Sunday, November 8, 2009

Program Kecemerlangan Akademik STPM 2009



8 November 2009 – Program Kecemerlangan Akademik STPM 2009 Sekolah-sekolah Menengah Daerah Pontian telah berjaya diadakan pada hari ini di Dewan Baiduri, SMK Benut. Program ini Anjuran Ahli Parlimen Pontian yang dikelolakan oleh Majlis Guru Bimbingan dan Kaunseling Kebangsaan Cawangan Pontian.

Program ini diadakan dengan objektif memberikan pendedahan kepada pelajar kemahiran dan teknik menjawab soalan STPM dan juga dapat meningkatkan tahap motivasi dalam kalangan calon STPM dalam persediaan menghadapi peperiksaan STPM 2009.

Sebanyak 4 buah sekolah yang melibatkan para pelajar Tingkatan Enam Atas, iaitu SMK Benut, SMK Dato’ Penggawa Barat, SMK Kukup, dan SMK Seri Perhentian. Seramai lebih 260 orang pelajar yang terlibat dalam program ini.

Program ini dimulakan pada pukul 8.00 pagi dengan teknik dan bimbingan menjawab soalan peperiksaan mata pelajaran Pengajian AM kertas 1 dan 2. Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Encik Minhad Bin Ramdzan (Guru SMK Sultan Ismail, Johor Bahru) yang memberikan banyak ilmu dan teknik menjawab kepada peserta program.

Majlis Penutupan Perasmian Program telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Ahmad Bin Maslan (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pontian) pada jam 2.15 petang di Dewan Baiduri, SMK Benut. Pada majlis tersebut, beliau telah berkongsi pegangan hidupnya dengan terperinci melalui Konsep 5S untuk berjaya dalam pelajaran, iaitu Solat, Semangat, Sunguh-sungguh, Sama-sama, dan Sistematik. Beliau mengharapkan para pelajar Tingkatan Enam yang mengambil peperiksaan STPM nanti berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, baik untuk diri, keluarga, sekolah dan seterusnya negara.

Turut hadir pada majlis tersebut Tuan Haji Hamid Bin Selamat (Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Pontian – Pembangunan Kemanusiaan) dan Encik Hasnan Bin Jaffar (Pengetua SMK Benut), ibu bapa penjaga pelajar tingkatan enam dan tetamu jemputan.

Program ini berakhir dengan program Motivasi bertajuk Menghadapi Detik-Detik STPM yang disampaikan oleh Tuan Haji Hamid Bin Selamat (Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Pontian – Pembangunan Kemanusiaan). Pelbagai input yang berguna memberikan motivasi kepada pelajar sebelum, semasa dan selepas menduduki peperiksaan STPM.

Jawatankuasa Program Kecemerlangan Akademik STPM mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya kepada para pelajar Tingkatan Enam yang akan menduduki peperiksaan STPM bermula 23 November 2009 dengan mendapat kejayaan yang cemerlang. Insyaallah.















No comments: