Wednesday, June 29, 2011

Sambutan Hari Koperasi SMK Benut 2011


27 Jun 2011 – Majlis perasmian Sambutan Hari Koperasi Sekolah Tahun 2011 (HKS) telah berjaya dirasmikan oleh Puan Hajah Rohani Binti Ab. Manaf (Pemangku  Pengetua, SMK Benut) semasa perhimpunan pagi ini.

Sebelum itu, bacaan perutusan telah dibacakan oleh wakil pelajar yang juga merupakan ahli koperasi SMK Benut Berhad. Antara perutusan yang dibaca, iaitu ucapan Yang Dipertua Angkasa, ucapan YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan dan ucapan YB Menteri Pelajaran Malaysia.

Objektif Sambutan Hari Koperasi Sekolah Tahun 2011 adalah bertujuan untuk memberitahu kepada warga sekolah dan masyarakat setempat akan kewujudan koperasi sekolah dan peranan yang dimainkan untuk mendidik para pelajar supaya mempunyai jati diri yang murni selaras dengan prinsip, nilai dan amalan koperasi.

Simbolik pelancaran HKS 2011 ialah melepaskan 10 ekor burung oleh Pemangku Pengetua dan menanam pokok bunga. Seterusnya penyampaian hadiah kepada pelajar yang berjaya memenangi pertandingan, iaitu menanam pokok, mencipta logo, pertandingan silang kata dan kuiz. Cenderahati turut diberikan kepada para guru serta pelajar.

Selain itu, ceramah cara hidup sihat melalui tontonan video  turut diberikan kepada para pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4 yang diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut. Program senaman aerobik beramai-ramai akan dilaksanakan pada 29 Jun 2011 di Dataran Perhimpunan, SMK Benut. Majlis HKS ini diakhiri dengan nyanyian lagu Semangat Koperasi oleh warga SMK Benut.
Warga SMK Benut merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis ini. Semoga majlis ini mendapat manfaat kepada semua.

“Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu”



No comments: