untuk meneruskan kecemerlangan dan memastikan SMK Benut tetap terbaik dalam daerah Pontian.

Sebagai tanda ingatan dan penghargaan daripada warga SMK Benut kepada Tuan Pengetua tidak terbalas, hanya hadiah yang dapat diberikan. Hadiah istimewa daripada para pelajar, panitia-panitia, Persatuan Uniform, Sukan dan Permainan, Kelab Hobi telah diberikan khas untuk Tuan Pengetua.

Kemuncak majlis tersebut, Tuan Pengetua bersama Isteri telah diberikan penghormatan dengan menaiki kereta khas dan diarak dari hadapan Dewan Baiduri, SMK Benut sehingga ke pintu pagar utama. Perasaan penuh kesayuan tergambar di wajah warga SMK Benut semasa Tuan Pengetua diberikan penghormatan untuk meninggalkan sekolah.

Kami warga SMK Benut merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Pengetua yang banyak memberikan bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar. Kami mendoakan Tuan Pengetua sihat sejahtera dan gembira dalam meneruskan kehidupan selepas bersara. Terima kasih cikgu. Jasa dan pengorbanan tidak kami lupakan.



















No comments: