Friday, September 30, 2011

Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat 2011



29 September 2011 – Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat telah berjaya diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut pada hari ini bermula jam 7.00 petang. Majlis ini dikelolakan oleh Panitia Pendidikan Agama Islam dengan kerjasama pihak sekolah.

Majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah kemudian diikuti bacaan yassin. Seterusnya solat Isyak berjemaah dan diikuti solat hajat berjemaah yang dipimpin oleh Tuan Haji Mohd Amin Bin Abdul Fatah (Imam Masjid Tampok, Benut, Pontian, Johor).

Encik Mastura Aladdin Bin Masro (Pengetua, SMK Benut) turut menyampaikan ucapan ringkas namun penuh harapan khasnya kepada ibu bapa dan penjaga serta para pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM pada tahun ini. Beliau meminta kerjasama daripada ibu bapa dan penjaga untuk bersama-sama memastikan kesihatan dan latihan ulang kaji secara intensif kepada anak mereka di rumah. Beliau turut memberikan pandangan, iaitu jika ibu bapa menghadapi masalah berkaitan anak mereka hendaklah terus merujuk kepada pihak sekolah.
Beliau turut mengingatkan kepada para pelajar supaya teruskan mengulang kaji pelajaran di samping menjaga kesihatan diri dan mematuhi jadual ulang kaji pelajaran menggunakan program IMSAK (intensif mengulang kaji secara aktif) yang bermula pada minggu peperiksaan bagi memastikan kecemerlangan akademik berterusan.

Akhir sekali, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Pengelola Program dan ibu bapa serta pelajar yang hadir dalam menjayakan majlis bacaan yassin dan solat hajat pada hari ini. Semoga sokongan seperti ini diteruskan.

Warga SMK Benut merakamkan terima kasih kepada semua pihak dan selamat menduduki peperiksaan 
kepada para pelajar PMR, SPM dan STPM. Semoga kecemerlangan milik anda. Insyaallah.






`







No comments: