Thursday, October 13, 2011

Taklimat Kemasukan ke Kolej Vokasional Kluang 2012



13 Oktober 2011 – Program Taklimat Kemasukan ke Kolej Vokasional Kluang kepada para pelajar Tingkatan Tiga telah berjaya diadakan di Dewan Baiduri, SMK Benut bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 1.00 petang pada hari ini. Sebanyak dua sesi taklimat telah disampaikan.

Program ini merupakan anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Pontian dengan kerjasama Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Cawangan Pontian serta Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Benut, Pontian, Johor. Bagi menjayakan program ini, pihak penganjur telah mengundang seramai 4 orang wakil pelajar tingkatan tiga dari sekolah-sekolah menengah daerah Pontian bersama dengan seorang guru kaunselor atau guru pengiring.

Taklimat telah disampaikan oleh Tuan Haji Mohamad Zan Bin Aziz (PK HEM, SM Vokasional Kluang) dan Encik Zulkifli Bin Mohamed Irpow (Kaunselor Pelajar, SM Vokasional Kluang). Pelbagai input serta penerangan telah dimaklumkan, iaitu berkaitan syarat kemasukan, kursus-kursus yang ditawarkan, kemudahan-kemudahan asas yang disediakan, yuran yang berpatutan serta peluang kerjaya yang boleh pelajar ceburi pada masa hadapan.

Harapan pihak pengelola program ini kepada para pelajar agar segala maklumat yang disampaikan dapat memberikan banyak maklumat dan membuka peluang untuk para pelajar dalam menentukan hala tuju pada masa hadapan terutama memilih pekerjaan yang sesuai dengan tahap kebolehan dan minat.

Program ini merupakan aktiviti pertama yang dilaksanakan kepada para pelajar tingkatan tiga selepas tamatnya peperiksaan PMR yang lalu. Diharap para pelajar tingkatan tiga hadir ke sekolah seperti biasa untuk mengikuti pelbagai lagi aktiviti akademik, kokurikulum dan peningkatan sahsiah serta disiplin diri yang telah dirancang oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Benut serta pihak pengurusan sekolah.

Warga SMK Benut merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini.













  

No comments: