Saturday, July 9, 2011

Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid Tahun 2010



7 Julai 2011 – Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid Tahun 2010 telah berjaya diadakan dengan dirasmikan oleh Puan Hajah Rohani Binti A. Manaf (Pemangku Pengetua, SMK  Benut) di Dewan Baiduri. Turut hadir pada majlis tersebut Encik Aros Bin Ibrahim (Yang diPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru), Puan Hajah Azizah Binti Hj Omar (GPK Hal Ehwal Murid), Tuan Haji Abd. Razak Bin Nasiran (Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam), Encik Zulnuraini Binti Rahmat (Guru Penolong Kanan Kokurikulum), guru-guru SMK Benut, AJK PIBG ibu bapa pelajar serta para penerima anugerah kecemerlangan kedudukan dalam kelas, mata pelajaran dan pencapaian terbaik PMR, SPM dan STPM.

Majlis yang diadakan setiap tahun dengan objektif memberikan penghargaan dan tahniah atas usaha yang dilakukan oleh pelajar dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun dan peperiksaan awam tahun 2010. Seterusnya, menjana peningkatan berterusan untuk terus berjaya dan membuktikan kesungguhan tersebut kepada para pelajar lain untuk turut mengecapi kejayaan yang lebih berganda.

Walaupun majlis yang diadakan secara sederhana namun kemeriahan dan kegemilangan suasana terlihat semasa para pelajar begitu gembira menerima hadiah dan sijil penghargaan. Sebelum itu, ucapan wakil pelajar, iaitu Saidatul Addila Binti Khamis dan wakil ibu bapa penjaga, Encik Yusof bin Jasman telah memberikan beberapa idea untuk membakar semangat dan berkongsi kejayaan yang telah dicapai melalui kejayaan yang bersungguh-sungguh.

Para pelajar yang berjaya dengan cemerlang telah menerima sijil dan piala serta hadiah  istimewa daripada pihak sekolah. Kategori penerima hadiah kecemerlangan, iaitu pelajar terbaik dalam kelas serta mata pelajaran bagi Tingkatan 1, Tingkatan 2, Tingkatan 4, Prauniversiti Junior dan peperiksaan awam PMR, SPM dan STPM.  Hadiah sumbangan Koperasi SMK Benut Berhad dan pihak sekolah.

Warga SMK Benut mengucapkan syabas, sekalung tahniah atas kejayaan yang cemerlang kepada para penerima anugerah kecemerlangan pelajar. Teruskan kejayaan ini dan pastikan kejayaan SMK Benut terus Cemerlang. 


























No comments: